Tajuk : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna Sdn. Bhd
Muka surat : 263
Sinopsis kulit buku:
Duha, pandanglah mataku yang berbisik... Kalau hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna
lalu kenapa tidak saja dikirimkan sepucuk surat cinta pada dia?
Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi.
Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?
Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
Apa kata saya:
Usai membaca LBR, saya bagai hilang kata-kata untuk mengulasnya bagaimana. Sehingga saat saya menaip entri ini pun, saya masih tercari-cari kosa kata paling sesuai untuk berbicara tentang buku ini. Karya-karya Noor Suraya bagi saya amat sinonim dengan susunan kata yang indah dan manis, tidak terkecuali juga bagi LBR. Pun begitu, setiap kali membaca karya beliau, bukan sahaja kata-kata yang indah yang saya cari, tapi juga mesej yang ingin disampaikan oleh beliau lewat karya-karyanya.
Dalam LBR, isu yang diangkat ialah tentang memartabatkan sastera Melayu dan persepsi tentang kecantikan. Sebagai seorang yang arif tentang bidang Bahasa Melayu, serta amat mencintai warisan bangsa ini, Noor Suraya berusaha untuk menyedarkan pembaca tentang pentingnya menjaga dan memartabatkan Bahasa Melayu melalui LBR, apabila beliau menggambarkan kecintaan Duha Hafa terhadap kesusateraan Melayu. Sungguh, sedikit sebanyak saya sebagai pembaca turut tersedar tentang betapa pentingnya untuk kita memartabatkan bahasa bangsa kita ini, dan betapa sesungguhnya bahawa sesuatu bahasa adalah jiwa sesebuah bangsa, salah satu cerminan identiti bangsa.
Persepsi tentang kecantikan adalah isu utama dalam LBR. Duha Hafa, gadis yang pernah dikenali oleh Umair sepuluh tahun yang lalu adalah seorang yang sangat cantik. Ya lah, kalau sudah berdarah campuran Gujerati, pasti dia punya pesona tambahan yang berbeza dengan gadis lain. Dan Umair dalam diam menyimpan rasa yang istimewa buat Duha, biarpun telah melewati masa dan melintasi benua, rasa yang sudah bertunas itu terus dijaga. Namun, apabila bertemu semula dengan Duha Hafa, gadis itu sudah berubah; celotehnya sudah tidak lagi ramah, dan paling ketara penampilannya sudah jauh berubah, dia kini sudah berpurdah. Lalu, Umair yang sudah sekian lama menyimpan rindu untuk menatap wajah tersebut telah membuat pelbagai helah, namun semuanya tidak berjaya (lucunya Umair waktu tu, saya sampai ketawa ketika membacanya). Akhirnya, setelah seluruh rasa hatinya bukan rahsia lagi pada Duha Hafa, Duha dengan sendirinya membuka ‘pelindung’ mukanya dan segala persoalan di fikiran Umair terjawab; jawapan yang benar-benar menguji keikhlasan ‘rasa’ di hati Umair buat Duha. Bagaimanakah kesudahan Duha dan Umair? Selama manakah peranggu angin (wind chime) pemberian Umair berbunyi di jendela berlangsir biji remia Duha Hafa?
Penulis ada menitipkan pada naskhah LBR saya : ‘Cantik itu letaknya di hati’. Terima kasih Kak Su, ya benar, saya setuju dengan pernyataan itu, jika cantik di hati, insyaAllah akan cantiklah seluruhnya! Pun begitu, bagi saya orang yang melihat itu mestilah cantik dan bersih juga hatinya, barulah dia dapat melihat kecantikan yang tersembunyi itu. (^_^)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment