Jul 4, 2011

AS: Cabaran 50 Buku : (34) Bisik-bisik Gelora


Tajuk: Bisik-bisik Gelora
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Buku Prima (2011)
598 Mukasurat
Harga: RM25.90 (SM)/ RM28.90 (SS)

“ Cinta bukan sekadar mengucapkan tapi mengusahakannya.”

Salah satu dari petikan kata-kata dari Bisik-bisik Gelora yang saya suka. Membaca sebuah lagi karya penulis terkenal Fauziah Ashari ternyata begitu berlainan sekali rasanya. Mana tidaknya apabila ada satu babak dalam novel ini yang telah berjaya membuatkan saya menangis dan tidak sudah-sudah bersimpati dengan watak-wataknya. Memang cukup berkesan cara penulis menampilkan setiap watak-wataknya.

Apa yang saya boleh simpulkan:

1. Kisah yang penuh pengajaran kepada semua, setiap orang diberi peluang untuk bertaubat, namun ada yang terus leka walau telah diberi peluang sehingga mereka perlu bayar tunai di dunia ini.
2. Sangat bersimpati dengan nasib Banin Arumi (Umi), Jad Izzudin ( mesti ada yang hairan kenapa simpati dengan Jad? ) dan juga Akif Allaudin. Sungguh perjalan hidup mereka begitu tragis walaupun pada akhirnya ada cahaya kebahagian menanti.
3. Watak-watak diwarnakan dengan baik, termasuklah watak-watak sampingan (Nada, Wari dan Fakhri ). Cukup menarik dan berkesan.

Siapa sangka gadis nakal yang suka bersuka-ria dengan teman-teman boleh berubah apabila malang datang bertimpa-timpa. Mungkin orang lain akan terus hanyut, namun Umi telah bangkit dengan tabah, malah dia berjaya dalam pelajaran dan turut menjawat jawatan yang agak tinggi.

Semuanya berubah apabila dia dikahwinkan dengan Jad Izzudin yang tidak dikenalinya, dan kemudian lelaki yang baru dinikahinya itu ditahan polis. Malah lebih tragis lagi apabila ibu bapanya turut meninggal dunia selepas menghadiri pernikahannya. Maka sebab itu Umi bertekad untuk membawa diri kerana bagi Umi segala yang terjadi disebabkan oleh Jad.

Selepas 7 tahun dia kembali semula ke Malaysia, apa yang Umi cuba elakkan, itulah yang dia temui. Bertemu semula dengan Jad adalah perkara terakhir yang Umi fikirkan, walaupun statusnya masih isteri Jad. Namun Jad tidak memberi peluang untuk Umi melarikan diri lagi selepas semua yang dia terpaksa tanggung sendiri selepas kehilangan Umi. Bukan sekadar wang ringgit,malah Jad menanggung semuanya sendiri sedangkan Umi senang-senang melarikan diri. Itu yang Jad fikir. Walaupun Jad sudah berjaya namun bagi Umi, dia masih tidak mengenali siapa Jad sebenarnya.

Apabila saya katakana saya bersimpati dengan Umi, saya juga turut bersimpati dengan nasib Jad, malah lebih bersimpati dengan nasib Akif yang tidak diakui anak oleh Jad. Mungkin juga salah Umi dan Jad semua yang terjadi sehingga hidup mereka begitu lambat menemui bahagia.Derita Umi dan Jad bertambah apabila mereka tinggal serumah. Rasa yang baru menjenguk di hati Jad terus hilang apabila Fakhri dan Wilson hadir dalam hidup Umi.Malah bagi Umi,tiada rasa cinta terhadap Jad.

Lalu bagaimanakah Umi dan Jad berdepan dengan rumahtangga mereka yang suram itu? Mungkinkah bertambah sukar kerana adanya Nada? Mampukah Akif mendapat kasih seorang ayah? Semuanya terjawab dalam Bisik-bisik Gelora, salah satu novel yang wajib dibaca peminat-peminat novel.

---
Anita Sang

0 comments: