Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Genre: Motivasi keibubapaan
Halaman : 372
Penilaian: 5 bintang
Sedikit Sinopsis (kulit belakang buku):
"Jangan harapkan sangat daripada anak ini; dia tidak akan hidup lama," beritahu doktor. Benarkah Baihaqi menghidap penyakit yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami mengubat jiwa yang gundah, tetapi empat hari mereka buntu selain pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi.
Buku ini adalah motivasi 'hidup' kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak senasib dengan Baihaqi. Ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.
"Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta... bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, saudara mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas" - Prof. Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek, Pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
"Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkau persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti" - Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, Perunding Motivasi dan Penulis Buku
"Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan." - Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Suatu Anugerah.
"Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadak dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid" - Zabidi bin Mohamed, Penulis skrip drama [http://zabidiskrip.blogspot.com]
Ulasanku:
Sudah hampir tiga bulan aku habis membaca buku ini tetapi aku masih tercari-cari ayat yang bersesuaian untuk mengulasnya. Bukan kerana buku ini buku yang terlalu ilmiah tetapi buku ini adalah kisah benar. Kisah perjalanan sepasang ibubapa yang berusaha untuk mencari penawar terhadap penyakit anak kesayangan mereka. Bak kata salah seorang pembaca yang telah mengulas buku unik ini, ia adalah novel realiti. Kisah yang 'hidup' agak sukar untuk diulas oleh pembaca kerana setiap perjalanan kehidupan itu telah ditentukan oleh sang pencipta Yang Maha Esa. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan Allah tidak akan mensia-siakan segala usaha dan jerih perih yang telah dilalui oleh hambaNya.
Buku 372 halaman ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama sarat dengan pengalaman pasangan Puan Isyah Radhiah dan Che Amran Raihan yang penuh berliku untuk mencari penawar terhadap penyakit anak ketiga mereka Aqi (Ahmad Mahir Baihaqi). Bahagian kedua pula, Isyah memberikan beberapa tips yang amat berguna untuk kehidupan harian. Antaranya perkongsian diet harian Aqi, tips khusyuk solat, tips menghafal ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan pelbagai tips ringkas untuk panduan ibubapa yang boleh digunapakai walaupun anak kita sihat.
Dalam bahagian pertama buku ini, Puan Isyah telah berjaya melakarkan kisah ketabahan seorang isteri yang dianugerahkan Allah dengan zuriat yang ramai, dan seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan penyanyang tetapi sentiasa sibuk untuk menyebarkan dakwah melalui nasyid di dalam dan luar negara dengan baik. Bermula dari menceritakan awal perkenalan mereka, Puan Isyah meneruskan ke saat-saat menghamilkan Aqi, melahirkan dan seterusnya menerima berita yang mengejutkan pada pertengahan tahun 2010 apabila anak ketiganya yang baru berusia 9 tahun telah disahkan menghidap brain tumour. DIagnosis ini telah disahkan apabila Aqi telah sakit kepala secara berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Puan Isyah menerima berita yang amat berat untuk ditanggungnya ketika suaminya, Che Am sedang berkelana ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan di sana. Pada saya Puan Isyah adalah seorang hamba Allah dan isteri yang sangat tabah dan sabar. Beliau telah membuat keputusan yang tepat untuk mengurangkan simptom-simptom sakit kepala yang dialami oleh Aqi walaupun pada mulanya beliau ragu-ragu untuk meneruskan pembedahan memasang shunt di kepala Aqi.
Setelah simptom sakit kepala Aqi beransur pulih, Puan Isyah dan Che Am pula buntu samada perlu meneruskan atau tidak pembedahan untuk membuang tumor Aqi. Empat hari mereka menimbangkan baik buruk risiko pembedahan tersebut dengan mengumpulkan maklumat daripada kaum keluarga, rakan-rakan, pengalaman ibubapa pesakit yang lebih kurang sama seperti Aqi dan pengamal perubatan alternatif. Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama seperti Aqi telah membuatkan Puan Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Puan Isyah,
"Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa."
Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Puan Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan berbanding Kak Zah yang sebelum ini terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa untuk membuat pilihan. Keraguan ibunya tentang pembedahan di bahagian kepala juga membuatkan renungan Puan Isyah makin dalam. Mereka terus menerus berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya tanpa jemu. Keputusan perlu dibuat. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Aqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan untuk mengguhkan pembedahan dan meminta izin untuk membawa keluar Aqi dari hospital.
Sejak dari itu, bermulalah episod perjalanan untuk mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif untuk menyembuhkan Aqi. Antaranya terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Aqi. Alhamdulillah, akhirnya Aqi sembuh seperti sediakala. Perkara yang terpenting yang dapat aku pelajari dari kisah Aqi adalah jangan putus asa. Jangan putus asa untuk mencari segala macam alternatif perubatan untuk mengubatkan sebarang penyakit dan kita perlu sentiasa yakin kepadaNya. Yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan segala usaha hambaNya. InsyaAllah, pasti berjaya.
Kisah Aqi juga lebih kurang sama dengan kisah seorang adik lelaki sahabat baikku dari UKM dahulu. Aku doakan adik sahabatku itu akan sembuh suatu hari nanti. Semoga kalian tabah dan sabar menghadapi dugaanNya. Percayalah, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah tidak memberikan kita semua yang kita doa dan harapkan kerana Dia ingin kita beramal dan terus beramal.
Jika anda tidak percaya tentang novel realiti?? Bacalah kisah ini atau kisah-kisah lain yang ditulis sebagai travelog. Kisah-kisah mereka ini amat manis dan penuh dengan warna-warni sebenar kehidupan.
---
Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem
0 comments:
Post a Comment