Tajuk: Cinta Dari Istana
Penulis: Adah Hamidah
Penerbit : Fajar Pakeer (2010)
632 Mukasurat
Harga: RM23.90 (SM)/ RM26.90 (SS)
Pertama kali memgang novel ini, hati tidak dapat lari dari pelbagai persoalan yang menerjah minda. Tertanya-tanya, apakah yang bakal saya temui di dalam novel ini. Pemilik novel ini meramalkan, mungkin lebih kepada cerita fantasi. Oleh itu, beliau telah mengamanahkan saya untuk membaca & menyelami novel ini terlebih dahulu. Dengan harapan beliau dapat mendengar komen dari saya dulu sebelum beliau sendiri membacanya. Terima kasih diucapkan.
Sebaik saja menghabiskan pembacaan, saya termenung seketika. Di mana saya perlu meletakkan atau mengkategorikan novel ini. Berapa bintang yang saya boleh beri? Kemudian saya sedar bahawa novel ini berada di kelas yang tersendiri ( menurut pandangan peribadi saya ) dan saya tidak dapat membandingkan dengan novel-novel lain yang saya baca.
Watak Puteri Mahkota Nur Shaafiah@ Piya ( dari Sri Alamar ) dilukiskan dengan begitu cantik sekali. Walaupun penulis tidak memberikan gambaran secara terperinci bagaimana rupa Piya, tetapi cara penulis menampilkan cara tutur kata & tingkah Piya telah cukup memberi gambaran betapa cantik & lemah lembutnya gadis bernama Piya. Manakala watak Ra’if Arjuna pula begitu menguji minda dan perasaan kerana tingkah lakunya tidak pernah seiring dengan rasa hati. Seringkali setiap kali hati Piya dilukai, hati Ra’if Arjuna turut terhiris-hiris. Semuanya kerana Ra’if Arjuna begitu berat mengaku cinta kepada Piya kerana dia masih mempertahankan cintanya kepada arwah isterinya Warda.
Disaat Ra’if Arjuna sudah tidak mampu memendam rasa kepada Piya, dia akhirnya mengaku kalah dengan perasaan sendiri dan bersedia menempatkan Piya dihatinya. Namun bahagia yang dirasa tidak lama.Mampukah Ra’if Arjuna hidup tanpa Piya setelah dia menghalau Piya pergi setelah dia mengetahui latar Piya yang sebenar & status Piya sebagai tunangan orang yang selalu dicemburuinya selama ini?
Apa yang menarik tentang novel ini?
i) Watak Ra’if Arjuna & Piya
ii) Bahasa yang digunakan begitu menarik & kadang-kala turut membuai perasaan ( saya perlu membaca dengan teliti bait-bait kata seolah-olah membaca untuk menduduki peperiksaan )
iii) Peristiwa-peristiwa yang mencuit hati & juga peristiwa yang turut meruntun perasaan.
iv) Membaca novel ini membuatkan saya sentiasa berdepar-debar & rasa tidak sabar untuk mengetahui cerita selanjutnya. ( sudahnya saya berjaya menghabiskan novel ini dalam masa tidak lebih dari 12 jam )
Sinopsis Kulit Buku:
Melangkah lamunan membilang bahagia... Detik itu apa maknanya?
Bukan kehendaknya melangkah keluar dari istana. Tapi dia terpaksa, maka diikutkan juga langkah kaki. Lalu takdir membawanya ke pintu pagar rumah seorang rakyat biasa.
“Okey, Piya. Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” Ra’if Arjuna mengasak soalan.
Pengasuh? Tatkala itu bermulalah episod penyamaran, pendustaan yang terpaksa direncanakan oleh Puteri Mahkota Nur Shaafiah demi melindungi identiti diri. Menjadi seorang pengasuh anak kecil atau lebih tepat lagi orang gaji di rumah rakyat biasa itu merupakan satu penderitaan jiwa buat sang puteri. Dia tidak tahu membezakan apa itu senduk dan sudip, jadi bagaimana dia mahu menguruskan semuanya? Mujur saja dia bijak bermain dengan situasi sehingga dia kerap kali terselamat daripada bala yang dicipta tuan rumah, Ra’if Arjuna, duda beranak satu itu.
Bila hati disapa cinta, sang puteri mula menyangkal rasa. Mana mungkin puteri raja sepertinya jatuh cinta kepada rakyat biasa. Pantas dia menolak kata hati. Namun dia tewas pada perasaan cinta dan kasih sayang yang kian bersemi. Misi menawan hati Ra’if Arjuna tidak semudah disangka. Riaknya seperti suka, namun lafaz tidak pernah bersuara membuatkan sang puteri terus-terusan cuba mentafsir hati rakyat yang kerasnya mengalahkan tembok-tembok istana.
Apakah penyudahnya? Haruskah sang puteri melupakan saja atau haruskah terus mengejar cintanya? Atau mungkinkah tiada siapa yang mampu mengubah hakikat kenyataan bahawa tempat sang puteri tetaplah di istana, bukannya di teratak rakyat biasa!
Memangkah mimpi menghitung gembira... Detik itu cinta maknanya!
Terlalu banyak yang ingin saya perkatakan tentang novel ini tetapi tidak semua rasa terluah. Biarlah anda semua membaca sendiri novel ini dan merasai sendiri pelbagai rasa & menghayati indahnya bahasa yang cuba disampaikan oleh penulis. Syabas untuk penulis!
sumber: Anita Sang
Mar 24, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment