Penulis : SN Shahnon Ahmad
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka & Rhythm Consolidated Berhad
ISBN : 983-137-848-2
1. Sarat dengan semiotik. Menurut A. Rahim Abdullah di dalam bukunya, Novelis Nusantara : Ideologi Dan Pemikiran, "Shahnon Ahmad melalui novel Tunggul-Tunggul Gerigis (TTG) memanfaatkan tanda-tanda sebagai suatu proses kreatifnya, yang mempunyai keistimewaan tersendiri."
2. Memang istimewa novel ini yang memperlihatkan bagaimana Pak Shahnon melakarkan kehidupan sosial di dalam sebuah kampung yang telah rosak hubungan sesama masyarakatnya yang berlainan ideologi di dalam parti politik yang berbeza. Selain istimewa kerana dilancarkan oleh DS Anwar Ibrahim di USM dahulu. (istimewa ke?)
3. Tunggul bolehlah dimengertikan sebagai pangkal pokok kayu yang masih tertinggal setelah pokok ditebang. Manakala gerigis pula adalah gigi-gigi tajam pada permukaan atau tepi sesuatu, geriji. Tunggul-Tunggul Gerigis adalah kisah mengenai sebatang tunggul bergerigis di dalam sebuah kampung, Poseng, yang seperti mana tunggul-tunggul lain di dalam dunia, tidak begitu meninggalkan erti kepada masyarakat.
4. Seawal tadi sudah dinyatakan bahawa novel TTG ini kaya dengan semiotik, sistem tanda. Watak utama di dalam novel ini Su Usul, diwakilkan dengan tunggul yang bergerigis itu. Seorang tua, yang sangat tua, yang digambarkan sering berdialog dengan Goh, seekor lembu, atau bermonolog di hadapan seekor lembu yang lebih tepatnya, Goh tidak pernah berdialog dengan Su Usul, tidak dipedulikan oleh orang disekeliling, termasuk anaknya, diabaikan, sehingga terpaksa dikurung demi untuk tidak menyulitkan pergerakkan.
5. Tulisan-tulisan Pak Shahnon yang dibaca sebelum daripada ini, lebih menampakkan pemikiran dan perjalanannya yang berat 'memihak' kepada parti-parti politik yang antikerajaan. Tetapi di dalam novel TTG ini, yang mana dikarang jauh sebelum Pak Shahnon menulis SHIT ataupun Nurul Anak Papaku, lebih melihatkan sifat neutral Pak Shahnon.
6. Parti politik pihak yang memerintah, parti politik pihak yang membangkang, dibawa ke dalam sebuah masyarakat kampung di Poseng, sehingga kerana jalan berbeza kedua-dua buah parti politik tersebut telah menyebabkan Poseng berpecah kepada dua kelompok, satu, yang menyokong kerajaan, partinya di dalam novel ini adalah PBB (UMNO?), manakala satu lagi adalah parti PSS (PAS?), sebuah parti pembangkang.
7. Kita boleh melihat bagaimana Pak Shahnon menghantar isyarat kepada khalayak pembaca melalui kedua-dua buah parti politik tersebut. PBB digambarkan sebagai sebuah parti yang mana pengikutnya hanya tahu mengikut sahaja kata pemimpin mereka. Jika katanya A, maka sampai matilah ahli-ahli PBB akan berA, A sahaja, jika diperintahkan boleh, maka bermatian-matianlah para ahlinya mempertahankan yang boleh itu boleh meskipun perkara boleh itu sudah tidak boleh lagi. Jika pemimpinnya berkata satu, maka semuanya akan satu-satu belaka. Siapa yang melafazkan dua, maka dia sudah terkeluar dari PBB.
8. PBB juga digambarkan sebagai sebuah parti politik yang berkuku besi. Yang suka menunjukkan kuasa mereka kepada orang ramai supaya orang tahu bahawa mereka adalah yang paling berkuasa.
9. PSS pula dilukiskan sebagai sebuah parti yang agak keagamaan, kerohanian. Parti yang hanya merasakan partinya sahaja yang betul, yang dekat dengan Tuhan, yang diredhai, sehingga parti-parti yang selain dari parti mereka adalah kafir-kafir belaka.
10. Pak Shahnon melalui watak Su Usul, bermonolog mengenai kedua-dua buah parti tersebut. Yang dilihat lebih mendatangkan musibah kepada sekalian warga kampung. PBB dengan kekuasaannya, merampaskan habis hasil bumi (balak) di Poseng dengan mengumpankan pembinaan jalan raya di dalam Poseng agar kelihatan lebih maju. Namun sebaliknya lebih untuk memudahkan keluar masuk lori balak milik mereka.
11. PSS pula hanya berfungsi sebagai penyesat fikiran orang kampung dengan fahaman agama mereka yang sempit dan jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebenar sehingga disamakan fiil ahli-ahli dari parti tersebut seperti fiil iblis dan syaitan.
"Mungkin orang sepuluh (ahli PSS) itu bukan sebenar orang sepuluh tapi sudah dirasuk iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan rajin juga merayau dekat masjid." (TTG - ms 113)
12. Dengan dua buah parti politik ini, dan watak Su Usul itu, TTG digerakkan. Dikembangkan, dilihatkan bagaimana akibat dari terlalu asyik berpolitik, gila berpolitik, sehingga mengabaikan tanggungjawab menjaga anak.
"Bapa dah balik dan mak pun dah siap makan. Tuk Itam orang celaka. Semua orang itu celaka belaka. Celaka! Celaka! Celaka! Semuanya haram. Bapa kata haram, bapa kata celaka. Mak kata haram, mak kata celaka juga. Nek! Nek pun celaka. Nek Bunga pun celaka. Nek pun dajal. Nek Bunga pun dajal. Goh dajal. Medang dajal. Ayam dajal dan celaka. Dul pun dajal dan celaka." (TTG - ms 69)
13. Keruntuhan akhlak dan moral di kalangan kanak-kanak kecil dapat dilihat melalui dialog di atas.
14. Kehadiran Su Usul sebagai seorang tua (simbol orang berpengalaman) yang mana anaknya, Mahmud ahli PBB, Derani ahli PSS, digambarkan sebagai tidak berkuasa lagi untuk menyatukan kedua mereka akibat dari fanatik berpolitik sehingga ikatan adik-beradik terputus dengan ideologi politik yang berbeza.
15. Sehingga Su Usul merasakan bahawa semua ini tidak akan berpenghujung, Mahmud (PBB) tetap dengan gila kuasanya, kerakusannya, Derani (PSS) tetap dengan imamnya, zikirnya, kafir-mengkafirnya, seeloknya baik mati sahaja. Hanya dengan mati Su Usul boleh merasakan kebahagiaan yang kekal, bersama dengan gemulah Bunga, isterinya. Mati sahaja yang diimpikan Su Usul, tidak yang lain. Melalui kematian, dia tidak lagi bersendirian di Poseng, malah ramai teman-temannya di alam arwah sana sedang melambai-lambai, menggamit kehadiran Su Usul. Hidup Su Usul setiap hari hanya untuk kematian sahaja. Lain tidak.
16. Pak Shahnon bercerita mengenai Poseng, Su Usul, dengan gaya dan bahasa yang begitu memikat. Walau kadang-kadang terasa plot ceritanya agak lambat berjalan, tetapi kepada yang telah terbiasa dengan stail Pak Shahnon itu akan merasakan betapa indahnya dan seninya bahasa Melayu itu bila digunakan oleh mereka yang ahli, seperti Pak Shahnon.
17. Novel ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1988. Yang berada pada tangan saya kini adalah cetakan yang pertama edisi kedua tahun 2003. Terbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka & Rhythm Consolidated Berhad. Termasuk dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20. Saya ada melakukan carian di MPH online, Dawama, tetapi tidak berjumpa dengan novel hebat ini. Kehabisan stok barangkali. Tetapi jika kalian rajin, boleh mencari di Mudah.com. *Saya juga membeli novel ini dari Mudah.com!
18. Sebagai penutupnya, saya memetik kata-kata yang ditulis A. Rahim Abdullah mengenai novel ini.
"Dunia Poseng yang sebelumnya aman dihancurkan oleh tanda dan gejala akibat kedurjanaan manusia sendiri. Akibat manusia menyalahgunakan kepentingan peribadi atas nama kepentingan ummah (sosial), menyebabkan orang yang tidak berdosa atau tidak terlibat dengan permasalahan ini pun turut terkorban. Matinya Su Usul (tanda kebenaran), runtuhnya dunia Poseng, runtuhlah tamadun bangsa dan tahap ketaatan beragama manusia Melayu yang dipertahankan selama ini. Hakikat ini satu analogi, satu fragmen, dan gejala sosial yang diperingatkan oleh Shahnon Ahmad itu, tidak lain dan tidak bukan sebagai suatu tanggungjawab moral dan sosialnya."
sumber: melihat-buku
0 comments:
Post a Comment