Jul 25, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (57) Wasilah Cinta Weera


Penulis: Rose Harissa
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
ISBN978-983-3892-70-9
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 607
Cetakan 1 – 2010


Blurb:

Sebuah kisah yang sarat dengan makna kasih sayang sesama manusia. Ia menawarkan keharuan ikhlasnya perhubungan antara Weera dan Ray, dua sahabat yang disalah erti perhubungan hanya kerana mereka lelaki. Namun pada mereka setiap manusia boleh berbicara soal keteguhan hati, kasih dan keikhlasan asalkan ia kerana Allah.

Ujian Tuhan akhirnya menyentuh Weera. Fitnah tidak malu-malu menghambur namun Weera tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagiaan untuk sesiapa yang mengertikannya.

Pengertiannya, menitis lembut pada kata Wasilah Cinta Weera.

Kak Chik menukil:

Perhubungan antara Weera dan Ray sering disalah erti masyarakat sekeliling kerana mereka tidak pernah mahu membuka pintu hati mereka untuk mengerti kasih sayang dan cinta keduanya. Mereka digelar gay hanya kerana mereka lelaki biasa yang tidak berkupiah putih atau berserban mahupun berjubah.

Ditambah lagi dengan pekerjaan Weera sebagai Creative Director yang sentiasa berdamping dengan model-model cantik itu menjadi satu isu juga, tidak terpesonakah Weera? Kenapa dia lebih suka berdampingan dengan Ray berbanding dengan teman-teman yang lain?

Perhubungan Weera dengan Jasnita juga sering berantakan kerana sikap Weera yang endah tidak endah sahaja pada kekasih hatinya. Weera sering tidak kisah tentang Jasnita dan dia selalu naik angin kerana teman serumahnya, Firdaus sering membenarkan Jasnita memasuki rumahnya tanpa kira waktu. Sikap Firdaus yang terlalu mengambil berat tentang Jasnita juga membuat Weera bertambah sebal.

Saat Firdaus menghilangkan diri dari kondo Weera bersama barang-barang Weera yang dicuri dan juga berita Firdaus menikahi Jasnita sedikit pun tidak melukakan hati Weera. Namun kehadiran gadis brutal bernama Sari Ayu yang memperkenalkan diri sebagai tunangan Firdaus sedikit menggugah hati Weera. Lalu benarkah itu tanda-tanda yang dikurniakan Allah kepada Weera untuk mencari teman hidup?

Kehidupan berumahtangga yang tidak seperti pasangan lain dan juga gangguan daripada Firdaus dan Jasnita tidak pernah menggoyahkan ketaqwaan Weera kerana dia percaya ujian yang mendatang bersama kebahagiaan bagi sesiapa yang mengerti maknanya.

Sudut pandang Kak Chik:

Alhamdulillah…akhirnya berjaya juga Kak Chik memiliki naskhah ini setelah berbulan-bulan mencari selepas baca resensi di blog novelcinta.multiply.com. Terima kasih pada Rinn yang menulis resensi hingga buat Kak Chik ‘terdesak’ memburu karya ini dan terima kasih juga pada Cik DLa yang tolong belikan pada PBS yang lepas. Dan tidak sia-sia penantian Kak Chik kerana naskhah ini sungguh kaya dengan kecintaan. Rasa kecintaan yang tidak pernah Kak Chik temui dalam novel berbahasa Melayu dengan isu yang sensitif.

Penulis sungguh berani menggarap rasa kecintaan antara Weera dan Ray yang mungkin sedikit payah untuk dihadam oleh pembaca yang tidak membuka minda untuk memahami rasa kecintaan itu sendiri. Karya ini kaya dengan kecintaan yang bukan kecintaan biasa antara lelaki dan perempuan tetapi kecintaan antara lelaki dan lelaki kerana pada mereka semuanya kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah kerana Allah lalu mereka hanya memandang sepi pada kata-kata keliling yang tidak sedikit pun meninggalkan bekas di hati mereka.

Selain itu karya ini juga menitipkan satu isu yang sudah terlalu sinonim dalam kehidupan masyarakat kita sejak berzaman lamanya iaitu isu fitnah dan ilmu hitam. Penulis menggarap kerana fitnah musnah segalanya di mana suami kehilangan isteri kerana terlalu percaya kepada fitnah tanpa usul periksa, isteri kehilangan kepercayaan suami dan anak yang menjadi mangsa. Anak bukan setakat kehilangan kasih sayang malah anak juga menjadi mangsa dera kerana dijadikan tempat melepaskan nafsu amarah. Fitnah juga bisa meranapkan mahligai yang terbina bertahun lamanya dan fitnah juga membuat manusia buta kerana mereka tidak pernah terbuka mata dan hati demi kecintaan yang SATU. Jadi memang benar kata kalam ALLAH; dosa fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh.

Walaupun setinggi mana pun seseorang itu menuntut ilmu kalau kecintaan yang SATU tidak pernah menjadi tulang belakang maka sesatlah dia seperti mana penulis menggarap watak Firdaus dengan begitu sempurna. Firdaus hilang arah dan hanya berpandukan nafsu semata walapun tidak begitu jelas apa yang menjadi dendam antara Firdaus terhadap Weera sehingga dia sanggup mencipta pelbagai helah untuk melihat Weera menderita. Dia sanggup mengguna ilmu hitam malah sanggup melihat isteri sendiri dirogol dan dibunuh demi untuk melihat Weera menderita. Tetapi hukum Allah memang tidak pernah menipu kerana sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Di sebalik garapan penulis tentang ilmu hitam, dititipkan juga penawar yang bisa digunakan untuk menyembuhkan penyakit ini.

‘Ya, Tuhan…benarlah hanya Engkau yang mengerti cinta mereka. Demi dia suamiku, Weera, Engkau berikanlah aku kefahaman yang kuat agar aku dapat menyokongnya setiap saat.’ – m/s:229, WCW.

Tahniah kepada penulis untuk sebuah karya yang penuh dengan kecintaan tetapi tunjang utama tetap pada yang SATU.

Pssstttttt…Kalau semua suami di dunia ini seperti Weera memang amanlah dunia…(berangan…)

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

0 comments: