Oct 11, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (67) Ikhlas, A.K!

Penulis: Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-65-4
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 528
Cetakan 1 – Ogos 2011

Blurb:

Kata Adam Khalis:
Hidup ini tak boleh berdasarkan ‘saya-suka-awak’ dan ‘awak-suka-saya’…and we live happily ever after – aman bahagia untuk selamanya. Tak semudah itu, Kaseh. Hidup ini ada duri dan ranjau.

Kata Kaseh:
Bagaimana kita berbeza macam langit dan bumi; Kaseh tidak kisah. Kaseh sanggup buang apa sahaja demi Adam; termasuk tidak mewarisi harta benda daddy. Kaseh sanggup hidup macam orang biasa. Percayalah, Kaseh bersedia memberi semuanya, kerana sekali dalam hidup Kaseh, apa yang Kaseh ‘tahu’ apa yang Kaseh ‘mahu’ hanyalah Adam Khalis!

Kata Orang:
opposite attracts. Bad girls go for good guys. True much? Tapi…sejauh manakah kebenaran teori ini? Boleh ke Adam – stok budak masjid, bertahan dengan Kaseh – playgirl of the century? Well, we’ll see, we’ll see! …opps, dan jangan lupa Adam bakal menjadi kekasih yang ke-34 Kaseh Qaisara!

*****
Membaca cerita Ikhlas, A.K! karya penuh yakin NIRROSETTE si manis dari Singapura ini, membuat mana-mana orang yang pernah muda tersenyum. Cerita segar lagi santai ini pasti membuat anda kagum pada penulis yang mengadun cerita cinta penuh pengisian ini.


Kak Chik menukil:

Sebenarnya pada awal pembacaan Kak Chik ingatkan akan dihidangkan juga kisah tentang Arianna, namun sangkaan Kak Chik tersasar amat. Lepas bab pertama langsung watak Arianna ‘mati’…

Kisah Kaseh anak billionaire yang hidup tanpa panduan orang tua sendiri Tuan Raffique dan Puan Dina yang sentiasa sibuk dengan dunia sehingg tiada masa langsung untuk Kaseh dan adiknya, Khaira. Kaseh sudah jadi pengganti mummy dan daddy pada Khaira. Sayang Kaseh hanya tertumpah pada Khaira. Kehidupan Kaseh yang serba mewah tapi miskin kasih sayang ibu bapa menyebabkan Kaseh sentiasa memburu kasih lelaki-lelaki di luar sana. Kaseh tidak kisah mummy dan daddy tidak mempedulikannya tapi kesian pada Khaira yang tidak pernah merasa nikmat kasih sayang mummy dan daddy.

Perhubungan cinta antara Kaseh dan Iskandar yang terputus, memberi ruang Kaseh memburu cinta Adam Khalis. Lelaki yang sentiasa serius dan jarang sekali berhubungan dengan perempuan. Kaseh terdesak mahukan cinta lelaki itu sehingga Kaseh sanggup berubah demi Adam Khalis. Sanggup merubah cara hidup dan sanggup kehilangan segala harta warisan daddy. Apa yang ada pada pelajar yang mendapat biasiswa penuh itu sehingga Kaseh begitu memburunya? Kaseh rela meninggalkan Syera dan Aiman teman-teman baik yang selama ini sentiasa bersama Kaseh dan menyokong Kaseh.

Adam Khalis menerima tawaran Kaseh untuk menjadi teman wanitanya dengan syarat Kaseh sanggup mengikut syaratnya. Mereka hanya perlu menjalani perhubungan sebagai kawan sahaja selama tempoh tiga bulan sebelum perhubungan itu diberi kata putus. Adam Khalis yang dipandang tinggi oleh orang sekeliling berhubung rapat dengan Kaseh, pelajar terkenal dan playgirl itu sudah pasti menjadi perhatian orang tetapi Adam Khalis tidak sesekali melatah malah dia sedia untuk membimbing Kaseh secara perlahan-lahan.

Tetapi mungkinkah jodoh Kaseh-Adam Khalis ada walau keluarga tidak memberi restu apatah lagi kehadiran Iskandar yang menjadi sandaran Tuan Raffique? Apakah ‘saya-suka-awak’ dan ‘awak-suka-saya’ mampu mempertahankan hubungan keduanya?

Sudut pandang Kak Chik:

Tahniah kepada Jemari Seni kerana telah mencungkil seorang lagi penulis muda yang berbakat ini. Wahhh…Kak Chik teramat suka dengan sampul kulit novel yang ini yang ringkas dan manis. Macam kita pula yang terima hadiah dari hero pujaan ramai, Adam Khalis tu!

Apabila mengakhiri naskhah ini memang buat Kak Chik beristighfar berkali-kali. Minta dijauhkan segala musibah yang menimpa Kaseh dan keluarga Tuan Raffique dijauhkan dari terjadi pada keluarga dan masyarakat Islam hari ini. Cuba bayangkan anak yang dilahirkan dalam Islam tidak pernah tahu langsung tentang hukum hakam dan ajaran Islam, siapa yang bersalah dalam perkara ini jika bukan ibu bapa sedangkan sudah termaktub dalam Quran: setiap anak yang dilahirkan ibarat kain putih, jadi ibu bapa yang bertanggungjawab untuk membentuk mereka sama ada jadi Majusi, Nasrani atau Yahudi. (Tolong betulkan kalau fakta Kak Chik ni salah ye…)

Kesian sangat pada Kaseh yang hidup dilimpahi kemewahan tetapi hati dalam kegelapan. Dia tidak tidak tahu apa itu solat, minum arak itu berdosa besar, bertatu itu diharamkan Islam dan memang Kaseh totally zero tentang Islam. Kesian sangat…. Ini memberi peringatan kepada kita tidak mustahil perkara ini memang terjadi dalam masyarakat Islam hari ini. Cuma kita bersyukur kerana Kaseh dengan hati terbuka menerima ajaran Islam melalui perantaraan Adam Khalis, walaupun pada dasarnya perhubungan mereka berdua sedikit tidak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.

Cuma pada Kak Chik kata-kata di kulit belakang buku tentang Adam Khalis itu stok budak masjid adalah seperti ‘terlebih’ kredit padanya kerana ada sesetengah perbuatan dan amalan Adam Khalis tidak menggambarkan seperti itu. Antaranya dia sering menunaikan solat ketika waktu ‘nazak’ sedangkan sudah pasti dia tahu solat adalah dituntut ditunaikan pada awal waktu. Selain itu, melukis potret juga adalah diharamkan dalam Islam tetapi selama setahun Adam Khalis melukis potret Kaseh dalam diam.

Pengakhiran kisah yang manis tetapi pada Kak Chik jika perubahan Kaseh dan keluarga ke arah jalan putih itu diberi sedikit lagi ruang sudah pasti karya ini lebih berkesan. Cuma terkilan sampai ke titik akhir kita tidak tahu penamat Syera-Aiman.

Tahniah pada penulis untuk satu karya yang tersusun dengan baik tetapi masih perlu diperbaiki pada masa depan.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: