Mar 11, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (11) Menuju PAS Baru : Krisis, Peluang Dan Dinamisme


Judul : Menuju PAS Baru : Krisis, Peluang Dan Dinamisme
Penulis : Dr Mujahid Yusof
Terbitan : The Malaysian Insider
ISBN : 978-983-44524-6-9


1. Sebuah buku yang panas. Di kalangan orang PAS sendiri ada yang tak setuju dengan pandangan dan hujah yang Dr Mujahid kemukaan di dalam buku ini. Antaranya Dewan Ulama PAS Kedah. Juga Ustaz Riduan Mohd Nor yang mana telah pun melancarkan sebuah buku, sebagai jawapan terhadap Menuju PAS Baru Krisis, Peluang, dan Dinamisme Dr Mujahid ini. Buku yang berjudul Menerjang Badai : 60 Tahun Mempersada Perjuangan.

2. Buku Menuju PAS Baru ini ditulis berdasarkan kajian dan pemerhatian penulis terhadap konflik-konflik yang pernah, sedang, dan 'akan' berlaku di dalam parti PAS sejak awal penubuhannya dahulu sehingga alaf kini. Bagaimana konflik yang berlaku, krisis-krisis antara ahli, telah membawa PAS kepada apa yang dilihat waktu ini. Itulah judulnya dinamakan dengan, krisis, peluang, dan dinamisme.

3. Sebagai pembaca, saya cuba untuk membaca buku ini secara neutral, tidak memihak Dr Mujahid atau mereka yang kurang bersetuju dengan buku ini. Dan apa yang dilihat, memang benar ada bahagian-bahagian dari pendapat Dr Mujahid di dalam buku ini boleh mencetuskan polemik di antara ahli, atau yang benarnya telah pun mengakibatkan perbahasan antara mereka.

4. Apa yang tak setujunya? Mungkin ada beberapa perkara yang Dewan Ulama PAS Kedah dan Ustaz Riduan nampak di dalam buku ini yang bercanggah dengan pandangan mereka yang lain di dalam PAS. Tapi apa yang ditekankan adalah perkara 'menasionalkan PAS'. Ide yang dilontarkan Dr Mujahid untuk menasionalkan PAS agar sesuai dan diterima kehadiran parti itu di dalam zaman ini telah disanggah oleh Yusuf Mahmud, Naib Ketua Dewan Ulama Kedah.

5. "Idea menasionalkan PAS adalah tidak wajar kerana yang sepatutnya diketengahkan ialah Islam dalam pembentukan kenegaraan. Tindakan Mujahid jelas menunjukkan beliau cuba meneutralkan PAS dalam meraih undi masyarakat Malaysia. Bukan kita terpaksa menceduk apa yang telah menjadi praktikal parti-parti lain di Malaysia tetapi kita perlu ada jati diri." - Yusuf Mahmud.

6. Pertembungan ide begini sebenarnya sering berlaku. Lebih-lebih lagi terhadap sebuah organisasi politik seperti PAS. Tun Mahathir juga pernah tidak sefahaman dengan Tunku Abdul Rahman, yang mana beliau telah dihalau keluar dari UMNO kerana pandangan-pandangannya tidak selari dengan kerajaan waktu itu. Tidak mungkin dalam lingkungan ahli-ahli yang ramai, semuanya akan memiliki satu fikiran yang sama, asalkan sahaja segala pandangan yang dikemukakan tidak terkeluar dari pegangan dan ideologi penubuhan parti, maka kebebasan bersuara setiap ahli adalah tidak seharusnya disekat.

7. Dr Mujahid Yusof, 45, anak kelahiran Pulau Pinang merupakan anak kepada bekas Presiden PAS, Ustaz Tuan Haji Yusof Rawa. Serba sedikit sejarah PAS di dalam buku ini adalah di ambil sumber rujukannya daripada ayahandanya sendiri.

8. Menariknya buku ini, sama ada kepada orang awam atau ahli PAS, sebagai pembaca, boleh mengetahui serba ringkas mengenai sejarah penubuhan PAS. Selain dapat menelusuri perkara-perkara konflik yang pernah wujud di dalam PAS. Seperti konflik dwikeahlian, konflik di antara kaum tua dan kaum muda, dan seterusnya bagaimana terjadi Yang Dipertua PAS yang pertama, Tuan Haji Ahmad Fuad, yang membuat keputusan untuk meninggalkan PAS bagi bekerjasama dengan Datuk Onn Jaafar yang pada ketika itu telah keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent Malayan Party (IMP).

9. Banyak lagi perkara yang menarik di dalam buku ini. Contohnya seperti wujudnya persaingan antara tokoh, krisis kepimpinan di Terengganu yang telah mengakibatkan usul undi tidak percaya sehingga jatuhnya kerajaan PAS di Terengganu, bagaimana minatnya PAS kepada ABIM. Yang mana pernah terdapat cubaan-cubaan untuk merisik Anwar Ibrahim bagi menyertai PAS, sehinggalah ke soal kafir-mengkafir, isu perpaduan UMNO-PAS, dan hala tuju PAS yang baru.

10. Buku ini ditulis dalam lingkungan ilmu dan hujah serta analisis yang dilakukan oleh Dr Mujahid. Pandangan yang dilontarkan menampakkan bagaimana Dr Mujahid mahu agar PAS kekal relevan di waktu ini, di dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

11. Selain dari membaca isi sesebuah buku, kadang, saya juga suka melihat kulit sesebuah buku untuk memperkaitkan antara kulit dan isinya. Dan buku ini, Menuju PAS Baru, kulitnya meletakkan ilustrasi seorang remaja berkemeja, berseluar pendek, sedang membahu bendera PAS berjalan, mungkin menuju destinasi baru seperti yang diimpikan penulisnya.

12. Saya suka dengan warna yang dipilih untuk menghiasi kulit buku ini. Hijau dan putih, tipikal untuk PAS, dan hitam, elegan sungguh. Cuma gambar remaja berseluar pendek itu yang agak mengelirukan maksud dan matlamat sebenar yang terkandung di dalam tulisan 'MENUJU PAS BARU' seperti yang terdapat pada kulit buku ini. Apakah maknanya bahawa PAS Baru yang ditujui itu sudah boleh bertolak ansur dalam perkara agama? Aurat? Hudud mungkin? Atau arak? PAS Baru lebih bersifat terbuka barangkali? Atau sebenarnya gambar budak lelaki itu hanya sekadar gambar hiasan semata-mata, tidak punya apa-apa maksud tersirat? Betulkah tiada yang tersirat? Mungkin kalau memang tiada maksud lain selain hanya gambar, boleh juga dicadangkan agar untuk cetakan atau edisi ketiga nantinya, bolehlah dipakaikan seluar panjang menutup aurat untuk remaja lelaki tersebut. Lebih menepati gagasan yang Dr Mujahid bawa, Menuju PAS Baru.

13. Buku ini adalah terbitan The Malaysian Insider, edisi pertama 2010, boleh didapati di mana-mana rangkaian MPH berhampiran, atau di kedai-kedai buku terpilih, dengan harga RM 20.00.

*buku Menerjang Badai : 60 Tahun Mempersada Perjuangan telah pun dipesan, akan dibaca dahulu jawapan Ustaz Riduan terhadap Dr Mujahid sebelum boleh menulis entri mengenai buku itu.


sumber: Melihat Buku

0 comments: