Oct 17, 2011

ZAR : Cabaran 50 Buku : (2) Surat Ungu Untuk Nuha

Tajuk: Surat Ungu Untuk Nuha
Pengarang: Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni
Muka surat: 484 muka

Sebenarnya buku ini sudah lama dibaca, Cuma untuk sekian kalinya, buku ini saya ulang baca kembali. Entah yang ke berapa kali pun, saya tak mengiranya pula.
Tak keterlaluan jika saya mengatakan buku ini adalah buku yang menuntun perubahan ke arah menjadi muslimah yang lebih baik, jauh dari novel yang terdapat label ‘Islamik’ di kulit luarnya, novel ini tidak memerlukan sokongan itu untuk menunjukkan yang ia sebenarnya sarat dengan tuntunan rohani dan sindiran kepada gadis-gadis di luar sana.

Cerita di mana Nuha membawa diri ke desa kerana patah hati kepada Engku Faisal telah menemukannya dengan Alang, atau Muzammil Muadz Yatim, atau juga digelar ‘Alang rebus tak empuk’. Lelaki berambut kerinting bulat seperti Boney M itu sering membuat jururawat muda itu tak keruan, mencari gaduh atau pendek katanya, mereka seperti anjing dan kucing. Namun dalam usikannya, Alang sering menyuruh Nuha menutup aurat dengan sempurna sehingga diberikan helaian tudung untuknya, termasuk kerudung ungu, warna kesukaan Alang. Namun Nuha itu sinonim dengan degil,menafikan keinginannya fitrahnya itu sendiri, lalu memilih ego daripada suruhanNya.

Episod riang ria dan gelak tawa berakhir bila Alang kehilangan deria melihatnya akibat disembur racun. Noor Suraya berjaya menambah rencah rasa pembacanya bila Nuha mula memakai tudung hanya apabila Alang tidak lagi boleh melihat! Dari babak ini perubahan dari diri Nuha meningkat, berani mengenepikan rasa malu, untuk kembali belajar mengaji dari Mak Raja, ibu Alang. Belajar mengaji, memanglah nampak mudah, tapi itu untuk anak-anak kecil. Untuk Nuha yang berumur 20 lebih itu, sememangnya satu perkara yang bukan sedikit semangat diayak, buat sayang Alang padanya semakin bertambah.

Bagi saya, Alang itu jujur menerima kekurangan Nuha, yang berkulit gelap, sederhana, namun ‘indah’ pada matanya, malah tidak cerdik pula, bahkan tidak dipandang warak seperti Raniya, isteri Faisal yang dibayangkan bagakan puteri itu. Namun pandangan Alang itu tidak keterlaluan bila mana satu peristiwa yang buat saya terfikir, “Tidak guna cantik jika tiada empati dalam diri”. Raniya ternyata memberikan anaknya yang kudung kaki tangan kepada Nuha, dengan alasan yang tidak mahu saya hadamkan. Anaknya sendiri! Hadiah yang ditunggu-tunggu.Kasihannya! Bayi yang diberi nama Engku Muzammil oleh Nuha, sebenarnya menjelaskan perasaan Nuha pada Alang.

Akhirnya perca-perca ungu kiriman Alang yang dikembarkan dengan surat-surat itu , membuka tanda tanya saya mengapa buku ini diberi tajuk sebegini. Kisah hati Nuha yang keras tidak mahu mengaku yang hatinya sudah lama terjatuh pada Alang ini berakhir didalam kereta api juga seperti mana ia bermula. Membaca buku ini seperti menonton filem Tamil, kerana babak kereta api yang wajib ada pada filem Tamil itu sering saja menjadi sebab musabab cerita ini berkembang.

Apa yang menarik dalam cerita ini, selain ayat-ayat santun Noor Suraya ialah sajak-sajak yang dimuatkan dalam buku ini. Dan saya juga suka memetik ilmu yang diselitkan dalam surat Alang pada Nuha, berkenaan hutang.

Oh ya? Bagaimana Alang mendapat semula penglihatannya? Itu kamu perlu baca sendiri buku ini. Ia membuka sejarah Raja Kamariah, ibu Alang itu pula.

Secara keseluruhan, sebenarnya, saya lebih suka kulit luarnya, membuatkan semangat melukis saya yang terpendam lama dahulu, terlahir semula!

0 comments: