Mar 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (2) Rayyan Fantasi

Novel paling kini daripada penulis prolifik Alaf21, Ramlee Awang Murshid. Sangat prolifiknya sehingga ketika anda sedang menghabiskan bacaan pada novel terbarunya ini, beliau sudah merangka sebuah novel yang lebih baru lagi. Sutera Bidadari. Lanjutan kisah Laksamana Sunan.

Novelis thriller nombor 1 Malaysia ini, (gelaran yang saya tidak tahu daripada siapa) sekali lagi telah berjaya dengan penceritaan berunsurkan saspen dan seram dan menjentik rasa ingin tahu para pembaca dari awal sehingga ke akhir bab.

Sebenarnya saya tidak patut bocorkan rahsia mengenai kisah Rayyan Fantasi (RF) ini di sini. Para pembaca patut membacanya sendiri untuk merasai debaran dan kejutan-kejutan yang disajikan dalam RF. Oleh kerana penulisnya telah menyusun bab demi bab bagi mewujudkan debaran dan suasana saspen itu, maka ia menjadi tidak menarik lagi jika pembaca telah terlebih dahulu tahu mengenai RF sebelum membaca RF.

Oleh itu saya nasihatkan, kepada yang sedang membaca novel ini, dan tidak mahu kehilangan perkara saspen itu dalam bacaan kalian, boleh alih kepada entri saya yang lain.

Rayyan Fantasi berkisah mengenai dunia makhluk asing. Ya benar, makhluk asing. UFO. Piring terbang. Tapi RF ini bukan sekadar novel makhluk asing yang tersesat jatuh ke bumi, bahkan imaginasi penulisnya lebih jauh lagi. Beliau membawa para pembaca ke planet makhluk asing itu sendiri!

Melalui watak Aiddin (nama watak di planet bumi), seorang anak yang dibesarkan di negeri Sabah, penceritaan novel ini dikembangkan. Bermula dengan kehidupannya yang seperti kanak-kanak lain, bermain, membesar, bersekolah, beruniversiti, sehinggalah Aiddin yang disahkan menghidap barah otak tahap empat, kemudian hilang di atas Gunung Kinabalu, yang sebenarnya beliau telah diculik makhluk asing dan dibawa ke 'negeri' asalnya, kerana pencarian yang tidak berhasil ke atas dirinya, Aiddin disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang di bumi.

Namun ayahandanya telah mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anaknya itu, kerana beliau juga sebenarnya makhluk asing!

Ayah Aiddin bernama Ibrahim (nama di planet bumi) dahulunya merupakan seorang pemimpin di dunia makhluk asing. Namun kerajaannya telah digulingkan melalui satu rampasan kuasa oleh orang kanannya sendiri. Lantaran itu Ibrahim melarikan diri ke planet bumi bersama dengan anaknya. Dan beliau berkeputusan untuk terus menetap di planet bumi serta melupakan segala peristiwa dan asal usulnya di planet sana.

Seperti mana yang para pembaca setia tulisan RAM ketahui, RAM sememangnya sangat gemar bermain dengan masa di dalam setiap novelnya. Beliau akan bercerita dengan tidak mengikut susunan. Bermula dengan masa kini, lalu dialih kepada masa silam, sebelum memasuki masa hadapan, dan kembali semula ke masa kini. Bagi yang telah sering membaca novel-novel RAM, stail seperti ini memang tidak akan berasa kejanggalannya.

Tetapi untuk novel RF ini pula, RAM tidak hanya bermain dengan perkara masa itu, bahkan beliau bermain dengan permainan masa yang berlebihan pula!

Jika anda telah membaca novel ini anda akan mengerti maksud saya. Bagi para pembaca yang dari jenis membaca cara 'perlahan', satu hari satu bab, maka kalian akan berasa kehilangan dan sedikit keliru dengan gaya RF ini yang sekejap ke depan, sekejap ke belakang, dan ke depan semula dari perihal masanya. Namun bagi yang membaca satu malam satu novel, ini tidak menjadi masalah.

Cuma bersedia sahajalah untuk membelek-belek semula muka surat belakang jika anda berasa kehilangan itu.

Secara tidak menipunya saya katakan, novel terbaru Ramlee Awang Murshid ini bukanlah novel terbaik yang pernah saya baca dari tulisan beliau. Sebelum ini saya telah membaca hampir kesemua novel-novel beliau bermula dari Tombiruo (1998), Ranggau, Mandatori, Semangat Hutan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, dan terbaru sebelum ini Cinta Sufi (2010). Bahkan novel beliau yang jarang diketahui seperti Anugerah Pertama-Kasihnya Tercicir Di Perjalanan Masa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (2000) juga saya miliki dan membacanya.

Dan saya dapat melihat RAM 'membesar' dalam setiap novelnya. Perlahan-lahan gaya beliau lebih teratur dan menjadi enak dihadam. Plot-plotnya akan berkembang cantik dengan watak-watak yang selalunya kita akan berasa dekat sekali dengan diri dan persekitaran.

Namun pada novel RF ini saya rasakan sedikit berlebihan. Membawa kisah misteri makhluk asing terasa seperti terkeluar dari kebiasaan RAM. Yang selalunya akan dekat dengan realiti. Perkara berlebihan dalam berimaginasi inilah yang membuatkan novel ini sedikit menghampakan saya. Mungkin benar ia suatu yang lain, suatu percubaan yang berbeza RAM dari novel-novel sebelumnya, tapi bagi saya ia sedikit 'berlebihan'.

Tapi itu bukan alasan untuk tidak membeli novel ini.

Apa yang berlaku kepada Aiddin setelah diculik itu? Dan mengapa pula dia diculik? Apakah pula tindakan ayahnya, Ibrahim setelah anaknya diculik?

Soalan-soalan itu akan dijawab sendiri oleh Rayyan Fantasi. Boleh dibeli di toko-toko buku berhampiran. Atau jika berasa malas-malasan untuk keluar ke kedai membelinya di musim hujan-hujan begini, kita ada brother-brother posmen yang sedia membantu. KLIK.

Semoga memperolehi manfaat dari bacaan.

sumber: Melihat-Buku

0 comments: