Tajuk: Tanya Pada Hati
Penulis: Iman Xara
Penerbit: Jemari Seni (2009)
479 Mukasurat
Harga: RM20
Bila saya imbas semula, barulah saya sedar ketiga-tiga novel Iman Xara saya telah baca. Bermula dengan Rumput Masih Hijau, kemudian Kau Curi Hatiku dan yang terakhir Tanya Pada Hati. Mungkin agak pelik kerana saya membaca tidak mengikut turutan tahun keluaran. Apa yang saya dapat katakan adalah, novel Iman Xara memang mempunyai gaya yang tersendiri ( menurut pendapat saya ). Mungkin juga apa yang saya rasa ini tidak pembaca lain rasa.
Sememangnya saya sedar, apabila saya membaca karya Iman Xara, saya memang perlukan tumpuan penuh. Bukan disebabkan bahasa yang sukar tetapi apabila saya membaca karya ini, saya seolah-olah dibawa menelusuri perjalanan kisah watak-wataknya yang tidak semudah yang dibaca.Membaca karya ini membawa saya bersama-sama untuk cuba memahami sebab-sebab untuk setiap tindakan watak-wataknya.Memang agak serius kedengaran, kekadang saya boleh saja turut terbawa dengan emosi watak-wataknya Farisya Ibrahim dan Fitri Hidayat. Turut merasakan trauma yang dialami oleh Farisya saat hampir dirogol dan turut merasa kecewanya dia apabila lelaki yang dianggap dapat melindunginya bertindak meninggalkan dirinya disaat dia memerlukan.
Penulis berjaya mewujudkan watak Iskandar yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat baik, baik pekerjaannya, baik perkertinya, malah tidak mudah berputus asa untuk mendapatkan cinta Farisya. Namun siapa sangka, lelaki yang begitu beria-ia untuk memiliki hati Farisya sanggup meninggalkan dia begitu saja. Sama juga seperti Idayu yang memiliki watak yang sentiasa berubah-ubah. Walaupun Idayu kelihatan seperti gadis yang baik-baik saja ketika dia cuba menawan hati Fitri, hati saya tetap menolak dan tidak ingin Fitri bersama Idayu ( terlebih emosi pula ).
Mungkin ada benarnya juga kata-kata yang lebih kurang berbunyi ‘ seorang lelaki dan wanita tidak akan dapat menjadi sahabat kerana mungkin salah satu daripadanya akan tergelincir perasaannya’. Dalam kata lain, akan timbul perasaan yang melebihi perasaan antara seorang sahabat saja. Begitulah yang terjadi kepada Farisya dan Fitri.Perhubungan yang berlandaskan persahabatan sehingga mereka tidak sedar akan perasaan cinta yang memang telah ada di hati mereka ataupun disebabkan masing-masing takut persahabatan mereka akan tercemar sekiranya ada perasaan sebegitu. Maka masing-masing lebih sanggup mengalihkan rasa di hati kepada orang lain, memendam rasa, menjeruk jiwa sehingga sampai satu ketika begitu terseksa perasaan mereka.
Namun saya boleh tersenyum lega apabila hampir sampai ke helaian yang terakhir. Hilang segala perasaan yang tidak tenang membaca pergolakan Farisya dan Fitri sedari awal.
---
Anita Sang
Jul 12, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment