Jul 25, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (12) : Gembira Belajar Dengan Peta minda


Tajuk Buku : Gembira Belajar Dengan Peta Minda
Penulis : Femi Olivia
Terbitan : Casa Delima
Muka Surat : 162


Ulasan Buku

Buku terbitan Casa Delima ini dapat membantu pembaca terutamanya pelajar mempelajari dan membuat nota menggunakan peta minda. Ibu bapa yang membaca buku ini boleh mengajar anak-anak membuat nota menggunakan peta minda. Kajian telah membuktikan bahawa peta minda dapat meningkatkan dan mengimbangkan antara otak kiri dan otak kanan. Buku karya Femi Olivia ini banyak menyelitkan kata-kata perangsang dan motivasi bagi meningkatkan semangat pembaca atau pelajar untuk lebih berjaya. Salah satu kaedah untuk berjaya dalam pelajaran ialah dengan melakar peta minda. Justeru itu, buku ini mengajar pembaca cara-cara membuat peta minda yang betul. Pembaca pasti seronok membaca buku ini dan tidak sabar ingin mencuba belajar menggunakan kaedah peta minda ini apabila melihat cara-cara melakar peta minda yang disediakan. Pelbagai peta minda yang menarik disediakan pasti menarik hati pembaca kerana keunikannya. Apabila selesai membaca, pembaca pasti akan berfikir seperti saya iaitu “belajar itu mudah sebenarnya”.

‘Gembira Belajar Dengan Peta Minda’ ini dimulakan dengan memaparkan kesilapan-kesilapan belajar dan ulangkaji yang selalu dilakukan oleh pelajar serta kesan atas kesilapan tersebut. Buku ini sangat membantu pelajar berjaya dalam pelajaran dengan menggunakan kaedah belajar yang betul selain mengingati pelajaran dengan lebih mudah. Peta minda bukan sahaja membantu dalam pembelajaran tetapi dalam kehidupan harian juga seperti jadual harian pelajar dan anak-anak. Buku ini sangat sesuai untuk pelajar sekolah mahupun pelajar ipt serta ibubapa mempunyai anak-anak yang masih bersekolah bagi membantu anak-anak mudah belajar. Belajar semakin senang dan seronok dengan peta minda! Belajarlah dengan stategi yang betul! Kaedah belajar yang paling berkesan adalah dengan melakar peta minda!


Kata-Kata Perangsang Pilihan

“Seorang juara harus dilatih otak dan fizikalnya dari kecil”
“Pada saat lahirnya setiap anak memiliki potensi kecerdasan yang lebih besar daripada yang pernah digunakan oleh Leonardo Da vinci” – Glenn Doman



Kulit Belakang Buku

Anak-anak yang dilahirkan bukan tidak pintar!

Cuma, tidak semua anak-anak mengetahui bagaimanakah caranya untuk menjadi seorang pelajar yang “pintar”. Antara caranya seperti berfikir dengan menggunakan warna dan gambar atau menggunakan peta minda atau pemetaan fikiran.

Buku ini akan membimbing anda menjadi “guru” untuk membantu anak-anak anda menggunakan peta minda untuk mencatat dan meringkaskan setiap pembelajaran yang telah diajar di sekolah. Teknik ini amat sesuai dengan cara otak mereka belajar dan sudah tentu akan membantu anak-anak anda supaya lebih memahami setiap pembelajaran di sekolah.

Percayalah, tiada guru yang lebih baik berbanding anda sebagai ibu bapa mereka untuk mengasah kemampuan mereka supaya berfikir.

---
Nur Amalina

1 comments:

hana said...

mane boileh saya dapat buku nie...tlg email ke hamster_ciut@yahoo.com