Kedua-dua buah buku ini adalah terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd yang mana edisi asalnya adalah terbitan Wira Bukit yang diterbitkan dalam tahun 2008.
Kehadiran dua buah buku ini, dengan tampilan yang lebih 'mesra remaja', adalah suatu usaha yang patut dipuji. PTS memang dikenali dengan buku-buku keluaran mereka yang memiliki kualiti 'luaran' mahupun 'dalaman'. Sesuai benar dengan 'slogan' mereka, 'memandaikan bangsa'.
Secara peribadi, saya pernah bersemuka dengan orang yang disebalik syarikat PTS ini, Puan Ainon Muhammad di kediamannya di Janda Baik, Pahang. Seorang yang memiliki wawasan dan pandangan yang jauh, juga sangat memotivasikan.
Menerbitkan semula kedua buah karya Pak Samad ini boleh dilihat sebagai suatu usaha beliau dan tim PTSnya bagi membawa tulisan-tulisan yang bermutu dari penulis-penulis hebat negara kepada khalayak, lebih-lebih lagi kepada para remaja.
Agar bahan bacaan yang dibaca remaja kita akan mematangkan, meluaskan, dan mencabar daya fikiran mereka, sambil memberikan contoh-contoh teladan yang baik untuk diikuti.
Selain itu, usaha ini juga akan merapatkan lagi hubungan antara sasterawan negara dengan para remaja. Bermula dengan dua buah buku ini, para remaja akan mula mengenali Pak Samad, dan perlahan-lahan akan mencari karya-karya beliau yang lainnya, yang lebih besar.
Buku ini mengisahkan kehidupan sekumpulan remaja. Bersahabat baik dan sering melakukan aktiviti bersama. Pada buku Bendera Di Atas Bukit, kumpulan remaja itu, yang diketuai oleh Abu, melakukan penyiasatan mengenai kes kecurian di kawasan mereka. Manakala buku Rumah Rahsia, mereka cuba merungkaikan rahsia yang terdapat pada sebuah rumah lama.
Kira-kira kedua buah buku ini berkisah tentang siri penyiasatan remaja. Menarik. Lebih-lebih lagi untuk remaja. Buku ini mengusik rasa ingin tahu dari bab ke bab tentang penyiasatan para remaja itu. Juga dengan watak-watak di dalam novel itu yang belia remaja semuanya, Abu sebagai ketua berusia 14 tahun.
Secara keseluruhan, kedua buah buku ini memang wajar dimiliki. Lebih-lebih lagi oleh ibu bapa untuk dijadikan bacaan kepada anak mereka.
Cuma, satu perkara yang agak mengecewakan saya. (Harap orang-orang PTS membaca ini)
Terdapat sekalian banyak kesalahan dan kesilapan ejaan di dalam kedua-dua buah buku ini. Bukan satu atau dua, tetapi lebih.
Seolah tergambarkan buku ini tidak diedit dengan sempurna sebelum dicetak. Seolah juga membayangkan bahawa buku ini dipandang 'sebelah mata' kerana ini bukanlah karya yang besar dari Pak Samad. Janji siap.
Kadang, sakit jiwa membaca buku yang dibuat dengan sambil lewa ini. Mari saya contohkan 'sedikit' apa yang mengecewakan saya itu.
1. "Ingat apa kata Cikgu Musa? Kalau tak berjaya kita tak harus mungkir janji. Saya tak akan mungkir janji," kata Abu. (seharusnya : NAK)-Rumah Rahsia (ms 13)
2. Dia memberitahu juga dalam masa cuti ini kawannya Yusuff akan belajar kesal isi hutan, ... (seharusnya : KENAL)-Rumah Rahsia (ms 22)
3. "Esah, sekarang awak jadi tukang tengok saja. Nanti awak ikut bergaduh nama," kata Yahaya. (seharusnya : SAMA)-Rumah Rahsia (ms 27)
4. "Saya dengar ke mana awak bawa sampai saya yang dipinjam dulu. Sulaiman yang memberitahu." (seharusnya : SAMPAN)-Rumah Rahsia (ms 30)
5. "Maafkan saya," kata Majid. "Saya yang bersalah." Sekurang-kurangnya saya datang bawa bendera ni. Lambat tapi ada yang dibawa. Saya cepat, tapi tak bawa apa-apa." (seharusnya : AWAK) -Rumah Rahsia (ms 33)
6&7&8. Tidak berapa jauh dari lembut-lembu itu kelihatan pula dua orang budak sedang meniup harmonika lagi India. "Tengok senangnya jaga lembut," kata Rukiah. (seharusnya : LEMBU-LEMBU), (seharusnya : LAGU?), (seharusnya : LEMBU)-Rumah Rahsia (ms 51)
9. Dan lain-lain.
Itu antara yang rajin untuk saya catitkan di sini. Ada beberapa lagi kesilapan, namun saya rasa cukuplah saya menulis dll itu.
Kesilapan-kesilapan kecil begini tidak patut berlaku. PTS bukan sebuah syarikat penerbitan yang baru hendak bertapak, sudah memasuki tahun ke-11 pun sejak Puan Ainon menubuhkan PTS Publications & Distributors pada tahun 2000.
Menolak kesemua kesalahan ejaan itu, kedua buah buku ini adalah menarik. Dengan reka kulitnya yang begitu 'menyeronokkan' jika dipandang menjadi tarikan utama selain nama A. Samad Said itu sendiri.
Lama kemudian baru saya sedari, bahawa kedua buah buku ini jika dicantumkan sebelah-menyebelah, akan menjadi satu design yang menyempurnakan kulit depan dan belakangnya. Menarik juga.
Buku ini boleh diperolehi di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 9.00 bagi semenanjung dan RM 10.00 bagi Sabah dan Sarawak.
sumber: Melihat-Buku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment