Jul 19, 2011

NH : Cabaran 50 Buku : (27) Kalau Ada Jodoh

Kalau Ada Jodoh
Penulis : Mimie Afinie
Penerbit: KarnaDya
terbitan 2008

Kepekaan saya:

Kalau Ada Jodoh sebuah cerita komedi romantik. Watak utamanya Marini atau lebih dikenali sebagai Rini telah berkahwin dan melayari rumahtangga bersama Faris di usia yang muda.

Marini mendirikan rumahtangga bersama Faris dalam usia yang terlalu muda. Sejarah percintaan mereka bermula apabila Faris terjumpa beg duit Marini yang tercicir di perhentian bas. Apabila Faris terpandang gambar pada kad pengenalan Marini, Faris terus terjatuh cinta. Kiranya cinta pandang pertama. Faris dapat menghubungi Marini setelah menjumpai nombor telefon rumah Marini di dalam beg duit tersebut. Dari Seremban Marini datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu Faris dan mengambil kembali beg duitnya yang masih berada dalam simpanan Faris.

Setelah mendirikan rumahtangga, Marini melayari hidup sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya, tetapi, perasaannya cukup terdera dengan sikap dan kerenah Faris. Faris terlalu menurut setiap tutur kata ibunya. Rupa-rupanya, Faris adalah anak emak, iaitu, anak kesayangan ibunya. Faris selalu mengetepikan hak Marini sebagai seorang isteri. Sebenarnya, Marini bukanlah menantu pilihan ibu Faris. Ibu Faris telah mempunyai calon isteri untuk Faris sebelum Faris membuat keputusan untuk mengahwini Marini. Di sebabkan Marini bukan menantu pilihan, Marini sentiasa di layan seperti orang gaji oleh ibu mertuanya.

Pelbagai masalah yang datang menimpa Marini setelah menjadi isteri Faris. Marini sentiasa berkecil hati dengan sikap Faris. Faris juga berlaku tidak adil kepada Marini kerana sentiasa mendengar cakap ibunya sehinggakan Marini tidak dibenarkan pulang ke kampung halamannya untuk melawat kedua ibu bapa nya. Faris juga mempunyai sifat cemburu yang terlalu kuat. Cemburu nya kepada Marini tidak bertempat. Sehinggakan setiap pergaulan Marini dengan kawan-kawan di pantaunya. Kebebasan yang sepatutnya dirasai oleh seorang isteri, tidak dapat dirasai oleh Marini. Persahabatan Marini dengan kawan-kawan pejabat juga selalu di salah anggap oleh Faris. Hal-hal yang remeh juga selalu di perbesarkan oleh Faris.

Ibu Faris pula, sentiasa mencari peluang untuk menghasut Faris supaya membenci Marini. Pelbagai perkara yang ibu Faris lakukan untuk menyingkirkan Marini dari hidup Faris. Akhirnya, hasutan demi hasutan yang dilakukan oleh ibu Faris, berjaya membuatkan Faris naik marah pada Marini dan menceraikan Marini atas sebab yang Faris belum siasat kesahihannya. Faris menceraikan Marini semasa Marini pulang ke kampung kerana ibunya meninggal dunia. Sebelum Marini pulang ke kampung, Marini telah cuba menghubungi Faris untuk memaklumkan apa yang terjadi pada ibunya di kampung, tetapi, Faris tidak dapat dihubungi dan Marini telah meninggalkan nota kepada Faris.

Ibu Marini pergi dengan kekecewaan kerana sudah lama tidak menemui anak bongsunya itu. Ayah Marini turut memboikot Marini kerana menyangka Marini sengaja tidak mahu pulang menjengguknya ke kampung. Marini tidak pernah menceritakan masalah yang dihadapinya dengan keluarga Faris kepada ibu dan ayahnya.

Marini tidak betah tinggal lama di rumah ayahnya kerana, ayahnya tidak menegur walaupun sepatah pun. Marini merayu meminta maaf pun, ayahnya tidak memandang langsung ke muka Marini. Ayahnya menjauhi diri darinya.

Akhirnya Marini membawa diri dan menetap bersama kakaknya dan abang iparnya. Karenah Abang ipar Marini yang kelakar dan suka melatah banyak membantu untuk Marini menghilangkan segala tekanan hidupnya. Dengan melayan karenah abang iparnya, Marini sudah mampu tersenyum dan menunjukkan keriangan pada wajahnya.

Di rumah kakaknya juga, Marini telah berkenalan dengan anak jiran sebelah rumah yang bernama Abu suffian atau nama manjanya Pyan. Pertemuan Marini dengan Pyan telah menambahkan keceriaan dalam dirinya. Pada mulanya, Pyan kurang senang dengan Marini tetapi, lama kelamaan, Pyan mula suka pada janda muda. Pyan selalu berangan-angan ingin memiliki sekeping hati milik Marini. Emak Pyan juga terlalu berkenankan Marini untuk menjadikan menantu.

Marini pula, mempunyai hati yang cukup keras setelah di ceraikan oleh Faris. Marini tidak mahu lagi jatuh cinta pada mana-mana lelaki. Marini hanya menganggap Pyan sebagai seorang sahabat. Persahabatan Marini dan Pyan penuh dengan keceriaan kerana Pyan seorang yang kelakar dan manja. Banyak peristiwa-peristiwa lucu yang terjadi antara Marini dan Pyan sepanjang mereka berkawan.

Akhirnya, Pyan tidak dapat menanggung perasaan cintanya lagi dan meluahkan apa yang dipendamnya kepada Marini. Marini tidak dapat menerima dan memarahi Pyan kerana telah merosakkan persabahatan yang telah terjalin antara mereka. Sebenarnya, Marini keliru dengan perasaannya sendiri disebabkan dalam masa yang sama, bekas suaminya Faris hadir untuk menagih dan merayu kembali pada Marini.

Lama-kelamaan, Marini yakin pada perasaanya sendiri dan dia yakin, dia tidak akan menoleh ke belakang. Hidup mesti di teruskan. Marini telah menerima Pyan dalam hidupnya. Mereka telah bersatu dengan restu semua ahli keluarga.

Perkahwinan yang tidak direstui oleh orang tua, semestinya susah untuk mendapatkan kebahgiaan. Ketabahan Marini dalam menempuh liku-liku kehidupan sebagai seorang menantu yang di benci oleh ibu mertua membuatkan saya merasa cukup insaf. Setiap manusia tidak mempunyai sikap yang sama. Hati manusia juga sering berubah-ubah. Cabaran yang di hadapi oleh Marini membuatkannya semakin matang dan tabah. Moga ramai lagi wanita di luar sana sekuat Marini.

---
Noor Hekmat

0 comments: