Jul 4, 2011
K : Cabaran 50 Buku : (1) Rancang Wang dari Sekarang
Tajuk : Rancang Wang dari Sekarang
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Penulis : Pakdi (Pengasas komuniti BicaraJutawan.com)
Harga : RM17.50 (Sem. Malaysia), RM19.50 (Sabah/Sarawak)
Tebal : 162 halaman
Rating : 4.5/ 5
Sinopsis
Buku ini menerangkan akan kepentingan merancang wang sejak awal-awal lagi sebagai satu usaha bagi mengelakkan perkara-perkara buruk yang mungkin akan terjadi di masa akan datang. Pelbagai topik yang diulas oleh penulis lebih-lebih lagi tentang isu yang berkaitan dengan harta dan konsep muamalat mengikut kehendak dan pandangan Islam itu sendiri. Masalah riba’, insurans, zakat, kad kredit, derma dan sebagainya banyak dihuraikan secara panjang lebar bagi mengelakkan kita daripada terlibat dengan unsur-unsur gharar (ketidakpastian) dalam masa kita bermuamalat - tidak kira samada secara langsung atau tidak. Bermula dengan penentuan impian hidup, kita dapat menentukan laluan perjalanan kewangan kita setiap hari. Oleh itu, walaupun kita berada di dalam situasi kewangan yang tidak menentu, kita masih dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dengan adanya perancangan kewangan yang benar-benar berkesan!
Ulasan Saya
Buku ini amat bagus dan sesuai untuk dijadikan salah satu bahan rujukan tambahan bagi subjek perancangan kewangan anda. Buku ini bakal menjawab persoalan anda tentang:
1. Apa beza riba’ dengan transaksi yang halal menurut Islam?
2. Apa kaitan antara pendapatan (aktif dan pasif) dengan perbelanjaan?
3. Kaedah pengiraan perlindungan takaful diri
4. Konsep asas cashflow (aliran tunai) dan capital gain (networth)
Selain itu, buku ini turut membincangkan sedikit sebanyak mengenai perancangan hidup yang amat berkait dengan kewangan seperti perancangan perkahwinan, pelaburan dsb. Kisah di sebalik tafsiran mimpi Raja Mesir yang telah ditakwilkan oleh Nabi Yusuf (surah Yusuf: 47–49) juga dapat kita ambil sebagai satu teori pengurusan harta dalam Islam. Teori ini dapat kita jadikan sebagai satu guide dalam merancang kewangan kita.
Penerangan mengenai konsep sedekah jariah (berkekalan) juga turut memberikan kefahaman yang lebih luas tentang kaedah perancangan kehidupan abadi kita di sana nanti. Sebagai contoh, mana satukah sedekah jariah– mewakafkan tanah untuk didirikan masjid atau memberi makan anak-anak yatim?
Pelbagai term kewangan yang digunapakai di dalam buku ini mungkin adalah sesuatu yang baru bagi anda. Namun ia mungkin sudah tidak asing lagi bagi mereka yang telah lama bergelumang dengan dunia kewangan dan mengikuti tulisan-tulisan pakar kewangan hari ini seperti Robert T.Kiyosaki, Warren Buffet, Azizi Ali dll.
Sekiranya anda masih baru, anggaplah buku ini sebagai satu starter kit yang mampu mengubah haluan kewangan anda. Saya tidak katakan buku setebal 162 muka surat ini dapat membantu anda sehingga mencapai tahap financial freedom, namun buku ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang peracangan kewangan yang sepatutnya anda lakukan sekarang.
Sebagai kesimpulan, anda mesti mengamalkan 3 perkara asas ini di dalam merancang kewangan anda iaitu mula menyimpan, kawal perbelanjaan di samping mengadakan satu pelan untuk menambah pendapatan anda bermula dari sekarang. Semoga berjaya!
AWAS: Walaupun ia nampak mudah, namun perancangan kewangan anda mungkin akan gagal sekiranya tiada disiplin!
---
Kakeru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment