Mar 18, 2011

WA : Cabaran 50 Buku : (9) Akulah Cinderella

Pengarang : Nozi Danisya
Halaman : 376
Tahun : Cetakan kedua – Feb 2011
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM18 / RM21



Sinopsis

Akulah Cinderella ini berkisah tentang seorang anak yang kehilangan kedua orang tuanya dalam kecelakaan jalan raya. Kisah seorang kakak yang terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai ‘office boy’ di siang hari dan di restoran Mak Cik Senah di malam hari demi menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh orang tuanya.

Syah - Nur Aisyah, kakak sulung harus bertanggungjawab penuh pada adik-adiknya yang seramai empat orang itu. Di usia 17 tahun dia harus ber`lagak’ macho dengan harapan dapat menghindarkan dirinya daripada ‘mata-mata jahat’ yang ada niat tak baik padanya ketika dia harus keluar bekerja (terutamanya di malam hari). Dia harus tegar demi membela nasib adik-adiknya.

Masalah datang bertimpa-timpa. Bermula dengan masalah tempat tinggal hinggalah masalah hak penjagaan terhadap adik-adiknya yang semuanya masih kecil. Mereka diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan rumah dan keluar daripada tanah tempat mereka berteduh. Rumah yang didirikan atas tapak tanah Pak Haji Yahya yang baik hati. Namun kematian Pak Haji Yahya menyebabkan anak menantunya menghalau mereka keluar atas alasan tanah itu akan dijual. Tambah merumitkan keadaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula bertandang dan mendakwa bahawa dia tidak layak untuk menjaga adik-adiknya kerana dia sendiri masih di bawah umur (17 tahun).

Namun segalanya mula berubah apabila Syah menyelamatkan Datin Zulaikha yang dalam kesulitan. Bagaikan sudah tersurat, takdir hidupnya mula berubah. Kehadiran Datin Zulaikha membuka jalan penyelesaian pada Syah dan adik-adiknya. Mereka dijadikan anak angkat oleh Datin Zulaikha.

Syafiq Daniel, perkenalannya dengan Syah dalam keadaan yang haru-biru. Syah yang disangkanya lelaki dipukul dan dilempang oleh Syafiq tanpa belas kasihan. Aduh! Bagaikan badi, mereka bertemu dan sering bertegang leher. Bermulalah ‘perang saudara’ antara mereka. Namun yang lebih merumitkan keadaan, Syafiq adalah anak lelaki Datin Zulaikha dan sekaligus abang angkat Syah dan adik-adiknya - Alia, Ain, Azah & Aiman.

Amankah hidup Syah apabila harus hidup dibawah satu bumbung dengan 'musuh'nya? Bagaimana kesudahan kisah Syah-Syafiq ini? Bacalah Akulah Cinderella ini dan dapatkan jawapannya!


Rasa Saya:

Membaca judulnya, saya terbayangkan kisah seorang anak malang yang didera fizikal dan mental oleh ibu dan saudara-saudara tirinya. Kisah anak malang yang kehilangan ibu kandung, kemudian dibawa oleh bapa kandung tinggal bersama isteri barunya bersama anak-anak tirinya. Malang menimpa, apabila bapa kesayangannya juga meninggal dunia. Dan hiduplah dia bersama ibu tiri dan kakak-kakak tirinya. Itu kisah dongeng Cinderella yang pernah saya tonton dan baca.

Secara peribadinya saya memang tidak dapat membuang ‘imej’ Cinderalla yang berakar umbi dalam minda saya. Jadi bila naskhah ini menggunakan Akulah Cinderella sebagai judulnya, sedikit sebanyak saya cuba memadankan setiap watak dan perwatakkan dalam Akulah Cinderella ini dengan watak-watak yang ada dalam kisah Cinderella yang saya tahu.

Jangan salahkan saya apabila saya cuba mencari di mana signifikannya judul dengan plot sesebuah cerita, kerana itulah yang saya buat ketika membaca sesebuah karya kreatif. Judul dan plot cerita seharusnya ada hubung-jalinnya. Itu pendapat sayalah. Mungkin saya salah.

Dalam naskhah ini, saya merasakan bahawa Datin Zulaikha itu adalah ‘Fairy Godmother’ yang menjadi penyelamat ‘Cinderella’ apabila dia dirundung malang dan ditimpa kesusahan dan Syafiq Daniel adalah 'Prince Charming'. Cuma yang berbeza, Syah bukan anak tiri dan dia tiada adik beradik tiri. Kisahnya juga berbeza, Syafiq Daniel bukan ‘Prince Charming’ yang menjadi pujaan ramai walaupun dibayangkan dia lelaki yang cukup kacak dan menarik kerana dalam cerita ini tiada watak antagonis yang akan merampas ‘Prince Charming’ daripada tangan ‘Cinderella’. Yang ada cuma watak Intan, yang terlalu obsess pada Zailan yang sukakan Syah. Itupun tidak cukup kuat untuk buatkan saya bencikan ‘Intan’. Ada sesuatu yang ‘kosong’, tapi saya tidak tahu di mana puncanya.

Satu lagi kelemahan saya ketika membaca sesebuah karya, saya suka meletakkan diri saya ‘dalam’ satu-satu watak agar setiap ‘roh’ dapat saya rasai jiwanya. Malangnya saya tidak berjaya meletakkan diri saya dalam ‘kasut’ Syah. Saya tidak boleh menjadi Syah.

Apa-apapun Akulah Cinderella masih mampu menarik tumpuan saya yang adakalanya tersasar, dengan tindak-tanduk Syah dan Syafiq yang menjadi tonggak utama dalam karya ini. Walaupun ada kalanya ia agak keanak-anakkan pada saya yang sudah berusia ini.

Selamat membaca.

0 comments: