Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 512
Tahun : Disember 2010
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM19.90
Sinopsis
RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru... dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.
Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.
RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dalam lingkaran saspens, seram dan misteri dalam novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre yang berbeza dalam karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.
* * * *
Sebagai penggemar karya fiksyen Ramlee Awang Murshid (RAM), sememangnya naskhah ini menjadi pilihan saya untuk dibaca untuk cabaran 50 buku saya. Kali ini RAM tampil dengan genre SaiFai (Sains Fiksyen).
Rayyan Fantasi, kisah bermula di suatu malam yang sunyi. Kemunculan Ibrahim yang menumpang teduh daripada basah hujan di teratak Pak Markum bersama anak kecil yang menangis kesejukkan dan kelaparan, penuh misteri. Aiddin, si anak yang baru kematian ibu membuatkan Pak Markum dan Supinah anak daranya jatuh belas. Bermula hidup Ibrahim bersama anaknya Aiddin di Lembah Kundasang atas ehsan Pak Markum sebagai ‘keluarga’ baru. Apatah lagi Ibrahim tidak punya tempat yang hendak di tuju. Daripada kasihan menjadi kasih, akhirnya dengan restu Pak Markum, Supinah dikahwinkan dengan Ibrahim.
Aiddin membesar menjadi anak yang sangat pintar. Supinah mengasihi Addin bagaikan anak kandung. Daripada Aiddin kecil hinggalah usianya 10 tahun, hidup mereka sekeluarga tenang-tenang sahaja. Hinggalah di suatu hari Aiddin yang selama hidupnya tidak pernah sakit, jatuh pengsan. Ada sebab yang menyebabkan Aiddin pitam, hanya Ibrahim yang tahu.
Peredaran masa membuatkan Aiddin tumbuh menjadi anak muda yang bijak lagi pintar. Melayakkan dia menyambung pelajarannya di UKM Bangi. Peluang terbuka ini membawa kepada perpindahan Ibrahim dan Supinah ke Semenanjung. Ada alasan lain juga kenapa Ibrahim berpindah ke Semenanjung.
Malangnya kegembiraan mereka tergugat apabila Aiddin disahkan mengidap barah otak tahap empat. Kecewa dengan penyakit yang dideritainya Aiddin ingin melunaskan impian terakhirnya, mendaki Puncak Gunung Kinabalu. Di temani teman-teman seuniversiti, Feena yang telahpun menjadi tunangannya, Suhaila, Mei Long dan Zaidan, Aiddin memulakan pendakiannya. Malang menimpa apabila Aiddin hilang tanpa jejak ketika menuruni puncak gunung.
Kehilangan Aiddin penuh misteri. Tiada siapa yang dapat merungkai kehilangannya. Ibrahim yang tidak sanggup melihat Supinah derita kehilangan anak, membongkar rahsia siapa mereka sebenarnya. Malangnya Supinah yang tidak dapat menerima hakikat, dengan tega menghalau Ibrahim daripada rumahnya (dan dari hidupnya juga).
Selepas 5 tahun berlalu, kehilangan Aiddin tidak lagi diambil endah. Hinggalah dia muncul di kaki Gunung Kinabalu bersama Ibrahim dalam keadaan yang penuh tanda tanya. Muncul bersama misteri pembunuhan yang mengerikan.
Siapakah Ibrahim dan Aiddin yang sebenarnya? Apa rahsia yang diselindungkan oleh Ibrahim hatta anaknya sendiri tidak mengetahuinya? Ada musuh yang memburu, tapi siapakah musuh itu dan siapa pula yang diburu? Ada suara yang berbisik di telinga Aiddin menyeru Rayyan agar kembali. Tapi siapakah Rayyan? Dan suara siapakah yang menghantui Aiddin? Segalanya penuh tanda tanya dan perlukan penjelasan.
Teruja? Ingin tahu apa rahsianya? Anda harus baca dan selongkar sendiri. Cari jawapan pada setiap persoalan yang berlegar dibenak anda. Dan yang pastinya setiap persoalan, jawapannya hanya ada dalam naskhah Rayyan Fantasi ini.
Rasa Saya:
Kali ini RAM membawa kita menjelajah ke dua dunia yang berbeza. Dunia Realiti dan Dunia Fantasi. Membaca Rayyan Fantasi ini saya dibawa ‘mengembara’ ke dunia yang tiada titik temu. Dunia yang dinamakan dunia Fantasi. Dunia makhluk asing? kalau boleh saya andaikan begitu. Dunia yang pada realitinya sangat mustahil untuk kita terokai. Saya cuba membayangkan saya berada di dunia bunian. Walau hakikatnya saya sendiri tidak tahu bagaimana rupa bentuknya dunia bunian itu.
Sebagai pembaca, adakalanya kita akan cuba mencipta ‘layar perak’ kita sendiri berdasarkan daya imaginasi kita ketika membaca. Namun saya terasa bagaikan tersesat. Kecanggihan teknologi beserta keadaan rupa bumi yang digambarkan di alam fantasi itu terlalu fiksyen... terlalu tinggi jika dibandingkan dengan dunia realiti. (hehehe dah namanya buku fiksyen, apalah wan nih!!)
Sebagai penggemar karya RAM dan hampir kesemua novel tulisan RAM menjadi koleksi saya, saya bagaikan boleh terima keadaan itu walaupun secara peribadinya saya lebih gemar gaya RAM ketika berkarya menerusi sekual Bagaikan Puteri. Yang berkisah di zaman Kesultanan Melayu Melaka atau sezaman dengannya. Mungkin kerana faktor bahasa yang memainkan peranan. Pada saya, bahasa RAM agak kaku ada kalanya. Walau bagaimanapun ini tidak menjadi masalah besar bagi saya kerana RAM bijak mengatur strategi yang memaksa saya baca, baca dan baca (lupakan bahasanya) untuk sampai ke garisan penamat dan merungkai setiap persoalan yang menjerat minda saya. Saya ingin tahu kesudahannya!
Sebagaimana biasa, RAM bercerita tanpa kronologi. Sesuka hatinya mengatur cerita. Jangan terkeliru apabila anda tiba-tiba berada di dunia Fantasi tanpa anda sedari. Dan jangan terpinga-pinga apabila anda tiba-tiba berada di 10 tahun yang lalu atau sekelip mata anda berada di zaman yang beribu-ribu tahun akan datang. Selalunya RAM akan memberi klu sebagai panduan agar pembaca tidak tersasar jauh.
Jadi nasihat saya, baca jangan berhenti...
Selamat membaca moga pembacaan ini memberi inspirasi pada anda.
Dan jangan biarkan hidup anda diselubungi, misteriiii... hehehehe
Mar 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment