Jul 18, 2011

FZ : Cabaran 50 buku : (2) Rindu di Awan Biru


Tajuk buku : Rindu di Awan Biru
Penulis : Meen Zulaika
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 518 m/s

Sinopsis (Kulit Belakang):

JANGANKAN berkahwin, bercinta pun Hanan tidak ingin. Menjadi seorang isteri tiada di dalam kamus hidupnya. Pengalaman pahit ibunya dimadukan membuatkan dia jadi fobia. Baginya, lelaki hanya tahu berpoligami, tapi tidak tahu menjadi suami.

Pertemuan tanpa disangka di awan biru dengan Kapten Akmal Hakim sewaktu ke Melbourne mengubah persepsinya terhadap lelaki. Bernikah di Masjid Biru dan berbulan madu di Istanbul bagaikan suatu mimpi bagi gadis berkulit mulus itu. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi takdir menentukan dia bukan setakat menjadi seorang isteri, bahkan tanpa rela turut terbabit sama ke dalam kancah poligami.

Akibat difitnah, Hanan diceraikan dengan talak tiga. Dalam pilu, dia diburu rindu. Dalam duka, dia mengharapkan bahagia. Sanggupkah dia bercina buta untuk kembali ke pangkuan Akmal, sedangkan kehadiran Ridz mula membawa cahaya di dalam hidupnya?

Dari kaca mataku:

Jalan cerita yang menarik. Novel ini seakan-akan membawa saya merantau ke benua Australia dan Turki. Itu antara salah satu sebab mengapa saya membeli novel ini.

Novel ini mengisahkan Hanani (Hanan), seorang pemandu pelancong tanpa diduga telah bertemu dengan Kapten Akmal Hakim,seorang juruterbang. Pertemuan mereka di Australia telah menimbulkan bibit-bibit percintaan antara Hanan dengan Akmal. Namun begitu, Hanan cuba menidakkan perasaan cinta yang mula bercambah kerana kisah silam ibunya.

Bak kata orang, kalau jodoh tak ke mana. Akhirnya, Masjid Biru di Istanbul menjadi saksi pernikahan mereka berdua. Malangnya, pada suatu hari, Hanan dikejutkan dengan berita yang dia adalah isteri kedua kepada Akmal. Akmal mengahwini Hanan dengan hasrat untuk mendapat zuriat setelah isteri pertamanya tidak mahu memberikannya zuriat atas alasan mahu menjaga badan. Oleh kerana Hanan sangat mencintai Akmal, dia meneruskan perkahwinan mereka walaupun dia telah diduakan.

Angkara salah sangka, Hanan diceraikan dengan talak tiga. Hanan cuba bangkit dari peristiwa perit itu dan dalam masa yang Ridz datang menghulurkan salam perkenalan. Selepas mengetahui perkara sebenarnya, Akmal cuba untuk kembali bersama Hanan dengan merancang untuk mencari orang yang sanggup ber'cina buta' dengan Hanan. Lalu Shah yang kesempitan wang menjadi mangsa perancangan Akmal. Untuk mendapatkan Hanan semula. Dapatkah Akmal kembali kepada Hanan? Semuanya akan terjawab apabila menbaca novel ini.

Bagi saya, ada bahagian dalam novel ini tidak berjaya digarap dengan baik dan ada ketikanya saya terpaksa membaca balik bahagian yang sebelumnya untuk memahami jalan cerita tersebut. Namun begitu, jalan ceritanya juga tidak dijangka menyebabkan saya tetap membacanya dari kulit sampai ke kulit. Novel ini juga menambahkan pengetahuan saya tentang solat di dalam kapal terbang. Bahagian yang terkesan dengan saya adalah kehidupan Hanan selepas mengetahui bahawa dirinya adalah isteri kedua. Dia terpaksa memendam perasaan kerana Akmal melebihkan isterinya yang pertama berbanding dia. Tambahan pula, perkahwinan Hanan dan Akmal tidak diketahui oleh keluarga Akmal. Makin susahlah kehidupan Hanan selepas berpoligami itu. Perkahwinan Hanan terpaksa disembunyikan. Walau bagaimanapun, yang paling penting, keindahan benua Australia dan Turki yang digarap oleh penulis sangat menarik hati saya menyebabkan saya ingin untuk ke sana suatu hari nanti. InsyaAllah.


-fisya zulkefli-

0 comments: