Jul 23, 2011

WA : Cabaran 50 Buku : (19) Kasih Bersemi


Penulis : Rozita Abd Wahab
Halaman : 571
Tahun : Mac 2006
Terbitan : Diwangsa Publications & Distributors
Harga : RM19.90 (Sem. M'sia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 983-9459-54-6




Blurb:

Kasih yang disemai; Mekarnya tetap menjadi rindu yang manis


Hanim guru muda yang baru sahaja ditugaskan di sebuah sekolah di utara menjadi perhatian guru-guru dan penduduk kampung sekitar rumah sewanya. Dia menjadi buah mulut masyarakat di situ apabila dikatakan akan bertunang dengan Awaludin, anak bujang Mak Yam. Malu dan marahnya bukan kepalang kerana cerita tidak berasas itu.

Untuk menutup rasa tertekan, Hanim mereka cerita bahawa dirinya sudah bertunang. Bagaimanapun cerita rekaannya itu mengundang kecewa Mak Piah pula. Mak Piah menyimpan angan hendak menjodohkan guru itu dengan anak terunanya Akmal, lelaki yang amat pendiam!

Siapa pun tidak menyangka cerita rekaannya menjadi kenyataan bila dia terpaksa juga bertunang dengan Shafri teman lelaki yang kerap melukakan hatinya. Hanim menerima ikatan itu kerana kebaikan Puan Asma, wanita yang dianggap ibu kandungnya.

Kematian Shafri akibat kemalangan menyulitkan lagi hati Hanim. Mengapa Awaludin yang menginginkan Hanim, berkahwin pula dengan Amirah? Bagaimana Hanim mengubati hati kecewanya?


Plot/Jalan Cerita:

Kasih Bersemi berkisah tentang Hanim, guru muda lepasan maktab. Dia, gadis kota metropolitan Kuala Lumpur dihantar bertugas ke sebuah kampung di utara tanah air. Dia anak yang dibenci oleh ibu yang membesarkannya. Dia kakak yang tidak dihormati oleh adik-adiknya. Dia dilayan bagaikan orang gaji di rumahnya sendiri. Kesempatan ini bagaikan peluang terbaik baginya untuk 'lari' daripada bebanan perasaan yang ditanggung. Tapi dia punya ayah yang sangat menyayanginya yang sentiasa disisi, yang sentiasa ada untuk mendengar keluh kesahnya.

Sementelah pula hubungan yang tidak menentu dengan Shafri - teman lelakinya, memberinya peluang untuk menata kembali hatinya yang sering kali disakiti oleh lelaki itu. Penghijrahan ini bagaikan memberi peluang untuk dia ‘bernafas’ dengan aman di daerah yang jauh daripada ‘masalah-masalah’nya itu. Tapi benarkah lari dari masalah adalah penyelesai segala masalah?

Kasih Bersemi membawa kita menyelami hati seorang anak yang sering dinafikan haknya oleh ibu. Adakalanya penderaan mental lebih teruk berbanding dengan penderaan fizikal. Tapi, Hanim seorang anak yang tabah, dia memandang hidup ini dengan pandangan yang positif. Dipaksa belajar menjahit, memasak, mengemas rumah dan melakukan serba-serbi urusan rumahtangga seawal usia mudanya. Namun sesungguhnya ada manfaat untuknya di kemudian hari.

Kasih Bersemi membawa kita menyelusuri hati seorang wanita yang sering disakiti oleh lelaki yang diharapkan untuk membawanya keluar dari kemelut yang membelenggu hidupnya di rumah. Janji-janji manis yang dilafazkan si dia sering membuatnya dilambung bahagia. Namun di waktu yang sama hatinya sering kali pula disakiti.

Kasih Bersemi bercerita tentang erti kasih sayang seorang sahabat, tentang hubungan sesama jiran tetanga, juga tentang tanggungjawab sosial seorang guru terhadap anak muridnya. Pendek kata, Kasih Bersemi adalah sebuah kisah masyarakat yang sarat dengan pengorbanan, kasih sayang dan tanggungjawab. Ini kisah perihal pahit manis, suka duka yang berlaku di seputar hidup seorang Farah Hanim Halim.


Watak & Perwatakkan:

Hanim – si gadis kota yang peramah dan baik hati. Dan dengan sikap peramahnya itulah, dia disenangi dan menjadi dambaan orang kampung untuk dijadikan calon menantu. Dan salah seorangnya adalah Mak Yam yang terkenal dengan mulut becoknya. Baru dua bulan dia di kampung itu, sudah heboh satu kampung gossip tentang dia yang bakal bertunang dengan Awaludin; anak Mak Yam. Dia juga perempuan yang tahu malu dan geram. Demi menutup mulut orang-orang kampung daripada terus bercerita, dia ‘mereka’ cerita tentang dirinya yang sudahpun bertunang dengan orang Kuala Lumpur. Daripada hanya cerita rekaan, akhirnya dia memang bertunang dengan Shafri, orang Kuala Lumpur!

Hanim juga dipotretkan sebagai seorang guru muda yang berdedikasi dan penuh rasa tanggungjawab terhadap tugasnya sebagai pendidik. Dia wanita yang dikurniakan dengan sifat belas dan simpati yang menggunung. Dan usaha murninya yang menjadi sebutan orang kampung apabila dia tampil membela nasib anak muridnya Fahmi, anak yatim piatu yang kehilangan kedua orang tua. Dijaga oleh nenek yang uzur yang akhirnya juga meninggalkannya. Fahmi dijadikan adik angkat dan dia dengan rela hati membiayai segala perbelanjaan persekolahan Fahmi hinggalah Fahmi dijadikan anak angkat oleh Auntie Asma dan Uncle Salleh (ibubapa Shafri) keluarga angkatnya.

Shafri – dia lelaki yang sering kali alpa. Pantang ada wanita jelita, hatinya mudah terpesona. Tapi akhirnya dia akan kembali pada Hanim pabila hatinya mulai tawar dengan setiap wanita baru yang dikenalinya. Hanim tetap wanita dambaan hatinya.

Shafri, dia bagaikan lelaki yang tidak ada tenggang rasa pada Hanim. Walau hakikatnya dia amat menyayangi Hanim. Dia bagaikan lelaki yang tidak reti bertanggungjawab terhadap hubungannya dengan Hanim yang telah bertahun-tahun terjalin. Dan kesilapan terbesarnya apabila Hanim memergokinya curang bersama wanita lain.

Berjauhan dengan Hanim, mengajar dia erti cinta yang sebenar-benar cinta. Sayangnya pada Hanim tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana wanita yang hadir dalam hidupnya. Hanya Hanim yang dia sayang dan cinta selama-lamanya. "Awak istimewa di hati saya...ratu hati saya... sampai akhir hayat saya akan menyayangi awak. Nim, I love you so much..." -ms 238

Dan benarlah, rasa cintanya pada Hanim dia bawa hingga ke mati. Di saat mereka sedang berbahagia menghitung hari, Shafri pergi mengadap ilahi selepas terlibat dengan kemalangan.

Akmal – anak Mak Piah, jiran sebelah rumah sewa Hanim di kampung. Dia lelaki yang pendiam. Amat pendiam! Hatta dengan ibunya sendiri dia tidak banyak bercakap. Hinggakan Hanim gelarkannya Si Bisu. Tapi diamnya bukan bermakna dia tidak ambil peduli. Diamnya diam berisi. Dalam diam, dia memendam rasa pada jiran sebelah rumahnya. Tapi bukan sifatnya untuk menunjukkan rasa suka pada si gadis terang-terangan. Nasib baik ada si ibu yang memahami gelodak di hatinya. Yang menjadi jambatan untuk dia dekat dengan si gadis yang dipuja dalam diam itu.

Saya sangat sukakan watak Akmal ini. Inilah antara hero kegemaran saya selepas Eric Chua (Permata Asmara). Pada saya Akmal adalah bayangan lelaki yang sangat gentleman. Dia lelaki yang bercakap bila perlu. Dia lelaki matang yang tenang lagi bersahaja. Tapi bila diberi peluang dia bisa menjadi lelaki yang sangat romantik dengan caranya yang tersendiri. Kata-katanya juga bisa membuatkan Hanim yang becok mulut juga terkedu! Itulah Akmal yang saya suka. Dan saya jatuh cinta padanya! hehehe

Faisal – dia senior Hanim ketika mereka di maktab perguruan. Dia, lelaki yang sukakan Hanim tapi harus mengurung rasa hatinya memandangkan Hanim sudah ada Shafri dalam hidupnya. Dia lelaki yang hadir tidak kena pada masa dan ketika. Dia pernah jadi lelaki yang baik, tetapi kerana cinta, dia berubah sifat dan sikap. Dia jadi lelaki yang menyebalkan. Dia jadi lelaki yang menjengkelkan. Bahkan dia jadi lelaki yang sanggup memperjudikan hati wanita lain semata-mata untuk menarik perhatian Hanim. Dia jadi lelaki yang bagaikan tiada rasa belas kasihan dan tanggungjawab.

Amirah - dia teman serumah Hanim. Dia guru sekolah menengah. Dia sahabat yang sentiasa ada di saat-saat Hanim dirundung duka. Dia sentiasa ada di saat-saat suka mahupun duka Hanim. Namun dia juga menjadi mangsa keadaan. Dia jatuh cinta pada Faizal disebabkan Hanim. Dia juga dikecewakan oleh Faizal kerana Hanim.

Selain watak-watak utama yang menjadi tunjang utama cerita ini, watak sokongan seperti Auntie Asma, Uncle Salleh dan Mak Piah yang penyayang, Mak Yam yang becok, juga 'Ibu' yang sering menyakitkan hati Hanim (ada sebab kenapa 'Ibu' bertingkah sedemikian) menjadikan cerita ini penuh warna-warni. Menjadikan cerita ini menarik untuk saya baca berulang-ulang kali.


Sekacip Pinang:

Saya ‘kenal’ Rozita Abd Wahab lewat karya-karyanya bersama Creative Enterprise dan saya jatuh cinta. Selain bersama penerbitan Creative, karya-karya beliau juga pernah diterbitkan oleh Alaf 21 dan Syarikat Diwangsa. Dan betulkan saya andai saya tersilap, rasanya Syarikat Diwangsa ini sudah tidak aktif lagi, jadi anda mungkin tidak akan jumpa lagi naskhah ini kecuali ada syarikat penerbitan lain membeli hak cipta dan menerbitkannya semula.

Saya sudah lupa untuk kali ke berapakah naskhah ini saya baca. Tapi saya tetap sukakannya walaupun setiap babak dan atur langkah sudah saya hafal jalan ceritanya. Jangan ditanya kenapa dan apa yang membuatkan saya sukakannya kerana saya tiada jawapan khusus untuk soalan itu melainkan saya sukakannya tanpa alasan. Sayangnya, penyuntingan yang tidak sempurna, kesilapan demi kesilapan yang terlihat dek mata bole saya terutamanya kesilapan ejaan dan penggunaan istilah bahasa inggeris sedikit sebanyak mencacatkan naskhah yang menarik ini. Apa-apapun saya tetap sukakan isi yang terkandung di dalamnya.

Bacalah moga ada manfaatnya buat kita semua.


0 comments: