Mar 3, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (8) Budak Kampung

Judul : Budak Kampung
Penulis : Datuk Lat
Terbitan : Berita Publishing Sdn Bhd
ISBN : 967-969-401-1


1. Ok. Buku yang berada di tangan saya ini adalah terbitan Berita Publishing Sdn Bhd. Cetakan yang ketujuh tahun 2006. Cetakan pertamanya adalah pada tahun 1979. Versi bahasa Melayu. Seperti yang sedia maklum, buku Budak Kampung ini telah diterjemah ke 13 bahasa lain di dunia. Kalau dalam bahasa Jerman, judulnya, Ein Frechdachs Aus Malaysia. Kalau dalam bahasa Arab, judulnya, Tifl Al-Qaryah.

2. LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal (LATKBSM). Akan dipentaskan di Istana Budaya bermula dari 16 Mac-3 April 2011. Hampir 3 minggu tempoh persembahannya.

3. Mak ai. Energi yang bukan sikit-sikit diperlukan bagi para pemain teater ni nanti.Selalunya teater di IB akan berlangsung 3, 4 malam bergantung kepada sambutan penonton. Kalau permintaannya tinggi, tempoh persembahan mungkin dilanjutkan 2, 3 malam lagi. Tapi untuk LATKBSM ini terus diberi hampir 3 minggu untuk penonton datang dan menontonnya. Dari sudut itu pun, LATKBSM ini sudah punya keistimewaannya tersendiri.

4. Sebenarnya tidaklah tepat setiap malam dari 16.3-3.4 itu persembahan berlangsung. Setiap hari Isnin sepanjang tempoh itu, mereka akan bercuti. Berehat. Satu hari dalam satu minggu.

5. Buku Budak Kampung ini mengisahkan mengenai kisah hidup Mat. Dari lahir sehingga dia keluar meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran di bandar.

6. Buku ini, menurut Datuk Lat, "kisah hidup teman semasa di kampung dulu tidaklah hebat sangat. Boleh dikatakan biasa saja." Memang kalau kita menjawab secara jujurnya, Budak Kampung hanya kisah-kisah biasa, zaman kanak-kanak penulis di kampung. Yang mana kisahnya itu lebih kurang sama seperti kisah kita-kita semasa kecil. Bahkan mungkin ada yang mempunyai kisah yang lebih menarik lagi.

7. Dan saya terfikir apa yang membuat buku ini menarik? 13 bahasa lain di dunia! Bukan calang-calang punya bahasa. Italy. Sepanyol. Jepun. Korea. Apa yang mereka suka sangat pasal buku ini?

8. Lama kemudian baru saya fahami. 'Kisah hidup teman' yang biasa-biasa itulah yang membuatnya menjadi sangat menarik dan diminati di samping lukisan Datuk Lat sendiri.

9. Orang luar berasa tertarik dengan cara kanak-kanak kita di Malaysia membesar. Bermula selepas dilahirkan, kemudian ada pula adat mencukur jambul, naik buaian, 'bermarhaban', sehingga besar sedikit, mandi sungai, tangkap ikan, memancing, pergi mengaji, ustaz garang, di samping itu pula ada juga majlis perkahwinan, main tarik-tarik upih pinang, musim buah, dan banyak lagi. Semua itu ada diceritakan di dalam buku ini.

10. Perkara-perkara dan suasana-suasana begitu tidak terdapat di dalam pengalaman hidup kanak-kanak lain yang hidup di bandar-bandar. Satu pengalaman yang unik yang Datuk Lat kongsikan bersama. Itulah yang membuatkan orang berasa senang dan terpikat dengan Budak Kampung ini.

11. Tetapi ini adalah cerita sekitar tahun 50an dulu. Kita di zaman teknologi kini. Barangkali perkara-perkara yang dilalui Datuk Lat itu sekarang telah 'pupus' di kalangan anak-anak kampung. Barangkali. Dengan kecanggihan teknologi, komputer riba, internet, youtube, facebook, iphone, PS3, xbox, dan segala macam lambakkan teknologi lainnya, menarik upih pinang sudah tidak mengujakan lagi.

12. Untuk berlaku jujur, realitinya sekarang, anak-anak milenium tidak lagi mahu mengambil pusing perkara-perkara yang berkaitan dengan adat-adat, budaya-budaya ketimuran ini. Atau adat orang Melayu. Remaja mana yang masih lagi minat dengan tarian zapin di masa muzik kpop menjadi kegilaan sekarang? Siapa lagi yang rela bersusah-susah nak belajar bunga-bunga silat sedangkan sudah ada Stone Cold Stunner sekarang? Ibu mengandung mana yang tahan dengan pantangan-pantangan selepas bersalin kini? Tepek-tepek dahi dengan daun-daun, herba-herba yang namanya pun tidak diketahui? Ada lagi, di zaman pil-pil, suntik-suntik, ini yang nak buat begitu? Ya, mungkin ada. Mungkin juga sudah tak ada.

13. Jika kalian masih ingat, gemulah P. Ramlee pernah menyebutkan, di masa dirinya sudah tidak 'disukai' lagi ketika itu, bahawa, dada-dada anak Melayu kita ini perlu diisi dan dipenuhkan dengan muzik-muzik, budaya-budaya, elemen-elemen ketimuran agar nanti bila datang sesuatu anasir-anasir dari luar yang bertentangan dengan apa yang telah terisi di dalam dada mereka, maka ia akan ditolak dengan sendirinya.

14. Itu yang berlaku. Dada dan jiwa kita kosong. Saya tidak bercakap untuk hanya anak-anak kini, tapi mungkin dada dan jiwa yang kosong ini bermula dari zaman ibu-ibu dan bapa-bapa kita dahulu. Atau mungkin sebelum dari itu lagi. Datuk-datuk, nenek-nenek kita. Mungkin.

15. Sehinggalah lahirnya generasi-generasi yang ada sekarang. Tapi tidak bolehlah pula kita menuduh kesemuanya anak-anak sekarang kosong dada dan kosong jiwanya. Cuma kita boleh bertanya, kosong dengan apa? Terisi dengan apa?

16. Selepas menonton di youtube, video yang dihasilkan sendiri oleh anak tempatan, pasal seorang ustazah, pasal Valentine Day, agak sukar juga mahu menentukan apa yang terisi dalam dada, jiwa, dan fikiran kita kini. 'Orang agama' diperlekehkan, tidak dihormati, dihina, diperbodohkan. Tak perlulah google video itu, buat sakit hati nanti.

17. Mungkin kalau ada Ucop membaca entri ini, tentu-tentu dia akan menulis komen, "kita bako je!"

18. Teater LATKBSM ini diarahkan bersama oleh dua orang sahabat, Hans Isaac dan Harith Iskander. Sementara watak Lat@Mat di dalam teater ini nanti akan dimainkan oleh Awie. Di samping beberapa nama besar lainnya seperti Jalil Hamid, Atilia, Omar Abdullah, dan lain-lain.

19. Penonton pasti mengharap sesuatu yang memukaukan. Tapi ada dengar-dengar cerita pentas IB sekarang sedang mengalami masalah teknikal. Membuatkan ia tidak boleh bergerak bebas seperti selalu. Turun naik turun naik. Moga masalah ini dapat diatasi sebelum LATKBSM bermula.

20. O, sebelum entri ini berakhir, satu soalan yang bermain-main di fikiran. Mengapakah teater ini diberi tajuk LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal? Kenapa tidak LAT Budak Kampung Sebuah Muzikal?

21. Buku Budak Kampung ini, ketika membacanya pasti akan mengembalikan, tak banyak, sedikit, nostalgia-nostalgia pembaca ketika kecil dengan suasana kampung sehingga akhirnya pembaca akan tersenyum sendiri-sendiri. Buku kartun ini, seperti juga kartun-kartun Datuk Lat yang lainnya, perlu dibaca dengan perlahan-lahan. Baca jalan ceritanya, kemudian teliti setiap inci dari lukisan Datuk Lat di setiap helaian muka surat. Kerana disebalik inci lukisan itulah yang terselit perkara-perkara menarik dan seronoknya.

22. Sungguh, untuk buku ini, versi bahasa Melayu, saya tidak tahu di mana untuk mencarinya lagi. Mungkin kalian perlu melakukan kerja-kerja menggoogle dengan lebih gigih untuk mendapatkan Budak Kampung.

23.Semoga bermanfaat. *Untuk melihat sedikit biodata Datuk Lat dan asal usul nama Lat itu, boleh rujuk entri Mat Som - Datuk Lat (episod 2)

sumber: Melihat-Buku

0 comments: