Jul 18, 2011

HN: Cabaran 50 Buku : (1) Sigaraning

Penerbit- Jemari Seni
Tahun terbit - 2009


1. Ini novel Imaen yang keempat yang saya baca. Macam-macam kata yang didengari mengenai novel ini. Kata teman yang ini, Sigaraning agak ‘berat’. Teman yang lagi satu mengatakan Sigaraning lebih seronok dari Bohemian. Macam-macam. Tetapi ingat, tak kenal maka tak cinta dan penilaian itu berbeza bagi setiap individu.

2. Soalan yang selalu ditanyakan orang apabila melihat buku ini ialah maksud Sigaraning itu sendiri. Saya bertanya sendiri dengan seorang rakan dari Indonesia yang merupakan orang Jawa tulen. Wah, betapa bersemangatnya saya! Dia ketawa dan menerangkan Sigar/Sigaran bermaksud separuh atau belahan. Jadi, memandangkan Ali Imran memanggil Salina ‘Sigaraning Nyawa’, saya kira maksudnya ialah belahan jiwa atau kekasih atau teman yang sangat rapat.

3. Kali ini Imaen menceritakan tentang Ali Imran, pemilik pasar mini Muslimart. Ali seorang yang bercita-cita tinggi kerana dia mahu mengembangkan perniagaannya seluas-luas mungkin dan menjadi standing dengan pengusaha pasar raya besar.

4. Selalunya hero dalam cerita Imaen bukan ditekankan atas paras rupa dan material. Jangan mengharapkan heronya sangat kacak sehingga gadis boleh terpotong jari atau CEO syarikat konglomerat. Hero Imaen berkarakter sederhana dan atas nama manusia yang tidak sempurna, sekali sekala membuat kesalahan juga.

5. Di sini, Ali peniaga yang bukan sebarangan kerana dia jujur dan sedaya upaya cuba mengamalkan prinsip islam dalam perniagaannya seperti isu halal dan haram, kualiti bahan yang dijual dan semuanya dipandang dengan teliti dari penampilan pekerja sehinggalah cara melayan pelanggan dan pembekal.

6. Buku ini sarat dengan teori dan hal berkenaan ekonomi dan saya akui saya agak pening ketika mula-mula membacanya. Ekonomi bukanlah sesuatu yang kosong langsung dalam pemikiran saya kerana pernah belajar ekonomi asas ketika di asasi dahulu tetapi kali ini Imaen mengupas dengan lebih dalam. Agak memeningkan tetapi saya sukakan cabaran dan perlahan-lahan cuba mengaitkan teori yang dibincangkan dengan realiti yang berlaku.

7. Contohnya, Imaen membongkar taktik pembekal dalam berurusan dengan pembeli seperti pura-pura kehabisan stok untuk menaikkan harga barang mengikut teori permintaan dan penawaran Adam Smith dalam buku Wealth of Nation,juga boleh jadi pembekal tidak menjual barang kerana kepentingan politik atau bahasa kasarnya saya sebut hasad dengki. Ada juga tentang prinsip ekonomi dalam surah Yusuf bikin saya lebih teruja untuk menghabiskan bacaan. Macam-macam dan menyeronokkan.

8. Oh,Ali Imran ini baru ditinggalkan kekasihnya, Salina. Hampir separuh gila cuba untuk mendapatkan Salina kembali tetapi mengikut pepatah Arab, walaupun apa yang dihajati hanya sedekat jarak antara dua bibir, kita tetap tidak akan mendapatkannya tanpa izin Tuhan!

9. Nah, ketika Ali cuba mengubat hati yang terluka dengan memandu kereta Kancilnya tanpa arah tuju, dia terjumpa dua buah kereta yang baru lepas kemalangan. Ali tidak jadi membantu kerana mayat-mayat bergelimpangan kelihatan seperti penjahat tetapi dia membawa lari 2 buah beg yang salah satunya berisi duit. Nah, Itulah yang akan menjadi masalah yang memburu Ali hingga tamat cerita nanti.

10. Berbalik pada kisah Salina tadi, macam-macam yang Ali cuba lakukan seperti menayang kereta BMW yang dipinjamnya dari Rais untuk membuktikan kewangannya yang kukuh dan menunggu di hadapan pintu pagar Salina berjam-jam lamanya sehingga Salina tergamak memanggil polis untuk menahan Ali. Saya simpati pada Ali kerana dia buta menilai cinta. Sudah terang lagi bersuluh Salina itu tidak dapat menerima dia seadanya. Ali pemuda yang baik, tidak meninggalkan solat, jujur dan punya pekerjaan malah bercita-cita tinggi. Salina tidak sealiran dengan Ali kerana dia memaksa Ali untuk kerja makan gaji dan merendah-rendahkan pula pekerjaan Ali. Sudah terang-terangan Salina bukan mencintai Ali kerana peribadinya. Agak lucu juga membaca kisah Ali yang masih mahu mendepankan dada dan muka ketika dibawa masuk ke dalam kereta polis. Ego lelaki.

11. Dan selepas ribut ada pelangi. Tuhan menemukan pula Ali dengan Vivian, gadis kacukan Melayu dan Cina. Mereka pernah bergaduh sakan ketika di waktu Universiti dahulu dan akhirnya ditemukan kembali dalam situasi yang hampir bergaduh juga. Lucu. Ali terlanggar belakang kereta Vivian dan disitu mereka berkenalan dan akhirnya menjadi rapat.

12. Vivian ini jiwanya kacau. Asalnya seorang gadis muslim tetapi merajuk dengn Tuhan kerana mengambil nyawa ayah dan ibunya dalam kemalangan, lalu dia menjadi Atheis. Faham-faham sahajalah peranan Ali dalam perkara ini, ya (senyum). Dia berusaha membawa Vivian kembali ke pangkal jalan dan di saat hati Vivian mula lembut, tekun menghafal surah fatihah dan memakai baju kurung menggantikan skirt, cinta mereka yang tidak pernah terucap itu diuji bahana duit 2 juta dan dadah yang dibawa lari oleh Ali dahulu. Barang-barang itu sebenarnya kepunyaan kumpulan Mafia yang memang sudah lama diburu polis.

13. Pada pandangan saya, buku ini menarik. Anda dapat mempelajari ilmu ekonomi dalam bahasa yang lebih mudah, juga sejarah mafia dan pengikut Rastafari. Bagus juga kerana anak muda kini suka terikut-ikut dengan budaya yang dibawa dari luar tetapi tidak mengetahui asal-usul sebenar budaya tersebut.

14. Cuma saya sedikit keliru dengan kisah Detektif Azlan yang disyaki bersubahat dengan penjenayah sedangkan dia menyuruh Figaro, orang bawahannya untuk menjadi mafia dan mengorek maklumat dari mereka. Agak tergantung di situ.

15. Tentang kisah cinta Ali dan Vivian, Imaen berpesan dia bercerita secara klise dan kekal dengan prinsip mencintai seseorang dengan tidak berlebihan. Apa yang saya dapat fahami, cinta itu luas dan tidak perlukan sebab yang pasti. Bukan sesempit menuturkan ‘I love you’ untuk menggambarkan cinta, bermesra-mesra dan berkepit 24 jam tetapi sejauh mana kita dapat menyandarkan ia pada cinta ilahi. Cuma, saya tidak begitu bersetuju dengan tindakan Vivian selepas Ali membuat pengakuan.

16. Seperti biasa anda boleh ketawa dengan humor Imaen yang terasa sangat dekat dengan kehidupan seharian. Ketawa-ketawa juga, tetapi jangan lupa menangkap maksud tersirat. Selamat menghayati Sigaraning.

---
Nur Hannan

1 comments:

HUD AIKARA said...

saya sebenarnya suka dengan bahasa yang imaen guna dalam buku2nya, mengambarkan dia orang yang gemar membaca dan berpengetahuan luas.Cuma ada satu ayat dalam Labyrinth yang saya rasa mengambarkan pemikiran sebenar penulis ini terhadap wanita dan saya jadi cuak membaca novel2nya yang lain selepas itu.Petikkannya berbunyi;"...Kalau tidak kerana menuntut ilmu itu dituntut, dia tidak akan mengizinkan anak perempuannya untuk belajar membaca dan menulis. Kerana apa..emm faham-faham sendirilah."
Apa maksud penulis dengan dialog
"faham-faham sendirilah?" Adakah dia maksudkan lebih baik perempuan menjadi bodoh supaya senang lelaki buat apa saja? supaya senang apa saja yang dilakukan oleh lelaki tidak dipersoal? Atau mudah dididik mengikut apa yang dikehendaki?
Pelik juga saya sebab kerana ayat diatas sampai sekarang saya tidak lagi mencari novel penulis ini. Mungkin sesetengah mengatakan saya ini cetek dan tidak pandai mencerna maksud yang cuba disampaikan, tapi setakat dua novelnya yg saya baca saya perasan perwatakan heronya hampir sama dan kadang2 penulis tidak sedar mereka terlalu banyak bercerita tentang pemikiran mereka kepada pembaca.Bagaimanapun saya memang puji gaya penulisannya, ayatnya banyak yang selamba dan selalu buat perlambangan tapi berisi malah kadang kala kelakar!