Penulis: Naz Areesya Ameen
Penerbit: Buku Prima@ Grupbuku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-967-0184-31-9
Harga: RM19.90 / RM22.90
M/S: 529
Cetakan 1 – 2011
Bercerai kasih bertalak tidak, seribu tahun kembali jua.
Blurb:
Mukhriz membawa diri kerana menyangka Altisya tidak setia. Altisya menyepi kerana menduga cinta Mukhriz bukan lagi miliknya. Dan, bisanya kata-kata seorang mertua merobek hati serta menjauhkan cinta mereka. Mereka berkahwin bukan untuk berpisah, namun apabila si mertua menuntutnya untuk meninggalkan suaminya, Altisya rela berjauhan dengan Mukhriz walau sayangnya masih sekebal tembok besi. Sesungguhnya syurga Mukhriz tetap di sisi seorang wanita bergelar ibu walaupun lelaki itu berada di dalam dakapannya. Kerana itu, dia pasrah dan beralah.
“Kadang-kadang, kita terpaksa lepaskan apa yang kita sayang. Sebab yang kita sayang-sayangkan sangat itulah menyeksa hati kita.” – Altisya.
Kerana cinta dia rela menikahi gadis yang dibenci oleh ibunya dan terjerat di dalam sebuah perkahwinan rahsia. Hanya selepas bergelar suami isteri, barulah dia sedar bahawa tindakannya itu benar-benar menyeksa dan menghukum perasaannya.
“Kitalah yang akan memburu dan mencipta bahagia itu Isya. Yakinlah dengan cinta abang.” – Mukhriz
“Isya, apa sahaja yang awak hadapi, ingatlah bahawa saya akan selalu bersama awak. Andai awak tak nampak saya di depan mata awak, tolehlah ke belakang, saya akan selalu di sini.” – Hedzri.
Kak Chik menukil:
Perhubungan yang pada permulaannya berteraskan urusniaga antara mereka telah memberi ruang tunas-tunas halus untuk terus tumbuh mewangi di hati mereka. Tetapi Mukhriz dan Altisya sentiasa berhati-hati dengan rahsia hati mereka. Altisya, anak tunggal Puan Arfah terpaksa menggalas tanggungjawab menguruskan Easy Step Resources iaitu perniagaan yang membekalkan buku-buku kepada badan kerajaan yang diwarisi daripada arwah abahnya dan Mukhris pula anak sulung kepada Tuan Balha dan Puan Hamimah yang menjadi tulang belakang dalam perkembangan syarikat keluarga mereka yang menjadi pembekal buku-buku import dari luar negara. Tuan Balha dan Mukhriz banyak membantu Altisya kerana Tuan Balha dan arwah abah Altisya bersahabat baik.
Perhubungan yang pada mulanya nampak jalan lurus rupanya penuh liku-liku berduri yang bakal melukai hati mereka. Pertunangan antara Altisya dan Mukhriz terputus kerana sejak dahulu lagi Puan Hamimah tidak pernah menyukai Altisya kerana terlalu cemburukan Puan Arfah. Dia selalu berprasangka bahawa Tuan Balha menyimpan rasa hati terhadap Puan Arfah.
Selain itu, Mukhriz makin tertekan apabila ibunya meminta dia berkorban untuk menikahi adik sepupunya yang sejak kecil tinggal sebumbung dengan mereka apabila Zalila mengandung akibat perbuatan yang dirasuk kesoronokan antara Zalila dan Talkish, adik bongsu Mukhriz sendiri. Talkish telah menghilangkan diri apabila mendapat tahu Zalila mengandungkan zuriatnya.
Demi untuk memberi kebahagiaan kepada Mukhriz dan Altisya, Tuan Balha telah mendorong mereka untuk bernikah secara rahsia tanpa diketahui oleh Puan Hamimah. Mereka amat berharap perkahwinan tersebut akan sentiasa disinari mentari yang terik terpancar. Tetapi Altisya mula rasa tersepit antara janjinya terhadap diri sendiri untuk bersama Mukhriz sebagai suami isteri. Altisya mula rasa ragu-ragu dengan keputusan yang telah diambil mereka namun dia sudah tidak mampu untuk berpaling lagi kerana sudah terikat dengan Mukhriz. Pemergian mereka ke Frankfurt juga tidak mampu memberi ketenangan untuk keduanya.
Keadaan makin keruh apabila mereka kembali ke tanah air kerana pelbagai masalah lain yang turut menghimpit mereka. Altisya yang sedari awal mencemburui Bienda juga terluka apabila melihat suaminya dan Bienda sungguh rapat dan bergurau senda. Lalu kehadiran Hedzri yang kacak dan sentiasa melayan Altisya dengan cukup berhemah bagaikan meragut sedikit kesetiaan Altisya terhadap suaminya.
Apakah rumahtangga yang mereka bina atas dasar cinta tanpa restu ibu Mukhriz mampu bertahan selamanya? Atau adakah cinta Altisya akan teralih kepada Hedzri yang sentiasa memahami dan mampu membuat Altisya rasa bahagia dan dihargai?
Sudut pandang Kak Chik:
Kisah perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan tanpa restu ibu yang sudah biasa dibaca. Cuma mungkin berbeza dengan sedikit olahan yang tidak terlalu memberangsangkan. Walaupun watak Puan Hamimah yang digarap sebagai yang angkuh dan sombong serta terlalu meninggi diri dengan sikap dia selalu betul mampu buat Kak Chik sakit hati ketika membaca kisah ini.
Namun pada Kak Chik, watak yang buat Kak Chik lebih sakit hati adalah watak Tuan Balha kerana dia bagaikan dengan senang melepaskan sesuatu masalah dalam keluarga. Dia hanya membiarkan isterinya terus terdesak dengan segala masalah yang menghimpit dan mencari jalan penyelesaian sendirian. Dia lebih memikirkan hatinya, yang digambarkan sudah terlalu terluka dengan sikap keras kepala isterinya selama ini. Dia bahagia berulit dengan isteri muda yang lebih memahami tanpa memikirkan perasaan dan hati isterinya.
Watak Mukhriz juga pada Kak Chik terlalu rapuh dan tiada pegangan yang kuat sebagai lelaki dewasa yang berumur 35 tahun. Mukhriz terlalu cepat berprasangka tanpa mahu mendengar penjelasan Altisya. Cara dia menghilangkan diri juga bukanlah satu jalan penyelesaian yang terbaik.
Altisya pula terlalu mahu menjaga hati ibu mertua dan tidak mahu Mukhriz berdosa kerana ingkar dengan kehendak dan perintah Puan Hamimah sedangkan dia terlupa, syurganya sebagai isteri di bawah tapak kaki Mukhriz. Kak Chik sangat tidak suka dengan tindakannya keluar bersama dengan Hedzri sedangkan dia tahu status dirinya. Tujuan dia merahsiakan status dirinya kepada Hedzri juga satu tindakan yang menghukum diri sendiri. Dan yang paling Kak Chik tak suka apabila Altisya membuat keputusan untuk meninggalkan Mukhriz hanya disebabkan sebulan Mukhriz menyepikan diri?
Terlalu egokah mereka dalam merencah perjalanan rumah tangga mereka sehingga perkahwinan yang dibina sering kali tergugat dengan pelbagai masalah yang melanda?
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Jul 1, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment