Jul 1, 2011
UH: Cabaran 50 Buku: (5): Masih Ada Sinar
Tajuk buku: MASIH ADA SINAR
Penulis: NORHASHIMAH HASHIM
Penerbit: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Genre: NOVEL REMAJA
Halaman: 175 mukasurat
Penilaian: 3 BINTANG
Sedikit sinopsis (di kulit belakang):
"Irah, siapa kata impian kita tak mungkin jadi kenyataan? Siapa kata orang-orang cacat tak boleh masuk universiti?"
Suratan takdir telah menyebabkan Irah kehilangan mutiara penglihatannya. Pada awalnya, segalanya seakan sukar bagi Irah. Namun atas semangat yang kental dan sokongan padu dari keluarga, rakan-rakan dan guru-gurunya, Irah bangun kembali untuk mengejar cita-citanya.
Berjayakah Irah bangun dari igauan ngeri semalamnya untuk mencorakkan sinar masa depannya hanya dapat diketahui dengan mengahayati sendiri novel yang menarik ini.
Norhashimah Hashim, penulis novel ini berhasil mengungkap persoalan hidup yang menarik menerusi novel sulungnya ini. Kematangan penulis terserlah menerusi novelnya yang menggarap persoalan pencarian makna hidup dan pembinaan identiti diri.
Ulasanku:
Setelah selesai membaca novel ini dalam masa 3 hari, aku dapat merasakan kelainan 'rasa' yang aku alami. 'Rasa' itu tidak sama seperti sewaktu aku membaca novel ini 18 tahun yang lalu. Mungkin kerana aku sudah dewasa untuk membaca buku-buku sebegini? Mungkin juga aku memerlukan novel yang lebih terperinci. Aku seperti tidak puas membaca perjalanan hidup Irah! Ya, itulah 'rasa' yang aku maksudkan tetapi novel ini masih relevan dengan kehidupan kita di masa ini. Novel ini boleh aku kategorikan sebagai novel motivasi untuk remaja.
Novel Masih Ada Sinar ini mengisahkan perjalanan seorang gadis bernama Amirah Razak (Irah). Irah seorang gadis yang bijak, aktif dan lincah. Irah mewakili sekolahnya dalam sukan olahraga. Ketika dalam darjah enam, Irah mula mengalami sakit kepala yang teruk dan ia kerap menyerang Irah tanpa mengira waktu. Rupa-rupanya Irah mengalami galukoma. Semasa Irah baru sahaja masuk ke Sekolah Menengah Tun Irfah, Irah telah disahkan buta akibat glaukomanya. Maka, bermulalah kehidupan Irah sebagai gadis OKU penglihatan.
Apabila disahkan sebagai orang buta, Irah mengalami kecelaruan emosi yang teruk. Irah merasakan satu dunia membencinya. Abah, mama, adik beradiknya serta guru-guru di Sekolah Menengah Tun Irfah termasuk sahabat karibnya Noni dianggap musuh. Irah memandang negatif semua kata-kata motivasi dan semangat yang dititipkan kepadanya sebelum Irah bertukar ke sekolah baru. Sekolah khas untuk murid-murid OKU sepertinya.
Maka, bermulalah kehidupan Irah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas. Irah memberontak dan sentiasa kemurungan kerana dipaksa rela ke sekolah itu. Akhirnya Irah bangkit dari kedukaannya setelah pengetua sekolah, cikgu Hanafi menceritakan tentang kekurangan yang ada pada sahabat-sahabatnya yang lain iaitu Ai Lin yang dibenci ibubapanya, Zaiton yang mempunyai adik-beradik cacat sepertinya dan Atikah yang mengalami kecacatan fizikal selain mengalami rabun yang teruk. Irah mula memahami kekurangan yang dimiliki tidak semalang rakan-rakannya yang lain. Irah mula bangkit dan mula memahami keadaan dia dan rakan-rakannya yang lain. Irah lebih bersemangat untuk belajar dan dia dapat menguasai tulisan braille tahap 1 dan 2, braille matematik dan seterusnya setiap matapelajaran yang diajar oleh guru-gurunya.
Setelah selesa di Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Kuala Terengganu, Irah ditukarkan pula ke Sekolah Menengah Seri Damai, Sungai Petani. Sekolah tersebut adalah sekolah biasa yang mempunyai program percantuman, maknanya ada juga murid-murid OKU bersekolah di sana. Di Seri Damai jugalah Irah belajar bergaul dan belajar bersama-sama murid normal. Pada mulanya Irah menjadi bahan ketawa dan usikan di kelasnya. Tiada siapa yang mahu duduk di sebelah Irah sehinggalah Malik masuk ke kelasnya. Dari hari ke hari, persahabatan Irah dan Malik semalin akrab. Malik, seorang pelajar yang dahulunya pemalas dan selalu mendapat tempat tercorot di dalam kelas berubah menjadi pelajar yang rajin dan tidak jemu membantu Irah untuk memahami setiap matapelajaran.
Persahabatan akrab mereka berkekalan sehingga mereka masuk ke universiti. Malik memilih untuk mengambil melanjutkan pelajarannya ke tingkatan serta mengambil kursus yang sama dengan Irah di universiti. Ini semua dilakukan Malik untuk membolehkannya membantu Irah. Sungguh murni persahabatan mereka. Sesungguhnya, kawan ketawa senang dicari tetapi kawan berduka amat payah untuk kita temui. Dalam menempuh kehidupan sebagai OKU penglihatan, Irah telah menempuh onak dan duri dalam kehidupan. Walaupun sinar dalam kehidupannya sedikit kelam lama-kelamaan Irah dapat melihat sinar pada masa depannya. Hey, sedangkan OKU boleh berjaya, inikan pula kita yang normal..kan?
--
Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment