Tajuk : Nurul Laila Suria
Penulis: Fatihah Pauzihal
Penerbit: Jemari Seni ( Jun 2011 )
539 Mukasurat
Harga : Rm21 (SM)/ RM24 (SS)
Buah tangan dari Jemari Seni untuk Cabaran 50 Buku bulan Mei, saya pegang dengan perasaan yang sangat teruja. Bukan saja saya yang turut merasa gembira, malah rakan-rakan pembaca novel yang lain turut tidak sabar untuk sama membelek novel ini.Terima kasih kepada Jemari Seni.
Disebabkan kekangan masa, saya serahkan kepada dua rakan pembaca novel untuk membaca novel ini dahulu. Berdebar juga ketika menunggu reaksi mereka berdua selepas membaca novel ini. Apa komen mereka?
a) Seawal cerita penulis telah berjaya menarik minat pembaca untuk meneruskan bacaan.
b) Pengarapan jalan cerita yang unik dan menarik.
c) Penulis berjaya mewujudkan unsur suspen sebelum penyelesaian konflik antara watak.
d) Akan dapatkan satu untuk koleksi sendiri.
Disebabkan komen-komen positif mereka, saya pun tidak sabar untuk mengetahui kisah Nurul Laila Suria. Selepas selesai membaca novel ini, memang saya akui bahawa novel ini memang mempunyai kelainan jalan cerita. Biasanya kita membaca tiga ceritera berbeza dalam satu novel, dalam novel Nurul Laila Suria, kita seolah-olah disajikan dengan tiga ceritera dalam satu cerita. Kelainannya adalah 3 kisah ini berkongsi titik permulaan dan pengakhiran yang sama. Walaupun permulaan cerita ini merupakan titik pertemuan semula antara Nurul, Laila dan Suria, tiga sahabat yang pernah akrab suatu ketika dulu. Pada titik pertemuan itu juga masa lalu mereka diimbas satu persatu lantas membawa pembaca seolah-olah membaca tiga ceritera yang berlainan. Sehinggalah sampai ke bab-bab akhir, barulah kisah mereka bersatu semula dan saling berkait antara satu sama lain. Sememangnya, teknik imbas semula yang berulang-ulang ( saya pun tidak pasti apakah istilah yang sesuai digunakan untuk teknik sebegini) yang digunakan oleh memang berkesan dan menarik.
Pada bab-bab akhir itu jugalah, unsur-unsur suspen begitu melekat sehingga saya sendiri merasakan debar yang bukan sedikit. Memang saya elakkan diri membaca mukasurat terakhir sebelum membaca novel ini kerana saya tidak mahu membunuh rasa suspen yang menanti. Cara penulis mengulas satu-satu tempat juga begitu teliti sehingga saya seolah-olah turut berada bersama-sama watak ( rasa ini memang dikongsi bersama rakan yang telah membaca novel ini. Mungkin juga penulis memang pernah sampai ke tempat-tempat yang dinyatakan dalam novel, itulah yang boleh kami andaikan ). Namun saya akan lebih gembira sekiranya kisah Nurul tidak berakhir dengan Ustaz Hakim.
Antara ketiga-tiga watak, Nurul, Laila dan Suria, saya sesungguhnya sangat bersimpati dengan nasib Laila. Dari awal cerita, dirinya sentiasa diduga dengan pelbagai dugaan. Ada lagikah ibu bapa yang sanggup mengguna-gunakan anak sendiri untuk kepentingan mereka sendiri? Penulis juga menampilkan persamaan antara Nurul, Laila dan Suria, itu ketiga-tiganya seorang ibu. Walaupun mungkin mereka sekadar ibu angkat ataupun menjadi ibu tanpa rela kerana perbuatan tanpa perikemanusian orang lain.Namun yang pasti cara penulis menghidupkan naluri seorang ibu dalam setiap watak memang menarik.
Apa yang pasti, penyampaian cerita Nurul, Laila Suria memang menarik dan mempunyai kelainan. Banyak lagi yang menarik di dalam novel Nurul, Laila, Suria yang tidak dapat dikongsikan disini. Biarlah bakal pembaca yang lain menyelami sendiri kisah Nurul, Laila, Suria ini.
---
Anita Sang
Jul 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sebenarnya kisah Nurul tidak berakhir dengan Ustaz Hakim. Atau maksud Anita, lebih suka jika Nurul berakhir dengan Ustaz Hakim?
Oo..ye baru tersedar ada kesilapan. Pembetulan.. saya lebih suka kiranya kisah Nurul berakhir dengan Ustaz Hakim. Terima kasih kepada wan Empok.. :)
Post a Comment