Mar 4, 2011

NH: Cabaran 50 Buku : (3) Terbanglah Sayang

Terbanglah Sayang
Aina Emir
penerbit : Karnadya
cetakan pertama 2010


"Kepekaan Saya"

Terbanglah Sayang (TS) karya Aina Emir ini mengisahkan tentang persahabatan, kekeluarga dan percintaan. Watak utama, Lutfiya Zahra, Syafinaz dan Arash. Heroin pertama adalah Lutfiya Zahra atau lebih dikenali sebagai Fiya. Heroin kedua semesti Syafinaz atau dikenali juga sebagai Inaz. Heronya sudah pasti lah Arash.

Fiya dan Inaz adalah sahabat baik dari kecil. Bak kata orang di zaman millennium, “best friend forever (BFF)”. Kebetulan, Fiya dan Inaz adalah sepupu dan berjiran. Mereka berdua di besarkan bersama di kampong halaman mereka di Kuala Kemaman, Terengganu. Mereka berdua BFF tapi mempunyai sifat iri hati dan sentiasa berlumba-lumba dalam apa jua keadaan, masing-masing mahu berada di hadapan atau menjadi juara. Semestinya Fiya yang sentiasa jadi juara kerana dia seorang yang bijak di dalam pelajaran jika dibandingkan dengan Inaz. Fiya memiliki kerjaya yang cukup bagus, iaitu seorang doktor veterinar, manakala Inaz hanya kakitangan kerajaan biasa.

Fiya – bekerja di sebuah ladang di Serdang, menyewa seorang diri di kota besar Kuala Lumpur. Masih mempunyai ibubapa. Mempunyai 2 orang adik yang masih belajar, Dik Yan dan Dik Am. Mempunyai sahabat baik yang bernama Melissa, gadis Sarawak yang mahu memeluk agama Islam. Melissa juga merupakan doktor veterinary, kawan satu tempat kerja dengan Fiya. Juga mempunyai sahabat yang bernama Munawarah (Muna) yang berasal dari Johor, berhampiran Gunung Ledang. Munawarah juga merupakan sahabat kepada Inaz. Mereka bertiga, Fiya, Inaz dan Muna belajar di satu tempat yang sama.

Fiya sukakan alam sekitar, haiwan-haiwan, tidak sukakan bunyi yang bising dan muzik yang kuat.Tapi, saya memang cukup-cukup tidak suka dengan perangai Fiya, dia seorang yang perasan bagus, selalu nak jadi juara, bangga diri dengan kepandaian yang Tuhan anugerahkan. Fiya bercinta dengan Faris, tetapi bukan cinta sepenuh hati, sekadar ingin menunjukkan dia yang jadi juara dalam memikat lelaki. Dia ingin menunjuk-nunjuk pada Inaz yang dia mempunyai seorang teman lelaki sedangkan Inaz masih bersendirian. Dalam masa yang sama, Fiya menaruh hati pada Arash semasa mereka terserempak mendaki gunung ledang di kampong Muna.

Fiya sudah buat satu kesilapan besar dalam hidupnya kerana memilih Faris sebagai suami. Tapi, di saat-saat akhir, perkahwinannya dengan Faris dibatalkan kerana dia sendiri sanggup menyamar jadi ‘orang lain’ di alam maya (facebook) dan mempengaruhi Inaz untuk membatalkan majlis perkahwinannya. Akhirnya Arash yang sememangnya menaruh hati pada Fiya sanggup menghantikan tempat Faris di saat akhir. Tetapi hidup mereka tidak seperti suami isteri yang lain kerana Fiya sentiasa ego dan sentiasa fikir dirinya yang terbaik, sentiasa betul dalam semua hal. Bila Fiya sudah menjadi isteri Arash, dia aturkan supaya Arash berbaik-baik dengan Inaz dan dia jauhkan diri dari Arash. Selepas Arash sudah berbaik-baik dengan Inaz, mulalah dia buat macam-macam untuk menarik perhatian Arash padanya, barulah dia sedar yang dia sayang sangat-sangat pada Arash. Macam-macam Fiya buat untuk pikat kembali hati Arash, sampaikan rasa diri macam gundik. Tapi, memang Fiya terhegeh-hegeh. Heroin yang agak menjengkelkan.

Arash – Hero yang sememangnya Hero. Kerjaya yang lain dari watak-watak dalam novel yang pernah saya baca sebelum ini. Juruterbang Jet Pejuang, memang hebatkan watak hero TS. Tapi sayang, Arash mempunyai masalah peribadi dan seorang yang teramatlah pemalu. Arash juga tidak pandai mengorat perempuan. Masalah peribadi yang dimaksudkan adalah, Arash seorang anak angkat kepada keluarga pegawai daerah yang tinggal di Seremban. Ayah angkatnya telah lama meninggal dunia. Hanya tinggal ibu angkatnya dan dua orang kakak. Semasa hari perkahwinan kakaknya, baru Arash tahu yang dia hanyalah seorang anak angkat disebabkan dia tidak boleh mewalikan pernikahan kakaknya itu.

Arash bertukar di lapangan terbang TUDM Gong Kedak, Besut, Terengganu. Mempunyai sahabat baik bernama Hakim dan Mejar Razlan. Kadang-kadang karektar Arash membuatkan saya rasa cukup menyampah kerana member harapan pada Inaz, sedangkan dia langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan pada Inaz. Perasaannya hanya pada Fiya. Inaz pula memang sudah tangkap jiwang sama Arash. Sampaikan Inaz betul-betul merana dan sakit-sakit bila Arash kahwin dengan Fiya.

Yang paling seronok dengan watak Arash apabila, dia sentiasa rilek dan sabar dengan perangai isterinya, Fiya. Disebabkan watak Arash ni juga, penulis dapat membawa saya ke tempat-tempat menarik di Thailand dan sedikit di negara Rusia kerana Arash menjejaki ibu kandungnya yang berasal dari selatan Thailand manakala ayah kandungnya berasal dari negara Rusia.

Inaz- watak yang membuatkan saya cukup sakit hati dan menyampah. Permulaan pembacaan pun saya sudah rasa meluat dengan watak Inaz. Inaz sentiasa ‘berangin’ tidak tentu pasal. Perasaan hasad dengki pada Fiya memang membuak-buak. Suka merayu-rayu pada Arash supaya layan dia, ajak keluar ‘dating’ dan merayu supaya Arash sayang dia. Dalam-dalam busuk hati, ada juga perkara baik yang Inaz lakukan. Inaz sanggup berjumpa dengan Faris dan memaksa Faris membatalkan perkahwinan dengan Fiya sebab dia tidak mahu fiya dikecewakan oleh Faris yang telah mempunyai teman wanita. Teman wanita Faris bernama Maya.

Inaz juga mempunyai masalah keluarga, ditinggalkan oleh ayah. Hanya membesar bersama Umi dan seorang abang yang kurang upaya. Abangnya bernama Shahril. Ayah Inaz telah berkahwin lain. Disebabkan mempunyai abang yang kurang upaya, Inaz menjauhkan diri dari umi dan abangnya. Inaz jarang pulang ke kampong walaupun setiap minggu Fiya akan mengajaknya pulang. Setelah Inaz kecewa dengan Arash barulah Inaz kembali rapat dengan umi dan abangnya. Pendek kata, di pertengahan cerita, Inaz dan Fiya bertukar watak. Inaz menjadi semakin baik dan Fiya menjadi semakin kejam. Akhirnya, Inaz berkahwin dengan Mejar Razlan kawan baik Arash di tempat kerja.

Sememang saya cukup seronok dengan perjalanan cerita TS. Boleh membuatkan saya berubah-ubah emosi dalam satu masa. Banyak juga watak-watak lain yang diwujudkan dalam novel ini, antaranya, Hakim, Umi Inaz, Mak Fiya, Ayah Fiya, Syahril, Dik Yan, Dik Am, Kak Lina, Kapten Razlan, Kak Nifah, Abang Din, Wardah, Fendi, Faris, Maya dan lain-lain.

sumber : nOOr hEkmAt

0 comments: