Ranting Cinta Si Plato
Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara
terbitan 2010
Ranting cinta si Plato adalah hasil garapan yang cukup indah dari Norhayati Berahim. Mengisahkan kehidupan seorang doktor muda yang mencari rezeki di rantauan. Doktor muda tersebut bernama Muaz.
Kisah ini juga terselit juga tentang peluang kedua dalam percintaan. Pertemuan Muaz dengan Sofea membenihkan rasa cinta di hati masing-masing. Ketika pertemuan tersebut, Sofea masih bergelar seorang pelajar manakala Muaz sudah bekerja di sebuah hospital dimana tempat Sofea menjalankan latihan praktikalnya. Pertemuan Muaz dengan Sofea, telah menyebabkan perasaan dan jiwa Muaz mengalami satu perubahan yang sukar digambarkan oleh mata kasar.
Muaz berasa sangat teruja setiap kali dapat meluangkan masa bersama Sofea. Mereka selalu berkongsi cerita tentang kerenah pesakit, masalah-masalah pembelajaran yang di hadapi oleh Sofea dan mereka sering makan tengahari bersama. Kehadiran Sofea dalam hidup Muaz membuatkan Muaz berasa sangat terhibur kerana Muaz sendiri sudah lama menetap di negara orang. Muaz terlalu merinduinya adiknya, Dian.
Setelah tamat belajar, Sofea kembali ke tanah air. Setibanya di Malaysia, Sofea yang sememangnya telah mempunyai teman lelaki yang bernmama Alfian. Alfian menagih janji, iaitu mengambil Sofea sebagai isteri. Sofea dan Alfian telah lama menyulam kasih. Setelah perkahwinan terlaksana, barulah Sofea sedar, antaranya dengan Alfian, terdapat terlalu banyak ketidakserasian. Sentiasa saja berlaku perkara-perkara yang menyakitkan hati masing-masing. Sofea banyak menyimpan syak wasangka terhadap Alfian kerana Alfian lebih mementingkan kerjayanya daripada kebajikan Sofea sebagai isterinya. Setiap hari hujung minggu pun, Alfian selalu keluar bekerja. Bermacam-macam perkara yang bukan-bukan telah bermain di fikiran Sofea. Sofea mengesyaki Alfian berlaku tidak jujur di belakangnya, namun, Sofea hanya pendamkan seorang diri masalah yang di hadapinya.
Kerana kesibukan kerja yang melampau, Alfian jarang meluangkan masa bersama Sofea. Akhirnya, kecekalan hati Sofea diuji dengan ujian yang cukup berat. Ketika Sofea masih mengharapkan belaian dan layanan yang sewajarnya dari seorang lelaki yang bergelar suami, Sofea ditinggalkan oleh lelaki tersebut untuk selama-lamanya. Alfian terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di luar daerah.
Sofea terlalu kecewa dengan kehilangan Alfian. Sofea belum mengecapi kebahagian bergelar seorang isteri. Sofea betul-betul rasa kehilangan. Setiap saat, Sofea akan meratapi kemergian Alfian. Sofea seperti tidak dapat menerima takdir yang telah ditentukan padanya. Sofea terasa kehilangan yang teramat sangat, sememangnya Sofea tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah kehilangan Alfian buat selama-lamanya. Setiap petang, Sofia akan menziarahi kubur Alfian. Menangis dan meratap di sisi batu nisan milik Alfian.
Muaz juga telah kembali ke Malaysia setelah lama menetap di luar negara. Kerinduannya pada adik kesayangan tidak dapat dibendung lagi. Selain merindui adiknya, Dian, Muaz juga bertekad untuk mencari satu nama yang sentiasa terlintas di fikirannya. Tapi, bagaimana untuk menemui tuan empunya nama tersebut kerana Muaz tidak mempunyai apa-apa info tentangnya.
Dian, telah memilih untuk berumahtangga dalam usia yang muda. Muaz menentang keras kehendak adiknya itu. Dian mahu berkahwin dengan Kyrel, iaitu salah seorang pensyarah di tempat dia belajar. Walaupun mendapat tentangan hebat dari Muaz, Dian tetap bertekad mahu berkahwin dengan Kyrel. Pelbagai cara Dian lakukan untuk menyakinkan Muaz tentang perkahwinan yang bakal dilangsungkan bersama Kyrel. Melihat pada kesungguh yang ditunjukkan oleh Dian, akhirnya Muaz terpaksa mengalah kerana turut mendapat sokongan persetujuan perkahwinan Dian oleh Mak Uda nya. Setelah Dian selamat menjadi isteri kepada Kyrel, Mak Udanya sibuk menyuruh Muaz berumahtangga juga. Bermacam-macam helah Muaz berikan pada Mak Uda kerana Muaz masih mengharapkan kehadiran Sofea untuk menyinari hidupnya.
Kesian Dian, rupanya harapan untuk mengecapi rumahtangga yang bahagia bersama kekasih hati tidak kesampaian kerana suami Dian telah berubah laku setelah beberapa bulan memasuki alam perkahwinan. Terlalu banyak keperitan yang dihadiahkan oleh Kyrel kepada Dian. Hidup Dian tidak pernah kenal erti bahagia setelah bergelas isteri Kyrel. Kyrel hidup dengan penuh kepuraan. Kyrel berlaku curang dibelakang Dian. Disebabkan kesengsaraan hidup yang di tanggung, Dian menemui ajal pada usia yang terlalu muda. Muaz menerima dengan redha kemergian adik tersayangnya.
Sofea pula, setiap petang akan menziarahi pusara Alfian. Mungkin takdir telah tertulis, menemukan kembali Sofea dan Muaz. Sofea menyedari, ada insan lain yang baru menzirahi pusara berhampiran pusara Alfian. Muaz juga sedang menyedekahkan ayat-ayat suci di pusara adiknya. Apabila Muaz terpandangkan Sofea yang berada tidak jauh dari tempatnya, Muaz seperti mengenali wanita tersebut.
Pertemuan kedua yang tidak disengajakan antara Muaz dan Sofea umpama satu anugerah yang paling berharga dalam hidup Muaz. Muaz terlalu mengharapkan kehadiran Sofea untuk menyinari kehidupan yang dan Muaz terlalu merindui setiap celoteh Sofea.
Akhirnya Muaz telah kembali menjadi pendengar setia untuk semua masalah yang melanda hidup Sofea. Hampir 5 tahun mereka terpisah. Jangka masa yang agak lama itu, tidak sedikit pun melunturkan perasan yang telah lama bercambah di hati Muaz untuk Sofea. Rupa-rupanya, terlalu banyak peristiwa tragis yang telah Alfian tinggalkan untuk Sofea. Setelah pemergiannya, satu persatu kebenaran yang cukup mengguris hati wanita Sofea muncul di hadapan Sofea. Nasib baik, dengan kehadiran Muaz, Sofia berjaya menempuhi segala-galanya dengan tenang. Akhirnya, Muaz berjaya menyunting Sofea untuk menjadi suri di hatinya buat selama-lamanya.
Akhirnya, Muaz berjaya menemui ranting cintanya yang telah lama di cari. Pada awalnya Sofea tidak memberi respon yang positif pada Muaz. Bermacam-macam cara yang Muaz lakukan untuk memikat hati Sofea. Kebahagian berjaya menjadi milik Muaz dan Sofea.
Ranting Cinta si Plato adalah satu falsafah tentang cinta. Falsafah itu dihuraikan dengan begitu teliti. Jalan penceritaan yang menarik. Watak utama yang terlalu baik. terdapat beberapa watak yang terlalu kejam. Saya harap dengan sedikit ulasan tentang Ranting Cinta Si Plato ini dapat menarik minat pembaca-pembaca novel.
---
Noor Hekmat
Jul 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment