Mar 7, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (9) Nurul Anak Papa Ku


1. Saya tidak tahu apa-apa mengenai kewujudan novel ini sehingga ditunjukkan oleh tuan kedai selepas ditanya mengenai novel SHIT.

2. Diterbitkan oleh Pustaka Jiwa Merdeka, cetakan pertama tahun 1999.

3. Novel ini ditulis pada ketika negara sedang heboh dengan kes penahanan DS Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat (episod 1) pada zaman pemerintahan Tun Mahathir.

4. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan tuduhan dan tangkapan itu telah berkumpul menyatakan bantahan. Kalau masih ingat antara laungan dan pekikan yang popular pada masa itu adalah, Reformasi! Reformasi! Reformasi!

5. Menaikkan bulu roma juga bila mengingatkan detik itu. Perkataan reformasi seolah menjadi duri yang mencucuk-cucuk daging pemerintah ketika itu setiap kali dilaungkan rakyat, penyokong DS Anwar Ibrahim. Sehingga mereka (kerajaan) menghantar apa sahaja yang mereka punya, untuk memaksa gerombolan-gerombolan manusia itu bersurai.

6. Untuk yang agak-agak lupa suasana dan jalan cerita waktu itu boleh google kembali.

7. Novel Nurul Anak Papa Ku ini lahir daripada sensitiviti seorang sasterawan terhadap perjalanan politik tanah airnya. Pak Shahnon memang terkenal dengan tulisan-tulisannya yang kontrovesi yang melibatkan tokoh-tokoh dalam lapangan politik negara. Siapa boleh lupa dengan SHIT? Satu lagi karya yang lahir pada zaman pemerintahan Tun Mahathir. Begitu juga dengan Sutan Baginda. Novelet yang mengisahkan hal orang politik yang sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Begitu juga dengan cerpen-cerpen beliau yang terhimpun di dalam antologi MahaMaha. Dan beberapa karya beliau yang lain.

8. Seperti yang diketahui, Pak Shahnon pernah terlibat dengan sebuah parti politik negara, PAS. Bahkan sempat menjadi ahli parlimen di Sik, kampungnya sendiri, beberapa ketika sebelum beliau diserang penyakit Myasthenia Gravis. Yang mana akibat dari penyakit ini telah melumpuhkan segala aktiviti beliau termasuklah dalam bidang sastera yang mana telah menyekat kreativiti beliau dari berkarya.

9. Ok. Sebelum tersasar jauh, novel Nurul Anak Papa Ku ini mengisahkan mengenai Nurul. Atau lebih tepat, Nurul Izzah Binti Anwar. Puteri sulung DS Anwar Ibrahim. Semasa papanya ditangkap, Nurul masih lagi bergelar seorang pelajar di salah satu universiti tempatan. Tangkapan ke atas papanya itu telah merubah diri dan peribadi seorang Nurul Izzah.

10. Peristiwa papanya ditahan dan kemudian disumbatkan ke dalam lokap telah menukarkan wajah anak gadis ini yang sangat pemalu, lemah lembut menjadi seorang yang agresif dan terkehadapan dalam memperjuangkan keadilan ke atas papanya. Peristiwa itu telah membawa Nurul berkeliling negara berjumpa setiap rakyat yang inginkan kezaliman ke atas DS Anwar Ibrahim dihentikan dan kerajaan yang ada pada ketika itu digulingkan.

11. Novel ini mendalami perasaan dan gejolak jiwa Nurul yang terpaksa mengetepikan kemanisan zaman remaja demi menuntut keadilan bersama rakyat terhadap papanya.

12. Kini, hasil dari kejadian belasan tahun yang lampau, Nurul Izzah telah menjadi ahli parlimen Lembah Pantai di bawah naungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana beliau telah menewaskan lawannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang lalu.

13. Novel ini turut dimuatkan sepucuk surat istimewa daripada DS Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan yang dialamatkan kepada penulis novel SHIT yakni Pak Shahnon sendiri selepas beliau (Pak Shahnon) mengirim senaskhah novel SHIT itu kepada DS untuk dibaca di dalam penjara.

14. Sebenarnya agak sukar juga untuk membaca surat DS Anwar Ibrahim ini. Sukar itu mungkin kerana tulisannya 'sangat cantik' atau mungkin kerana tekanan yang dilalui di dalam lokap bersebelahan tandas di penjara Sg Buloh itu telah menghilangkan seni menulis tulisan ruminya. Atau mungkin sahaja memang begitu tulisan DS.

15. Novel ini boleh didapati di kedai-kedai buku terpakai. Jangan cari di MPH atau Popular, kerana memang tak akan ada. Harganya bergantung kepada tuan kedai. Mungkin kalau mood tuan kedai baik, buku ini boleh dibeli dengan harga serendah RM 2 sahaja.

*16. Selepas kes liwat episod 1 itu selesai dengan pembebasan DS Anwar Ibrahim ketika zaman Pak Lah, kini episod 2-nya dalam proses penggambaran. Kes liwat DS Anwar Ibrahim episod 2 sedang berlangsung di mahkamah yakni ketika negara di bawah pemerintah DS Najib Razak. Tetapi kali ini belum lagi terdengar pekikan-pekikan Reformasi! dan sebagainya. Mungkin belum lagi. Kita tunggu kalau-kalau ada sasterawan yang mahu berkreativiti pula dengan kes liwat episod 2 ini selepas Pak Shahnon. Barangkali boleh letak judul 'Raja Harith (anak Nurul Izzah) Cucu Papa Ku'.

sumber: Melihat Buku

0 comments: