Jul 1, 2011

R: Cabaran 50 Buku: (50) Panduan Protokol & Tatatertib Majlis


Membaca buku ni buat aku sedar protokol sangat penting dalam kehidupan tetapi sekarang ni kita banyak meninggalkan protokol kerana ianya dianggap menyusahkan. Tengok lah sekarang, sudah banyak protokol yang kita buang dari kehidupan seharian sehingga rasa hormat dalam pelbagai lapisan kehidupan sudah semakin hilang. Sekarang ni orang pergi kenduri kahwin pun pakai t-shirt dan seluar jeans sahaja tak kiralah lelaki atau perempuan. Aura majlis kenduri kahwin pun terasa kurang apabila orang yang hadir pun berpakaian lebih kurang sahaja dan seperti tidak mahu menunjukkan kegembiraan meraikan pengantin dengan berpakaian cantik dan bersiap-siap dengan gaya meriah.

Panduan Protokol & Tatatertib Majlis
Penulis: Samsudin Wahab
Penerbit: PTS PROFessional
Cetakan 1: 2004
Cetakan 5: 2006
978983385663
RM20.00
Sabah/Sarawak: RM23.00
224mukasurat

“Panduan melaksanakan majlis secara berprotokol, mengikut tatasusila dan mematuhi peradaban sebagai lambang ketinggian adat dan budaya”


Dari Pengarang:
Protokol merupakan satu bentuk peraturan yang menekankan kepada kepatuhan terhadap etiket rasmi yang mengandungi aspek-aspek tingkah laku yang diterima umum oleh masyarakat. Bermula dari zaman kesultanan Melaka lagi kita sudah mempunyai peraturan-peraturan khusus yang diamalkan di istana dan majlis-majlis yang dihadiri oleh pembesar-pembesar negeri. Dalam kehidupan seharian kita juga mengamalkan protokol di rumah di mana anak-anak perlu menghormati tatasusila keluarga yang memang sudah wujud sejak zaman berzaman.

1. Apa itu Protokol Majlis?
Berasal dari bahasa Yunani(Greek) yang membawa maksud tanda taraf atau status yang membuktikan kesahihan undang-undang zaman Yunani. Mengikut kamus dewan, protokol adalah peraturan-peraturan dalam istiadat rasmi misalnya prosedur menyambut tetamu dan lain-lain

Peranan protokol
a. memberi penghormatan dan kemudahan-kemudahan kepada mereka yang wajar menerimanya serta mengelakkan pertelingkahan dan salah faham dengan yang lain-lain.
b. Mengekalkan hubungan awam antara indiviidu dan seterusnya antara Negara bagi mengelakkan salah faham
c. Mewujudkan rasa hormat dan taat kepada mereka yang sepatutnya mendapat kehormatan.
Kegagalan menjaga protokol akan menjadikan majlis kurang adab dan menjatuhkan imej tetamu istimewa.

Ringkasnya, pengetahuan protokol sangat penting bagi tujuan berikut:
a. Kegunaan harian untuk individu
b. Dalam hubungan masyarakat
c. Dalam mengurus dan mengendalikan majlis
d. Dalam hubungan antarabangsa

Istilah protokol tidak asing lagi dalam budaya dan cara hidup masyarakat melayu. Dewasa ini amalan protokol sudah kurang dan memberi kecacatan kepada berbagai majlis.

Sekiranya pengetahuan protokol kurang,
a. Individu akan tiada kesedaran pentingnya hormat menghormati
b. rasa hormat dalam keluarga akan berkurangan
c. masyarakat tidak akan menghormati pemimpin

Buku ini banyak menekankan protokol menghadiri majlis dan susun atur tetamu-tetamu kehormat, peranan host dan peranan pegawai protokol. Adab-adab berbual dan berkenalan turut diselitkan. Ianya sedikit sebanyak mengingatkan kita betapa indahnya adab dan protokol orang melayu dan orang Islam. Hampir keseluruhan buku ini disampaikan dalam bentuk akademik dalam susunan yang mudah dibaca. Mungkin lebih sesuai untuk kakitangan kerajaan yang nak ambil peperiksaan awam atau pegawai-pegawai yang sering terlibat dalam penganjuran majlis yang melibatkan VIP. Hmm ada juga kesalahan ejaan sikit-sikit. Tergelak aku bila baca tajuk "Hadiah Cedera Hati untuk Tetamu". Oh tidak, aku tidak mahu hadiah itu.

Di penghujung buku ini adalah diselitkan banyak pantun melayu yang sesuai dijadikan penyeri majlis.

Blurb/novelcinta@multiply/synopsis

Menganjurkan majlis bukanlah suatu perkara yang mudah dilaksanakan. Banyak pihak yang terlepas pandang dalam isu-isu protokol serta etiket yang betul dalam menganjurkannya.

Buku ini menerangkan dengan jelas cara berpakaian yang betul, tatatertib di meja makan, penyusunan meja makan dengan cara yang betul, adab sopan dalam pertemuan dan perkenalan dalam majlis. Selain itu, ia juga menerangkan cara membuat panggilan yang betul bagi tetamu-tetamu daripada pelbagai jawatan dan gelaran, penampilan diri dalam majlis serta adab sopan ketika memberikan ucapan dalam majlis.

Buku ini sesuai dijadikan rujukan bagi setiap keluarga, jawatankuasa daerah, negeri, jabatan kerajaan dan swasta atau institusi pengajian tinggi.

Samsudin Wahab adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti MARA (UiTM Dungun, Terengganu.)

0 comments: