Mar 8, 2011

UH: Cabaran 50 Buku: (2) Travelog Cinta Abadi


Tajuk: Travelog Cinta Abadi : Masa yang Berlalu
Penulis: Roza Roslan (Raudzah Roslan)
Genre: Islamik (rasanya)
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd
Penilaian:


Tiada kata-kata indah yang dapat aku nyatakan setelah selesai membaca buku ini. Ini kerana semua kata-kata indah itu telah tertulis di dalam buku ini. Kesemua 93 bab yang termuat di dalam buku ini memang memberi inspirasi dan tidak jemu dibaca. Memang tidak jemu kerana aku sudah membaca separuh dari buku ini sebanyak dua kali!

Aku mengagumi gaya bahasa Puan Roza sebagai penulis. Pengalaman hidup beliau semasa kecil dinukilkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami, selamba dan sempoi. Semua yang tersurat dan tersirat masuk terus ke dalam jiwaku sebagai pembaca. Ditambah lagi dengan doa-doa ringkas bisikan hati seorang kanak-kanak yang melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakannya. Wah, memang aku kagum dengan bakat menulisnya. Kalau aku berada di hadapan beliau, aku akan menunjukkan tanda bagus kepadanya. Bukan satu, tapi 2 jempol! Two thumbs up!

Penulis juga telah berjaya membuatkan kelopak mataku digenangi air semasa membaca coretan kenangan hidup beliau di bab-bab tertentu. Cerita penuh dengan suka, duka, tangis dan tawa dapat aku selami. Aku perasan, ada satu hobinya yang dekat denganku - memanjat pokok. Sama tapi tidak serupa kerana Puan Roza handal memanjat pokok yang tinggi. Aku hanya suka memanjat pokok jambu batu yang rendang di sebelah rumah nenek jika aku pulang ke kampung.

Buku ini juga menyedarkan aku betapa indahnya pengalaman kita semasa kecil. Sesungguhnya setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya tetapi sebagai seorang anak kecil, amat payah untuk kita menemui hikmah itu tetapi penulis berjaya 'berfikir di luar kotak'. Beliau menjadikan setiap yang datang sebagai cabaran dan batu loncatan untuk mematangkan fikirannya. Ada satu bab yang telah membuatkan aku ketawa berdekah-dekah semasa habis membacanya. Bab 29: Taekwando. Berikut adalah sebahagian coretan penulis di bab itu.

"Bxxx tidak berhenti-henti mengejek walaupun Ustazah Sifa' sudah berada di dalam kelas. Ejekannya semakin lama semakin kesat dan pedih. Dia seperti sudah tidak mempedulikan sesiapa lagi. Seolah-olah langsung tidak mahu menghormati guru.

Lalu saya meluru ke arah Bxxx, menyinsing kain uniform baju kurung sekolah dan terus memberi satu flying kick ala-ala taekwando. Sepakan terbang itu hinggap ke badan Bxxx. Saya asak dia ke dinding dan pulas tangan kirinya ke belakang."


Buku ini mempunyai nilai yang tinggi padaku. Aku sangat menyukai buku ini. Semoga sesiapa sahaja yang membaca buku ini akan menyukainya. Tahniah Puan Roza. =))

--

sumber: Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem

0 comments: