Mar 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (3) Mat Som ~ Datuk Lat

Ok. Buku Mat Som yang berada pada saya ini adalah terbitan Berita Publishing Sdn Bhd, cetakan kedua tahun 2006. Naskhah asal bagi buku ini telah diterbitkan oleh Kampung Boy Sdn Bhd. Ini adalah edisi Bahasa Melayu. Namun saya kurang periksa jika di toko-toko buku masih terdapat buku ini.

Ok. Kisah Mat Som ini adalah mengenai Mat Som itu sendiri (watak utama di dalam buku ini) yang berhijrah ke kota dari desa, dan bekerja sebagai penulis bebas. Menjadi penulis waktu itu tidak ada apa yang lumayannya. Begitulah juga nasib Mat Som ini. Kehidupannya di kota raya hanya cukup-cukup makan sahaja.

Namun memandangkan dia masih bujang, dan muda pula, cara hidup yang begitu tidak seberapa merunsingkan fikirannya. Dia lekas menyesuaikan diri dengan keadaannya itu.

Tapi pada suatu hari, datang surat daripada ayahanda tercinta meminta dia untuk berkahwin (berkenal-kenalan dahulu pastinya, sebelum kahwin) dengan seorang gadis sekampung dengannya yang kebetulan sekarang sedang bertugas di ibu kota.

Kerana permintaan ayahandanya yang satu inilah cerita Mat Som ini berkisar. Dia merasa dirinya belum sedia untuk berumahtangga tetapi tidak sanggup pula untuk menolak saranan ayahnya.

Nama Datuk Lat bukanlah asing bagi rakyat Malaysia. Jika kalian memang asing dengan nama ini, mungkin bila disebut nama Mamat Khalid, pasti kalian kenal. Pengarah filem yang disegani. Datuk Lat ini adalah abangnya. Dan pernah menuliskan mengenai kisah adiknya ini di dalam watak kartun yang popular, Keluarga Si Mamat.

Mohd Nor bin Khalid adalah namanya mengikut sijil kelahiran. Tetapi lebih dikenali dengan nama Lat. Berkaitan dengan panggilan Lat ini juga ada kisah disebaliknya. Menurut Datuk Lat, semasa kecil, beliau dipanggil oleh teman-teman sepermainannya dengan nama Bulat. Lama-kelamaan nama itu tinggal Lat sahaja bagi memudahkan dipanggil. Sehingga sekarang nama itu kekal dan menjadi namanya yang dikenali khalayak.

Berbalik kepada buku Mat Som ini, tidak ada apa yang menarik sebenarnya mengenai jalan cerita, atau watak, atau tema yang mahu dibawa oleh Datuk Lat. Ceritanya seperti 'cerita biasa-biasa' orang kampung yang bekerja di bandar. Tetapi kerana 'cerita biasa-biasa' orang kampung itu, yang seolah telah menjadi trademark Datuk Lat lah, maka buku ini sungguh menghiburkan.

Kartun-kartun Datuk Lat diiktiraf oleh orang luar. Pasti kalian pernah menonton kartun The Simpsons bukan? Atau, kartun Futurama, pernahkan? Kartunis bagi kedua-dua kartun popular itu, Matt Groening merupakan salah seorang pengagum kepada kartun-kartun lukisan Datuk Lat ini.

Gambaran tentang budaya dan masyarakat kampung di dalam setiap lukisannya begitu real.

Dan seperti setiap penulis novel yang hebat, akan dapat membawa pembaca masuk ke dalam ceritanya, begitulah juga kartun-kartun Datuk Lat, terutamanya buku Mat Som ini. Kagum dengan lukisan beliau. Ketelitian dalam lukisan membuatkan buku-bukunya punya nilai tersendiri.

Contohnya di dalam buku Mat Som ini ketika beliau melukiskan mengenai suasana kampung, kita akan dapat perhatikan, tidak sahaja pada watak utama, tetapi seting latar bagi sesuatu babak pun amat dititikberatkan. Kita akan dapat melihat dalam lukisannya itu ada ayam-ayam, ada basikal-basikal tua, ada tv dan radio-radio lama, dan sebagainya. Pendek kata lukisannya hidup.

Dan kita yang membaca buku-bukunya tidak hanya membaca tulisan atau dialog sesuatu watak, tapi sebaliknya kita juga dapat melihat dan merasai suasana seperti watak itu berada.

sumber: Melihat-Buku

0 comments: