Mar 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (6) Musafir

Novel ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1959 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Memenangi tempat kedua (tempat pertama tiada pemenang) dalam pertandingan mengarang novel anjuran DBP pada tahun 1958. Mengalahkan 48 buah novel yang lainnya termasuklah novel Gerhana, yang mana kemudiannya ditukar menjadi Salina, tulisan A. Samad Said.

Musafir merupakan sebuah novel yang bersifat sederhana, novel kecil, yang mengisahkan perjalanan hidup seorang mualaf, Sulaiman (Leman)@Lee Han.

Menurut DBP, kesederhanaan Musafir telah memelihara ia dari sifat-sifatnya sebagai novel kecil daripada cacat-cacat yang besar.

Oleh kerana itu, sebagai pembaca kita dapat rasakan perjalanan novel ini sebegitu lancar untuk dihadam, dapat pula bermusafir bersama Leman dalam kehidupannya yang pada ketika-ketika tertentu, pengalaman serta pandangan hidupnya melebarkan jalan berfikir pembaca.

Musafir bermula dengan kisah Leman (ketika itu masih lagi Lee Han) bertemu dengan Pak Aji Dollah, ayah angkat serta insan yang bertanggungjawab mengislamkan dirinya. Dari situlah Leman meneruskan hidupnya sebagai seorang mualaf dengan suasana kampung yang asing baginya.

Kehadirannya sebagai seorang musafir, mualaf pula, walaupun sebahagian penduduk kampung menyenangi namun tidak kurang juga yang memandang dengan pandangan serong kepadanya.

Sebagai seorang yang berbangsa Cina, Leman memiliki semangat dan kerajinan yang tinggi. *Apakah bangsa-bangsa selain bangsa Cina itu tidak bersemangat dan rajin? Sebenarnya perkara ini mempunyai penghujahan yang panjang lebar. Kalian boleh membaca buku Dilema Melayu-Tun Dr Mahathir Mohamad pada bab 3, Pengaruh Keturunan dan Alam Sekitar ke atas Bangsa Melayu. Dalam bab itu ada dikemukakan kajian daripada ahli sains terkemuka, Gregor Johann Mandel, berkenaan faktor keturunan ini mempengaruhi peribadi seseorang.

*Buku Dilema Melayu sekarang telah dicetak baru, dan boleh didapati dengan mudah di toko-toko buku ternama.

Dengan semangat dan kerajinan itu, Leman telah berjaya membuka sebuah kedai kecil di dalam kampungnya itu. Darah perniagaan yang dipusakai dari datuk neneknya.

Kemudian oleh kerana perasaan dengki seseorang, Leman telah difitnah, yang mana akhirnya dia telah dipaksa keluar dari kampung itu. Bermusafir semula.

Bercerita mengenai novel ini, Hasan Ali berkata, teks asal telah ditulis tangan semuanya sebelum dihantar memasuki peraduan itu. Dan beliau telah membeli sebuah mesin taipnya yang pertama hasil daripada wang hadiah yang dimenangi dari novel ini. Dari mesin taip inilah pula, lahirnya karya-karya beliau yang lain.

Cerita musafir Leman itu berlaku beberapa kali, sehingga akhirnya dia menjadi tauke lombong yang mana merubah cara dia berfikir dan menjalani kehidupan sehari-hari sebagai seorang tauke yang kaya. Sungguhlah pula hidup seorang miskin itu tidak mungkin akan pernah sama seperti hidupnya orang kaya.

Leman mula sibuk dengan urusan dunia, sehingga mengabaikan solatnya yang sebelum ini begitu patuh dia kepadanya. Leman juga sudah mula berjinak-jinak dengan kelab malam, minuman-minuman keras.

Sehinggalah kerana perkara maksiat yang dilakukannya itu mengakibatkan hidupnya menjadi tidak setenteram dahulu. Masalah menimpa satu demi satu, yang mana akhirnya menyebabkan perniagaannya mengalami kerugian dan terpaksa ditutup.

Leman mula menginsafi dirinya selepas kejadian itu. Perlahan-lahan dia mula sedar akan kesilapannya.

Novel Musafir ini ditulis pada tahun-tahun negara Malaysia dia ambang kemerdekaan. Suara-suara kemerdekaan telah kedengaran bahkan hangat diperkatakan. Musafir ini lahir pada ketika itulah. Ketika negara diberi kebebasan mentadbir rakyat dan tanahnya sendiri.

Seperti yang dinyatakan seawal tadi, Musafir adalah sebuah novel yang bersifat sederhana. Perkara sederhana ini mungkin ada sesuainya dilihat pada rakyat yang baru diberi kemerdekaan pada ketika itu. Jika dilihat, novel Musafir ini dimulakan dengan perjalanan hidup watak utamanya, Leman, yang mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Kesukaran dan kepayahan dalam setiap kembaranya itu telah mendewasakan diri dan jiwanya. Sehinggalah dirinya menjadi senang lalu mengakibatkannya lupa diri, lupa asal usul.

Bagi masyarakat yang baru merdeka, setelah ditindas dan berjuang untuk kemerdekaan itu, dalam keadaan derita dan mempertarungkan nyawa, kebebasan dan kemerdekaan yang baru dikecapi itu, seharusnya tidak dipersiakan dengan memanjai diri dengan kesenangan kesan dari kemerdekaan itu, yang mana akhirnya akan menjadikan rakyat itu lupa diri, lupa pada erti berjuang. Sehingga mengakibatkan malapetaka kepada diri sendiri dan negara, sepertimana yang terjadi kepada watak Leman di dalam novel Musafir ini.

Seperti mana biasa, Musafir ini adalah novel lama, payah sekali mahu berjumpa di kedai buku. Tetapi boleh didapati di laman sesawang Dawama. *Harga diskaun.


sumber: Melihat Buku

1 comments:

Pei Pan said...

Saya kira novel-novel yang sezaman dengan novel Musafir di tulis banyak mencerminkan "bencikan" orang bukan Melayu. Hal ini agak ketara ketika Awang Had Salleh menulis novel Biru Warna.

Dalam Musafir sendiri elemen ini agak ketara - dari segi penerimaan orang kampung terhadap Leman.