Mar 2, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (11) ZAHRAH de Tigris

Jodol: ZAHRAH de Tigris
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM20.00
M/S: 501
Cetakan 1 - Oktober 2007
Cetakan 2 - Mei 2008
ISBN 978-983-43217-7-2

Blurb :

Zahrah de Tigris...adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris...

Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbulizzati.

Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak beradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik sampai ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.

Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris.

Begitu sudah di situ lain pula ujiannya: dia terpaksa berkeras jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Namun cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patric Devereux, seorang aties.

Hayatilah sebuah novel adventure-spiritual daripada penulis yang pernah menjadi Wartawan Terbaik Bahasa Inggeris 2003. Sebuah cerita yang harus dihayati oleh siapa sahaja yang cintakan kemanusiaan sejagat.


Kak Chik menukil:

Kisah perjalan hidup Nisa, anak bongsu 2 beradik yang keras hati dan nekad dengan setiap keputusannya. Segalanya bermula sekitar Mei 2003 apabila Nisa nekad menerima tawaran untuk menjadi guru di Kota Baghdad dengan tawaran gaji yang dikira lumayan olehnya. Iyalah dengan gaji RM12,000 sebulan itu, bertahun-tahun bekerja di Malaysia belum tentu dia akan menerima gaji yang sebegitu lumayan. Keputusan itu membuatkan ayah dan ibu sangat memarahi Nisa.

Namun apabila sudah menjejakkan kaki di bumi Baghdad, Nisa rasakan mahu terbang balik ke Malaysia. Namun Nisa kuatkan semangat demi membantu anak-anak Baghdad yang begitu menagih ilmu. Nisa cuba bertahan untuk mencurahkan ilmu buat anak-anak seagama walaupun tidur malamnya selalu ketakutan apabila mortar dan peluru tidak pernah kenal tempat tujunya.

Namun apabila sekolah yang dibina oleh yayasan tempat Nisa bekerja itu dibedil oleh pihak tentera Amerika, Nisa terpaksa menjadi jurubahasa pula di hospital di Lembah Tigris itu. Di sana Nisa terpaksa keraskan hati dan teguhkan jiwa apabila hari-harinya mendengar jeritan kesakitan apabila pelbagai lapisan umur yang tercedera jika terjadi serangan atau pun peluru yang tersesat ke kawasan orang ramai.

Lalu bagaimana, apabila di hospital itu hatinya diketuk oleh seorang doktor yang selalu menjadi buddynya. Doktor Patric itu seorang yang mengambil berat juga tapi mana bisa Nisa menerimanya kerana agama. Doktor Patric itu, aties yang tidak pernah percaya pada kewujudan Tuhan.

Bertahun-tahun di bumi Baghdad menjadikan Nisa seorang yang tabah dan matang, melalui blog-blognya yang ditulis apabila berada di sana menjadikan dia semakin matang, Walaupun ada juga komen-komen yang mengatakan dia seorang yang bodoh bergadai nyawa di bumi yang bergolak. Bagi Nisa, setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri kerana dia tidak pernah mahu digelar seorang yang hebat.

Melalui coretan-coretan Nisa, kita dapat menyelusuri kehidupan di Baghdad yang sungguh bergolak dan tidak tenteram. Kemudahan asas amat terhad dan dengan keadaan musim yang silih berganti makin menambahkan kesengsaraan penduduk Iraq. Pendudukan Amerika masih lagi tidak membawa sebarang keamanan untuk negara Arab itu.

Selepas hampir dua tahun di bumi Arab, buat pertama kali Nisa menghubungi keluarga selepas dipaksa oleh Doktor Patric ketika mereka di kota Amman sewaktu cuti dari tugas di sekolah.

Namun dugaan Allah itu tidak pernah berhenti pada orang yang tabah. Berita kematian Doktor Patric ketika misi menyelamatkan Meryam dari penculik telah mencetuskan Nisa untuk pulang ke Malaysia. Nisa rasa amat kehilangan walaupun dia tidak pernah memberi kata putus pada pertanyaan Patric tentang hati.

Dan... sekali lagi Nisa mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarga... juga demi untuk kemanusiaan sejagat, ke Acheh untuk membantu pembangunan daerah itu selepas tsunami. Dan di sana, dia ketemui hati yang hilang.

Membaca karya Khairyn Othman membuatkan Kak Chik bagai menyusuri kejadian-kejadian yang melanda negara Arab itu. Banyak peristiwa yang sungguh menggores hati apabila umat seagama ditindas tanpa belas kasihan. Bumi yang aman dan tenang dalam sekelip mata sahaja bergolak oleh kuasa yang tidak pernah mengakui kesilapan mereka. Kegigihan rakyat Iraq untuk melihat negara mereka bebas sungguh kuat.

Sedikit berbeza corak penulisan Khairyn Othman apabila beliau menggunakan blog Nisa sebagai cara penyampaian cerita.


LiFe iS a LoNG JouRNeY!!!
-Kak Chik_
(^_^)

0 comments: