Mar 6, 2011
MA : Cabaran 50 Buku : (2) Namaku Bukan Maria
Namaku Bukan Maria, karya Azman Al-Kurauwi mengangkat kembali kisah sejarah
Natrah, wanita Belanda yang dibela oleh seorang wanita melayu Islam iaitu
Che Aminah.
Kisah yang berlatarbelakangkan kemulusan bahasa penulisnya, kegemilangan
Islam dahulu dan bagaimana Natrah dibesarkan dengan keimanan ini sejujurnya
menjentik naluri saya untuk menghabiskan masa membacanya. Nama sebenar
Natrah adalah Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama
Natrah di Malaya. Melalui hasil carian saya di internet
Natrah meninggal dunia ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda
kerana leukimia.
Sejarah Natrah di dalam novel ini memang tidak diperincikan sehingga habis
perjalanannya, namun lebih menceritakan mengenai Islamnya Natrah,
perjuangan Che Aminah bersama kasih sayang seorang anak walaupun Natrah
adalah anak angkatnya. Juga bagaimana bermulanya seorang lelaki Belanda
datang melihat Natrah dan mahu Che Aminah mengembalikan Natrah kepada
negara asalnya.
Seperti kata pengarang novel sejarah PTS, 'Namaku Bukan Maria tidak lagi
mengungkap kisah tragedi dan air mata. Sebaliknya menyuntik intuisi
terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah. Di tangan Ibnu
Ahmad al-Kurauwi, sejarah dimuhasabahkan agar tidak hanya hidup membetuli
ketentuan pada tradisi angka dan rakaman peristiwa semata'. – Abdul Latip
Talib, Novelis Sejarah.
Natrah bersama teman-temannya yang penuh warna-warni di dalam novel ini
membawa kepada erti persahabatan dan sedikit rencah cinta membawa kita
menyelami jiwa anak muda seorang lelaki dan wanita yang penuh adab sopan.
Penuh tertib dan penuh rasa.
Benar, Azman Al-Kurauwi membawa lembaran penulisannya yang mulus untuk saya
terus mengikuti dirinya sebagai seorang penulis lelaki pilihan selepas
Faisal Tehrani.
Ketika Che Aminah berada di Indonesia, kebencian terhadap Belanda amat
memuncak sekali. Che Aminah akhirnya menerima tanggungjawab dari ibu
Natrah, Adeline dan nenek Natrah, Nor Louisyen. Che Aminah menerima Natrah
dan menerima Natrah sebagai anak kandung malah menjaga, membawa amanah itu
dengan sungguh mulia bersama didikan budaya melayu, mengenali Islam dan
cintanya kepada Islam melebihi segala-galanya.
Novel ini tidak menceritakan pergelutan sebenar antara Natrah, Belanda,
Tanah Melayu dan Islam sendiri. Namun, kredit kepada Azman Al-Kurauwi
kerana jiwa, hati, iman, diri dan segala-gala di dalam diri Natrah adalah
untuk berada di Tanah Melayu, mahu berada di Kemaman, juga mahu bersama
teman-temannya yang berpaksikan Islam, Iman dan tawakal, Natrah seorang
wanita yang diangkat dengan penuh berani, cekal, tekal dan hatinya penuh
keindahan.
Jika ada bintang, maka saya letakkan novel ini untuk 7 bintang!
Ustaz Azman Al-Kurauwi benar-benar membuatkan saya cemburu. Kerana mahu
menulis sepertinya pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya bersama
latihan, bahan bacaan dan segalanya perlu saya gigihkan selepas ini.
sumber : Mardihah Adam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment