Doktor Cinta
Penulis : Dyadila
Penerbit: Kaki Novel
Terbitan/Cetakan ke Tiga April 2011
Doktor Cinta hasil coretan Dyadila mengisahkan kehidupan seorang gadis yang bernama Mazliana Haji Nordin. Gadis yang agak comel yang mempunyai perwatakan yang sempoi dan selamba. Dia juga mempunyai aura periang dan sentiasa rajin bersuara untuk menegakkan kebenaran atau untuk menyakat orang yang rapat dengannya. Kelebihannya bersuara dalam semua hal membuatkan orang-orang disekelilingnya sentiasa mempercayai apa sahaja yang dilakukannya.
Pertemuaan pertama Mazliana Haji Nordin dengan Iskandan dan Zikri bermula ketika Iskandar cedera di kaki semasa bermain bola sepak dan Zikri telah membawa Iskandar ke klinik kepunyaan kakak Mazliana. Ketika itu, hanya tinggal Mazliana di klinik tersebut dan Mazliana terpaksa berpura-pura menjadi doktor. Tetapi, Zikri berasa cukup pelik kerana, seorang doktor hanya mengurut kaki pesakit yang cedera, tidak pula doktor tersebut memberi ubat kepada Iskandar.
Mazliana juga mempunyai seorang sahabat karib yang bernama Syamim atau panggilan manjanya Mimi. Mimi bekerja di syarikat milik keluarga Iskandar. Pada suatu hari, Mazliana muncul di pejabat Mimi untuk menyakat sahabatnya itu. Mazliana datang dengan membawa watak lakonannya sebagai ibu kepada Mimi. Disebabkan oleh lakonan Mazliana untuk menggenakan Mimi itu, Iskandar mendapat idea untuk menggunakan khidmat lakonan Mazliana untuk menyelesaikan masalah peribadinya.
Iskandar mengupah Mazliana menjadi kekasih olok-oloknya supaya dia tidak dipaksa mengahwini Natasha yang agak merimaskan. Mazliana bersetuju dan terpaksa menandatangi segala perjanjian yang telah dibuat oleh Iskandar tanpa membaca dengan terperinci setiap isi kandungan perjanjian tersebut.
Masalah menjadi semakin rumit apabila, Tengku Mariam iaitu ibu Iskandar telah berkenan dan jatuh sayang kepada Mazliana. Tengku Mariam ingin menjadikan Mazliana sebagai menantunya. Akhirnya, Mazliana bertunang dengan Iskandar dan Mazliana mendapat upah yang agak lumayan.
Terlalu banyak dugaan yang terpaksa Mazliana tempuhi selama bergelar tunangan kepada Iskandar. Sememang kewujudan Natasha tidak berapa mendatangkan masalah kepada Mazliana kerana Natasha hanya bertepuk sebelah tangan. Yang menjadi masalah terlalu besar kepada Mazliana adalah kemunculan semula kekasih hati Iskandar iaitu Julia Hana. Julia Hana muncul untuk menagih kembali cinta yang putus di tengah jalan bersama Iskandar.
Julia Hana adalah seorang model taraf antarabangsa, mempunyai paras rupa yang cukup menawan. Cintanya bersama Iskandar tidak sampai ke penghujungnya kerana dia berlaku curang dibelakang Iskandar. Kerana perbuatannya, Iskandar berubah sikap, menjadi seorang yang pemarah dan tidak pernah senyum. Ibubapa Iskandar juga amat membenci Julia Hana kerana telah memporak perandakan perasaan anak lelaki kesayangannya itu.
Sifat yang terlalu sempoi yang dimiliki oleh Mazliana bukan sahaja memikat hati kedua ibu bapa Iskandar tetapi juga telah memikat hati Zikri. Zikri telah melakukan bermacam-macam untuk menarik minat Mazliana untuk mendekatinya, tetapi setiap apa yang dilakukan oleh Zikri tidak dapat menarik perhatian dari Mazliana kerana Mazliana bersungguh-sungguh melakukan lakonan yang telah di upah oleh Iskandar.
Pada awalnya Mazliana memang bersungguh-sungguh berlakon menjadi kekasih dan tunangan Iskandar, lama kelamaan, setelah sekian lama bergaduh, membuli dan mengusik bersama Iskandar, timbul perasaan sayang dan rindu Mazliana pada Iskandar. Mazliana tidak mampu untuk membohongi diri sendiri dan Mazliana sentiasa berasa cemburu dengan kehadiran Julia Hana di samping Iskandar. Layanan lembut dan romantik Iskandar terhadap Julia Hana membuatkan Mazliana memendam perasaaan.
Julia Hana juga mempunyai niat yang jahat terhadap Mazliana kerana menganggap Mazliana telah merampas Iskandar daripadanya dan mahu Mazliana kecundang dalam hidup. Bermacam-macam cara yang telah Julia Hana lakukan untuk menjatuhkan Mazliana, akhirnya segala usaha dan penat lelah Julia Hana berjaya dengan bantuan Liyana iaitu musuh dalam diam Mazliana. Satu kejadian yang amat dasyat berlaku dalam hidup Mazliana kerana perbuatan Julia Hana dan Liyana. Kejadian yang membuatkan Mazliana terlempar di dunia asing seorang diri kerana seluruh keluarga dan orang sekelilingnya tidak lagi mempercayainya.
Akhirnya Mazliana telah bangkit dari kesengsaraan yang telah dicipta oleh Julia Hana. Mazliana seorang gadis yang cukup kuat. Memulakan episode hidup yang baru di luar bumi Malaysia selama bertahun-tahun. Setelah segala kekuatan telah wujud dalam dirinya, Mazliana pulang ke Malaysia dengan satu tekad yang baru, iaitu meneruskan hidup dengan tidak lagi menoleh pada peristiwa lampau.
Kehadiran doktor cinta yang selalu menitipkan nota-nota kata-kata semangat untuknya, adalah salah satu sebab Mazliana masih mampu untuk menjejak kaki ke bumi tempat tumpah darahnya.
Mampukah Mazliana menidakkan kehadiran cinta dihatinya terhadap Iskandar? Mampukan Iskandar terus hidup dengan keegoaannya yang paling tinggi? Mampukah Zikri memiliki sekeping hati milik Mazliana? Siapakah doktor cinta yang sebenarnya? Kehadiran rakan kongsi yang membuka galeri seni bersama Mazliana itu, akan terus memikat hati Mazliana atau hanya separuh jalan? Doktor Cinta mengungkap segala-galanya.
Tidak semestinya seorang yang terlalu sempoi dalam hidup tidak mempunyai perasaan untuk mencintai dan menyayangi seseorang. Orang yang sukakan seni juga mempunyai hati yang terlalu halus dan sensitif. Orang yang luarannya kelihatan kasar, tidak semestinya mempunyai hati yang kasar juga. Jangan terlalu menilai seseorang daripada penampilan luarannya sahaja. Mazliana Haji Nordin adalah satu watak yang mempunyai semangat yang kuat.
---
Noor Hekmat
Jul 1, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment