Tajuk: Tuan Rumah Pembantu Rumah
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
517 Mukasurat
Harga: RM21 (SM)/ RM24 (SS)
Rasa teruja menatap novel Tuan Rumah Pembantu Rumah di tangan, tidak sama rasanya selepas membaca sehingga ke helaian terakhir. Mungkin orang lain lebih sesuai dengan jalan cerita sebegini tetapi agak tidak sesuai untuk saya. Namun begitu saya tetap menghabiskan bacaan untuk mengetahui kesudahan cerita Intan Asha Azreen dan Emir Jihan.
Secara ringkasnya, Intan Asha Azreen telah mengambil jalan mudah dengan melarikan diri dari rumah apabila ditimpa masalah. Ketika kecewa melihat tunangnya Taufeeq Badree bersama perempuan lain ( yang bukannya baru pertama kali berlaku ), Azreen telah melarikan dirinya dari rumah. Sudahnya dia lebih sanggup menjadi pembantu rumah di rumah Tan Sri Kamil Adfian ( papa Emir Jihan ) sedangkan dia sendiri memang dari keluarga senang, anak Tan Sri Fadilhuddin dan merupakan seorang Head Chef di Hotel Intan Purnama (milik ayahnya). Bermula dari saat itu, Azreen pantang bertemu Emir Jihan, ada saja yang akan dilakukan oleh kedua-duanya untuk mengenakan satu sama lain. Usik mengusik tidak pernah tidak apabila bertemu muka.
Ketika membaca novel ini, adakalanya saya tertanya-tanya sendiri, kenapalah watak Azreen yang sudah menjangkau 29 tahun dan Emir Jihan yang sudah berusia 34 agak tidak setara gambaran perwatakan keduanya dengan usia masing-masing. Walau secara realitinya, memang wujud sikap orang yang sebegitu, usia sudah matang tetapi perlakuan masih tidak menunjukkan kematangan tetapi saya mengharapkan watak Emir digambarkan agar lebih bersikap matang memandangkan dia seorang doktor dan sudah menjangkau 34 tahun umurnya.
Apabila melihat sikap Azreen, memang adakalanya akan timbul rasa tidak puas hati. Sebabnya adalah, dia lebih menunjukkan rasa benci kepada Emir Jihan ( walaupun selepas itu dia menerima Emir ) sedangkan reaksinya dan rasa benci kepada tunangnya yang curang tidak begitu menonjol. Sikap selambanya di rumah Tan Sri Kamil Adfian juga kadang-kadang saya kira agak keterlaluan ( sebagai seseorang yang berlagak sebagai pembantu rumah ). Namun, adakalanya perlakuan sepontant keduanya kadang-kala berjaya mencuit hati pembaca.
---
Anita Sang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment