Tajuk: Penjara Rindu
Penulis: Nia Arissa
Penerbit: Kaki Novel
644 Mukasurat
Harga: RM21 (SM)/ RM24 (SS)
Termenung seketika saat saya menghabiskan bacaan di helaian yang terakhir. Cuba mencerna semula jalan cerita yang telah saya baca semenjak dua hari yang lalu.Bagi pandangan peribadi saya, permulaan cerita ini hampir membuatkan saya berputus asa untuk meneruskan pembacaan. Namun kerana kedegilan untuk menyelami kisah seterusnya membuatkan saya tetap bertahan.Tidak sia-sia kerana di pertengahan cerita saya mula mengikuti rentak cerita ini. Mungkin disebabkan novel ini adalah novel pertama penulis maka saya berasa masih belum mesra dengan bahasa atau gaya penceritaan di bahagian awal cerita. Namun selepas pertengahan cerita, ternyata tidak mengecewakan.
Persoalan yang hendak disampaikan agak menarik. Anda semua akan bertemu dengan persoalan biasa di mana dua pasangan terpaksa berkahwin tanpa cinta,kemudian bersama meniti bahagia,badai melanda, bercerai talak 3,berpisah kerana mereka pasrah tiada jodoh antara mereka.Anda juga dihidangkan dengan persoalan-persoalan kecil yang turut mewarnakan cerita ini.
Bila saya membaca novel ini, perasaan benci & kasihan bersilih ganti terhadap Haziq.Anda mungkin juga akan jatuh sayang kepada Aswad yang setia kepada cintanya Farisya Hani.Apa-apa pun biarlah segala persoalan tentang nasib Haziq, Aswad & Farisya anda sendiri yang ketahui kerana saya percaya ramai teman-teman tidak suka bila saya mula membuka pengakhiran cerita yang dibaca. :)
Kali ini saya akan kongsikan sinopsis yang diambil dari kulit novel itu sendiri.
Sinopsis:
Kehadiran Farisya Hani di dalam hidup Haziq Denial hanyalah sekadar penyelamat kepada maruah keluarga lelaki itu apabila bakal isteri Haziq memilih untuk mengahwini lelaki lain di saat-saat akhir majlis akan berlangsung. Atas dasar itu, perhubungan mereka tidak berjalan dengan lancar.
Dengan kejadian beberapa insiden yang tidak disengajakan, bibit-bibit cinta mula berkembang mekar bak bunga di pagi hari. Dalam tak sedar, masing-masing sudah saling jatuh cinta.
Namun langit tidak selalunya cerah. Kebahagiaan yang diharapkan berkekalan terlerai sudah di pertengahan jalan. Kehadiran bekas kekasih Farisya Hani telah mengundang konflik yang ditunggu-tunggu oleh pihak ketiga yang sentiasa mencari peluang untuk mendekati Haziq Denial.
Keperitan hidup yang terpaksa ditanggung memaksa dendam mula membara di hati Farisya. Kealpaan akibat disihir membuatkan Haziq hanyut di dalam genggaman Tiara. Masih adakah peluang kedua untuk mereka? Atau… adakah rindu mereka akan terpenjara buat selama-lamanya?
* Sekadar berkongsi apa Rasa Hatiku.Tidak semestinya anda suka, oleh itu maaf kupinta.
sumber: Anita_Sang
Mar 3, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment