Penulis: Lynn Dayana
Penerbit: Alaf 21 @ Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-983-124-632-0
Harga: RM19.90 / RM22.00
M/S: 494
Cetakan 1,2 – 2011
Blurb:
Ini kisah kejiranan yang gila. Ada pokok yang disiram air panas. Sampai, kiamat, pasti tidak subur! Ada karipap yang berintikan julap, maka penatlah berulang-alik ke bilik termenung. Maya tersepit umpama sandwich yang dihimpit rapat oleh roti yang panas.
Jiran sebelah kiri selalu membuatkan dadanya terasa mahu pecah. Bekas kekasih yang tidak faham makna tidak. Kata hati Maya, sejarah lama tidak akan berulang lagi. Kata hati Haqiem, sejarah mengajarnya untuk tidak melepaskan wanita idaman hati. Maka, remuklah jiwa Maya bila kerap diasak.
Jiran sebelah kawan pula membuatkan Maya pening. Besarnya bumi Malaysia, mengapa lelaki itu memilih untuk membeli rumah di situ juga? Sudah beristeri, mengapa masih mencuri pandang pada dia?
Kehadiran lelaki yang tidak diketahui namanya itu membuatkan Maya gila! Lelaki ini kaya dengan teori.
Dunia Maya kacau-bilau bak diserang garuda. Siapakah juara di dalam carta cintanya? Yang kanan? Yang kiri? Atau yang sering singgah di dalam hati?
Kak Chik menukil:
Perjalanan hidup Maya sedikit huru-hara dengan kehadiran bekas kekasih dan bekas tunang yang membeli rumah di kiri kanan rumah Maya. Keadaan jadi lebih bercelaru kerana status Maya yang masih menyendiri dan Maya kadang-kadang sedikit berlembut apabila berhadapan dengan mereka.
Haqiem kembali menagih kasih Maya setelah dua tahun dia meninggalkan Maya setelah mengetahui Maya tunangan lelaki lain. Dia tidak memberi peluang Maya untuk memberi penjelasan. Kehadiran sepupu Haqiem, Mimi juga selalu buat Maya tidak selesa dan terluka dengan kata-kata pedas Mimi yang takut Maya menakluk kembali Haqiem. Walaupun Maya berusaha untuk menolak Haqiem tetapi pada Kak Chik usahanya tidaklah terlalu kuat kerana Maya ada kala terbabas juga. Dia kadang-kala dengan mudah sahaja menerima bantuan Haqiem serta masih membuka peluang untuk Haqiem walaupun sering dikejar oleh Mimi yang tidak berapa betul tu.
Intan, jiran yang lemah lembut begitu baik dengan Maya tetapi apabila rahsia Adnan sudah pecah, Intan terus berubah sikap. Dia bukan lagi Intan yang lemah lembut. Dia makin terdesak apabila dia disahkan tidak dapat melahirkan zuriat untuk Adnan dan Adnan yang telah berubah sikap terhadapnya. Apatah lagi Adnan begitu berterus terang untuk memperisterikan Maya.
Kehadiran jambangan bunga ros putih juga turut mengganggu hari-hari yang dilalui Maya. Siapakah lelaki misteri itu? Apa yang dia mahu dari Maya, si penulis novel cinta dan pemilik kedai cenderahati ini?
Sudut pandang Kak Chik:
Comel betul patung beruang di kulit depan karya LD ni dengan langit membiru serta awan yang memutih tapi sedikit pelik terselit pelangi. Tajuk buku juga sedikit tenggelam, mungkin pihak penerbit menggunakan aksara nama LD yang besar dengan warna merah samar yang terang sebagai salah satu cara pemasaran.
Pada Kak Chik, isu utama yang dibangkit LD kali ini ialah perjalanan hidup Maya yang sepi dan sunyi kerana tiada teman istemewa dalam hidup. Apatah lagi dengan sejarah Maya yang pernah terpesong arah dalam membina perhubungan sesama insan. Namun begitu asbab utama Maya yang menjalin cinta dengan Haqiem ketika menjadi tunangan Adnan, sedangkan Adnan itu pilihan hati sendiri tidaklah dihurai dengan lebih lanjut. Cara Maya menghadapi masalah yang dihadapi juga kadang-kadang sedikit tidak matang selain dia selalu berkeluh kesah dengan perjalanan hidupnya. Dia jadi cemburu dengan kebahagiaan insan-insan di sekelilingnya tanpa dia sendiri memburu kebahagiaan itu.
Sesuatu yang selalu dijadikan isu dalam kebanyakan kisah-kisah yang ditulis juga iaitu isu jodoh dan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga yang dibina oleh masyarakat kita. Orang kita terlalu mendesak jika seseorang anak gadis lambat bertemu jodoh malah mereka juga turut dipandang sinis oleh kaum sejenis. Kehadiran anak juga sudah menjadi ‘wajib’ dalam rumah tangga yang dibina sehingga orang kita terlupa ketidakhadiran anak itu bukan pasangan yang menentukan. Jika diuji dengan ujian sebegitu, apakah kesalahan harus dijatuhkan kepada satu pihak sahaja seperti yang dilakukan Adnan? Adnan bertindak dengan tidak menggunakan akal sehingga dia tega membutakan mata untuk tidak melihat kebaikan isterinya semata-mata tidak mampu melahirkan zuriat untuknya.
Selain itu, kisah cinta yang digarap LD bagaikan berubah 90% kepada cerita thriller selepas perkahwinan Maya. Terus tenggelam watak-watak sampingan lain. Namun begitu LD bagaikan mematikan watak si pembunuh dengan terlalu ‘senang’ selepas kekejaman yang dilakukannya.
Sesuatu yang begitu Kak Chik ingat ialah, jauhlah sesuatu yang boleh menjadi asbab kepada fitnah kerana sesuatu pada kita tidak ada apa-apa itu bisa saja menjadi fitnah seperti terjadi kepada Maya.
Terus-terang dari awal sudah dapat meneka siapa juara carta cinta Maya ketika menatap kulit depan walaupun watak Haiqal muncul sedikit terlewat berbanding Haqiem dan Adnan.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Jul 12, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment