Dan buku terbaru, Dalam Mihrab Cinta The Romance (Disember 2010) ini adalah pelengkapnya. Sambungan terhadap novelet tersebut.
Jika yang telah membaca Dalam Mihrab Cinta versi novelet itu pasti akan ingat bagaimana Habiburrahman menggantungkan penamatnya. Mari saya tuliskan sedikit.
Sidang pembaca yang dirahmati oleh Allah swt,
Bagaimanakah kisah cinta Silvie dan Syamsul selanjutnya? Akankah Syamsul menerima lamaran si Silvie? Bagaimanakah kehidupan Syamsul selanjutnya? Akankah ia makin sukses di kehidupannya mendatang? Dan Bagaimanakah kelanjutan cerita Syamsul selengkapnya? Bagaimana sikap keluarga dan pesantrennya yang dulu mengusirnya? Temukan saja jawabannya di edisi romannya : Dalam Mihrab Cinta, yang semoga bisa segera diluncurkan.
* * *
Hasil kesabaran menunggu dari 2007 itu, akhirnya dapat juga menikmati edisi romannya Dalam Mihrab Cinta pada tahun 2011.
Ok. Dalam Mihrab Cinta mengisahkan mengenai seorang pemuda bernama Syamsul yang telah membuat keputusan untuk menyambung pembelajarannya di pesantren. Keputusan yang mendapat tentangan daripada ayah juga adik-beradiknya. Namun oleh kerana tekadnya telah membulat, maka diteruskan juga niatnya itu.
Dijadikan cerita, belajarlah dia di sebuah pesantren yang terkemuka. Nak lebih menyedapkan cerita, Syamsul ini merupakan pelajar yang cerdas. Rajin mengulangkaji sehingga memperolehi kepercayaan gurunya untuk melompat kelas. Lalu, untuk membuat jalan ceritanya lebih saspen, maka pada suatu hari, terjadilah kes kecurian di pesantren yang dia belajar. Maka, untuk menambahkan gelisah pembaca, si Syamsul ini ditangkap ketika sedang mencuri dompet teman sebiliknya.
O, sebenarnya novel Dalam Mihrab Cinta ini pun telah difilemkan dan di sutradarakan oleh Habiburrahman sendiri. Kalau tak silap keluar panggung pada Disember 2010 yang lepas. (maksud saya panggung di Indonesia) Tentu ramai yang sudah menontonnya di bioskop berhampiran. Jadi ngak perlu saya menulis panjang sinopsisnya di sini.
Ok. Begini. Saya mengumpamakan membaca novel Dalam Mihrab Cinta The Romance ini seperti menonton satu perlawanan bola sepak. Perlawanan antara dua pasukan gergasi, contohkan sahaja Real Madrid vs Barcelona. Ronaldo vs Messi. Pasti menjadi pertemuan yang ditunggu-tunggu peminat.
Bila pengadil meniupkan wisel tanda bermula permainan, kedua-dua pasukan mengasak ke kubu lawan dengan pantas sekali. Selepas pasukan Real Madrid menyerang, pasukan Barcelona pula melakukan serangan balas. Perlawanan menjadi menarik ditambah dengan sorakan kedua-dua penyokong pasukan.
Ronaldo menggelecek dan membuat larian pantas yang mengelirukan Puyol dan teman-teman di bahagian pertahanan. Namun rembatan-rembatan kencangnya berjaya diselamatkan Victor Valdes. Stadium menjadi gamat.
Sekali sekala Real Madrid kehilangan bola, pantas diambil kesempatan oleh Messi dengan melakukan hantaran satu dua bersama David Villa, sebelum melakukan voli cantik, namun berjaya ditepis keluar oleh Iker Casillas.
Permainan terus menarik dengan serang balas kedua-dua pasukan sehingga pengadil meniupkan wisel, tamat separuh masa pertama.
Tidak ada seorangpun penonton yang meninggalkan tempat duduk masing-masing. Mereka terus bersorak dan tidak sabar menanti untuk separuh masa kedua pula.
Apabila permainan disambung semula, situasi berubah. Kedua-dua pasukan nampaknya cuba bermain secara selamat. Hantaran-hantaran pendek mencuba menjerat pasukan lawan. Masing-masing menunggu pasukan lawan melakukan kesilapan. Membuatkan perlawanan menjadi begitu bosan.
Penonton tidak lagi selincah separuh masa pertama. Mereka hanya bersorak apabila Ronaldo berpura-pura terjatuh berguling-guling dikasari Xavi. Messi pula kelihatan sudah kehabisan ide untuk memecahkan benteng Real Madrid. Tempo permainan menjadi perlahan.
Sehingga ke wisel penamat permainan berlangsung sebegitu. Lembab dan membosankan. Tidak ada cubaan-cubaan ke gawang gol, membuatkan penonton merungut kasar. Sehinggakan ada beberapa pemain yang di boo.
Saya membahagi novel ini kepada dua bahagian. Pada separuh awal novel ini, ceritanya begitu menarik. Plot yang disusun membuatkan kita ingin meneruskan bacaan tanpa henti. Pada ketika ini sudah tidak ingat makan, minum, tandas, mandi, semuanya lupa kerana terlalu asyik membaca.
*Tetapi solat tidaklah dilupakan, kerana sedang pula membaca novel Islami, tidak wajarlah melalaikan solat.
Teknik penceritaan kejutan demi kejutan yang dibina sangat berkesan. Bagaimana Syamsul telah difitnah mencuri di pesantrennya, dihina, dijatuhkan hukuman tanpa keadilan, dihalau keluar, sehingga dia bersumpah bahawa tidak akan memaafkan warga pesatren sekalian termasuk kiainya sehingga mereka mencium tapak kakinya.
Rasa ingin tahu akan lanjutan kisahnya itu membuatkan pembaca sukar untuk memberhentikan bacaan.
Lantas setelah dikeluarkan dari pesatren itu, di rumahnya, beliau diherdik oleh kaum keluarga pula. Dipukul, dicaci, dimaki. Tidak tahan dengan segala itu, Syamsul nekad keluar dari rumah untuk hidup berdikari demi membuktikan dirinya tidak seperti yang mereka sangkakan.
Bermulalah hidup Syamsul di luar. Di suatu daerah yang asing baginya. Berusahalah dia mencari pekerjaan dan tempat tinggal. Namun semua gagal. Sehingga setelah habis ikhtiarnya, Syamsul berfikiran alang-alang dilabel maling, langsung jadi maling terus. Dia pun mencuri buat kali pertama demi kelangsungan hidupnya.
Tetapi nasibnya malang. Curian kali pertama itu tidak berhasil, dan dia berjaya diberkas. Meringkuklah dia di dalam penjara.
Ok. Selepas dari inilah bermula separuh yang akhir novel ini. Bebas dari penjara Syamsul masih lagi mencuri. Tetapi sudah agak pandai sehingga tidak tertangkap. Lama mencuri membuatkan dia seronok. Mendapat wang dengan mudah. Kemudian dijadikan cerita ada tawaran untuk mengajar mengaji di sebuah rumah seorang kaya. Dan Syamsul yang kebetulan pernah belajar di pesatren diterimanya. Memang di waktu itu Syamsul mempunyai agenda lain apabila bersetuju mengajar di situ.
Lama-kelamaan, ceritanya makin 'berat' untuk dibaca memandangkan pengisahan tentang watak Syamsul itu begitu 'klise'. Dia kemudian disukailah seisi rumah. Dan dijemputlah pula memberi ceramah di masjid berhampiran. Kata-katanya memukau, sehingga para jemaah jadi suka kepadanya. Dia disenangi. Kemudian dapat pula tawaran dari sebuah stesyen tv untuk program keagamaan. Makin terkenallah dia. Syamsul tidak lagi mencuri, dompet-dompet mangsa ragutnya sebelum ini telah dipulangkan semuanya. Dia telah insaf dan menjadi baik.
Dan akhirnya, kalian juga bisa menerka. Orang yang menfitnah Syamsul itu dulu akhirnya ketahuan juga kejahatannya. Pihak pesantren merasa bersalah kepada Syamsul. Kebetulan Syamsul telah menjadi ustaz kegemaran di kaca tv ketika itu. Tahulah mereka, bahawa mereka tersilap menjatuhkan hukuman. Lagi membesar rasa bersalah mereka terhadap Syamsul.
Ok. Cukuplah rasanya sampai di situ. Seperti yang dikatakan, novel ini saya andaikan seperti game Real Madrid vs Barcelona tadi. Saya mengharapkan sesuatu ending yang lebih boom setelah pembukaannya yang sangat menarik. Tetapi tidak kesampaian.
Namun apa-apa pun, jika kalian belum membaca atau menonton filem ini, boleh dapatkan ia di toko-toko berdekatan. (saya kurang periksa jika di Malaysia buku ini sudah ada)
sumber: Melihat_Buku
0 comments:
Post a Comment