Tajuk : Kau Laksana Bulan
Penulis: Aina Emir
Penerbit : KarnaDya Solutions (2006)
526 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)
Walaupun sudah lama diterbitkan dan diulang cetak beberapa kali, baru kini saya berkesempatan untuk membaca karya Aina Emir ini. Malah sudah pun ditayangkan di TV2 drama yang diadaptasikan dari novel Kau Laksana Bulan ini. Namun begitu saya tidak pernah berkesempatan untuk menonton versi dramanya. Lebih baik begitu, kerana saya lebih suka membaca dan menghayatinya tanpa pengaruh dari dramanya. Mungkin selepas ini saya akan mencari dramanya pula.
Novel Aina Emir yang kedua saya baca ini memang lain dari yang pertama dulu. Walaupun saya terpaksa menghayati jalan ceritanya yang saya anggap agak perlahan perjalanannya, namun saya sangat berpuas hati dengan cara penyampaian dan pengakhiran ceritanya. Penuh dengan tanda tanya dan tidak mudah untuk meneka apakah kesudahannya.
Mengenali Adrianna yang merupakan seorang novelis yang biasa mencorakkan cerita cinta yang begitu sempurna di dalam karyanya walaupun dia menulis karya romance thriller. Namun perjalanan cinta dia sendiri tidaklah seindah dan semanis setiap watak hero dan heroin di dalam karyanya. Tidak kurang dari paras rupa malah dia merupakan seorang penuntut sarjana selain dari penulis yang begitu laris novel-novelnya, namun perjalanan cintanya tidak mudah.
Syafik cinta pertama sejak dibangku sekolah, namun terputus begitu saja apabila mereka menginjak menara gading. Namun selepas sekian lama Syafik ingin mendapatkan cinta Adriana semula. Razif pula cinta keduanya, membawa bersama kenangan cinta yang begitu manis buat Adrianna walaupun sebentar cuma. Derita yang ditinggalkan Razif tidak mudah terubat sehingga dia terpaksa menolak hati lelaki yang hadir dalam hidupnya. Mungkin sebab itu juga Adrianna tidak begitu percaya kepada cinta dan begitu takut untuk menyerahkan hatinya kepada lelaki. Sehinggalah kehadiran Firas Ali, lelaki yang begitu berbeza kriterianya dari garis panduan Adrianna untuk dijadikan seorang teman lelaki dan berbeza juga dari Syafik dan Razif yang mempunyai kelebihan masing-masing. Disebabkan hati tidak tahu atau tidak mahu hendak memilih siapa, Syafiq ataupun Firas (walaupun begitu ketara dia begitu bahagia ketika bersama Firas) maka Syafik dia layan, Firas juga dia layan.
Ketika ditinggalkan oleh Firas tanpa khabar berita selepas Firas mengetahui yang Adrianna adalah seorang penulis (Adrianna tidak pernah memberitahunya tentang itu) dan seolah-olah sekadar menggunakan dirinya mendapatkan idea untuk watak utama hero novelnya barulah Adrianna sedar yang sebenarnya dia sayangkan Firas lebih dari seorang teman. Namun mungkinkah agak terlambat baginya untuk merawat hati Firas yang merajuk? Hati kecil saya berkata ‘padan muka Adrianna’ kerana tidak mahu menerima lelaki sebaik Firas dan tidak jujur dalam perhubungan.
Ketika gerhana perhubungannya dengan Firas, Adrianna secara tidak sengaja menggunakan Eizlan ketika dia merasa kecewa dan marah kepada Firas. Eizlan berjaya memujuk hatinya yang gundah kehilangan Firas. Adakah Eizlan lelaki yang berjaya membuka hati Adrianna? Saya begitu tertarik dengan watak Eizlan dicorakkan. Sehingga anda tidak akan dapat meneka siapa sebenarnya Eizlan yang tidak pernah putus menganggu hidup Adrianna. Hanya selepas anda membaca hingga ke helaian terakhir barulah semuanya terungkai.
Lepas ini saya akan cari drama Kau Laksana Bulan walaupun agak terlambat (Lakonan Zul Huzaimy dan Ayu Raudah)
---
Anita Sang
Jul 1, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment