Penulis : Areila Sahimi
Penerbit : Kaki novel
Terbitan : 2009
Baju Pengantin Mak Andam (BPMA) menceritakan kisah Aleeya dan Zain yang terserempak di sebuah majlis perkahwinan.
Aleeya – bekerja sambilan di butik pengantin Kak Ana dan bekerja tetap di salah satu sektor kerajaan di Putrajaya. Mempunyai tingkah laku yang agak berlagak atau sombong, ada ketikanya agak kasar dalam berkomunikasi dengan orang sekeliling.
Satu hari, Kak Ana meminta jasa baik Aleeya untuk menggantikannya menjadi mak andam di majlis perkahwinan Harlina. Dalam keadaan kelam kabut menyiapkan pengantin perempuan, Aleeya ‘dipinjam’ pula oleh pengantin lelaki bagi membetulkan kain sampin yang dipakai oleh pengantin lelaki. Dalam masa yang sama, pengapit pengantin lelaki pula mengada-ngada dan menyuruh Aleeya memperbetulkan sampinnya juga. Dengan hati yang agak tidak ikhlas, Aleeya terpaksa melayan karenah pengantin lelaki dan pengapitnya. Zain, adalah pengapit pengantin lelaki, bermula dari memperbetulkan sampin, terus mereka berkenalan dan menjadi sahabat.
Zain terpikat dengan perwatakan bersahaja yang ada pada Aleeya. Kiranya Zain telah jatuh cinta pandang pertama pada Aleeya. Zain melayan Aleeya dengan begitu baik sekali. Tapi, Aleeya buat-buat tidak faham dengan maksud tersirat yang tersimpan di hati Zain. Sebenarnya, Aleeya juga menyimpan dan menaruh perasaan kasih pada Zain, disebabkan tahap keegoan yang tinggi dan merasa sedikit serik untuk terjebak dalam alam percintaan lagi. Mungkin Aleeya masih merasa terluka akibat dipermainkan oleh bekas kekasihnya, iaitu Cikgu Azizul. Usaha Zain untuk mengajak Aleeya berkongsi hati dipandang sepi oleh Aleeya. Malah Aleeya menganggap yang Zain hanya bergurau dengannya.
Zain tekad untuk memenangi hati Aleeya. Setelah Aleeya betul-betul jatuh hati dengan Zain, masalah baru datang melanda Aleeya iaitu dengan kehadiran kekasih lamanya Azizul. Walaupun hakikatnya Azizul telah selamat mendirikan rumahtangga bersama Lily di atas airmata kekecewaan Aleeya, kini Azizul datang kembali untuk menagih kasih Aleeya. Zain setia mendengar masalah yang dihadapi oleh Aleeya. Aleeya juga telah memdapat semangat yang baru untuk menguatkan diri. Aleeya juga tidak sanggup untuk mengecewakan hati Lily yang datang merayu padanya supaya melepaskan Azizul. Secara tidak sengaja hubungan Lily dan Aleeya pula menjadi rapat seperti adik dengan kakak. Pada Aleeya pula menjadi tempat Lily mencurahkan isi hati dan segala masalah rumahtangganya dengan Azizul.
Zain telah tersalah faham dengan pertemuan Aleeya dan Azizul di Restoran Nasmir bagi menyelesaikan masalah antara Azizul dan Lily. Zain menganggap Aleeya ingin menyambung kembali kasih yang sudah terputus bersama Azizul. Zain mengambil keputusan untuk menyepikan diri. Namun bila Aleeya dan adiknya bertandang ke Langkawi untuk menghabiskan cuti bersamanya, Zain sudah tidak dapat mengawal api cemburunya lagi. Pergaduhan antara Zain dan Aleeya pun meletus. Akhirnya, Zain mengambil keputusan untuk tidak menghubungi Aleeya lagi, setelah dua tahun berlalu, barulah hati Zain sejuk dan tekad untuk mendekati Aleeya kembali.
Kesudahan jalan cerita yang sememang telah dapat saya agak dari awal. Zain dan Aleeya bahagia bersama.
sumber : nOOr hEkmAt
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment