Halaman : 262 + 291
Tahun : Mei 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM21.00 (Sem. M'sia)/RM24.00 (Sabah/Sarawak)
Plot/Jalan Cerita
Contengan Jalanan, kisah tentang perjalanan mencari diri - soul searching. Mencari arah tuju hidup. Membongkar makna cinta hakiki pada Yang Satu.
Contengan Jalanan sebuah kisah yang mempunyai dua sudut pandangan daripada dua 'pencerita' yang berbeza. Fend dan K2 (baca: K-Square). Mereka dua sahabat dari kecil, membesar dan menimba ilmu di tempat yang sama walaupun berlainan kursus.
Fend, K2, Pa'an, Azad dan Erdi, sekumpulan anak muda pelajar Limkokwing yang berlainan kreativiti dan kemahiran. Fend budak fotografi, K2 dan Pa'an budak Creative Studies, Azad Architect in the making dan Erdi Graphic Design & Ilustration. Namun baik aerosol art, graphic design, kamera mahupun model semuanya disatukan oleh tali gitar dan drumstick dalam Creepy Hues (nama band). Dalam muzik.
I - Fend
Fend; Fendy; Affendy, anak muda kelahiran Kuala Perlis. Pelajar jurusan fotografi merangkap freelance photographer di Limkokwing. Dalam hidupnya cuma ada lima benda yang bermakna; kamera, gitar, Dell, HTC & iPod. Dia cintakan fotografi. Dia gilakan muzik. Hidupnya hanyalah untuk fotografi dan muzik. Dia anak muda yang tidak banyak cakap tapi adakalanya soalan-soalan random yang diutarakan bisa membuatkan sepupu serta sahabatnya 'sentap'.
Dalam keghairahannya mengejar cita-cita, dalam kegilaannya terhadap muzik dan fotografi, dia masih tercari-cari hala tuju dan apa makna hidupnya di dunia ini. Pertemuan yang tanpa sengaja dengan Lia; Amalia, dengan hanya satu ungkapan kata, meninggalkan satu tanda dalam benak Fend. 'The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh' benar-benar membuatkan Fend berfikir. Persoalan demi persoalan yang menerjah dibenaknya membawa dia backpacking ke Australia bersama abang sepupunya Chad; Irsyad (setelah pertanyaan yang sama dia utarakan pada Chad tentang ungkapan kata tersebut).
Bermusafir di bumi Australia di bulan Ramadhan benar-benar menguji seorang Fend. Dengan ala-ala masjid-hoping mereka mencari diri. Mengenali Tok 'Abdul Qadir dan anaknya Imam Zakariyya, Brother Ade, Bapak Tono juga Akmal pelajar Malaysia di UNSW (University of New South Wales) telah membuka mata Fend akan makna sebenar hidup, selain mendekatkannya pada DIA yang satu. Perjalanan ini telah mengubah seorang Fend the Fendy Fender kepada seorang Affendy yang baru.
II - K2
K2 (baca: K-Square); Ku Kamaruzzaman, sahabat Fend. Sama-sama belajar di Limkokwing tetapi dalam bidang Creative Studies. Segala benda dalam hidupnya berpaksikan seni. Semua alat muzik bertali dia mahir memainkannya. Dengan prinsip there's no such thing as 'wrong' in arts menjadikan dia lelaki 'gila' pada teman-temannya.
Kematian Chad sepupu Fend yang juga merupakan sahabatnya telah mengubah Fend menjadi sangat pendiam. Perubahan drastik Fend ini telah membuatkan K2 hilang punca. Benarkah kematian Chad yang menyebabkan Fend menggantung Fendernya? Atau ada 'benda' lain yang telah berlaku pada Fend ketika mereka -Fend dan Chad- berkelana ke Australia dulu?
Pelawaan Fend untuk ke Australia dituruti demi menyelami dan memahami hati Fend selepas kematian Chad. Menjejaki lorong-lorong kenangan Fend bersama Chad di bumi Koala tidak mampu membuka hijab di hati Fend. Dia masih belum ‘kenal’ Fend yang baru.
Benarlah hati itu Allah yang pegang. Hidayah dan petunjuk itu hanya Allah yang beri. Benda dan perkara yang sama tidak semestinya akan memberi kesan yang sama juga kepada penerima yang berbeza. Perubahan yang sama Fend cuba tunjukkan pada K2 tapi sayangnya jalan yang dilaluinya bersama Chad tidak sama dengan lorong yang dilaluinya bersama K2.
Namun perubahan Fend sedikit sebanyak membekas di hati K2. Dia sudah hilang seorang kawan (Chad) dan dia tak ingin hilang seorang lagi (Fend). Dia bergelandangan ke bumi Indonesia untuk mencari jawapan kepada perubahan yang berlaku pada Fend. Mencari erti hidup yang beda!
Berbekalkan sketchbook hitam pemberian Fend sebagai peneman, dia bermusafir ke tanah asal Hikayat Pendawa Lima ini. Tanah Jawa. Tapi dia bukan Fend yang berhati lembut yang mudah tersentuh, mudah dilentur, mudah dibentuk kembali. Hatinya sekeras batu. Namun batu yang keras pun boleh pecah dan keluarkan air. Apatah lagi hati manusia. Hati yang dipegang oleh Allah bisa jadi lembut dan cair dengan izin-Nya. Dengan rahmat-Nya.
Dan dengan pertolongan Indra Sulaksana, lelaki kristian yang menjadi tour guide selama dia berada di Indonesia, dia temui dirinya, dia kembali sujud kepada-Nya. Dia kembali kepada Tuhan Yang satu. Benarlah. Hati itu Allah yang pegang.
Sekacip Pinang
Kalau tanya pada saya apa istimewanya karya Hlovate kali ini? Jawapan saya, anda kena baca dan nilaikan sendiri. Kerana setiap orang punya pendapat dan pandangan mereka yang tersendiri. Mungkin tidak semua orang suka cara dan gaya Hlovate berkarya, tapi pada saya saya sangat sukakannya. Secara jujurnya saya banyak belajar daripada tulisan-tulisan Hlovate.
Contengan Jalanan. Contengan yang memberi pelbagai rasa dijiwa. Contengan ini bukan sekadar tentang kisah Fend dan K2. Ini kisah tentang bagaimana mereka membawa saya sebagai pembaca melihat hidup ini dari kaca mata anak-anak muda yang gemarkan seni dan muzik. Bagaimana mereka berubah dan bagaimana perubahan mereka membuatkan saya sebagai pembaca muhasabah diri.
Membaca naskhah ini, banyak perkara baru yang saya pelajari. Saya yang tidak berapa tahu tentang muzik 'heavy rock' (ada ke istilah heavy rock? heavy metal ada laa hehehe), saya google, saya cari di youtube setiap lagu yang didengar oleh ‘Fend & K2’ semata-mata untuk menghayati naskhah ini. Bertemankan lagu-lagu dalam Contengan Jalanan sebagai latar, saya membaca naskhah ini untuk kali yang kedua. Sesungguhnya dalam ritma lagu-lagu 'keras' ada pengajaran yang boleh kita ambil iktibar seperti lagu One oleh Metallica.
Sejujurnya menerusi Contengan Jalanan inilah saya tahu tentang lagu One dan kisah di sebalik lagu tersebut. Kisah yang benar-benar menginsafkan. Apabila segala nikmat yang Allah kurniakan ditarik balik kesemuanya tidak tersisa. Nikmat penglihatan, nikmat percakapan, nikmat pendengaran, nikmat kedua-dua belah kaki dan tangan semuanya ditarik balik bayangkan bagaimana jiwa itu bisa hidup? Subhanallah... Alhamdulillah bersyukurnya saya kerana Dia masih sudi meminjamkan nikmat dan rahmat-Nya pada saya. Terima kasih Hlovate kerana mengingatkan saya yang kadang-kala leka dan alpa ini.
Kata-kata di helaian akhir setiap bab juga sangat menarik untuk renungan bersama. Penuh pengertian agar kita sebagai pembaca berfikir dan bermuhasabah diri.
Walaupun pada awalnya naskhah ini agak sedikit 'berat' untuk saya faham. Ya, muzik underground, muzik indie bukan dalam lingkungan pengetahuan saya. Jadi saya agak perlahan untuk memahami dan 'masuk' ke dalam jiwa Fend dan K2. Walau bagaimanapun cerita bertambah menarik dan penuh pengisian apabila kisah Fend dan Chad berkelana di Australia bermula. Begitu juga apabila kisah K2 bergelandangan ke Indonesia benar-benar membuatkan saya terpaku. Persoalan tentang erti hidup yang sebenar walau di mana sahaja mereka berada, di bumi Australia mahupun di tanah Indonesia benar-benar membuatkan saya insaf! Moga saya dan kalian semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat hidayah dan rahmat Allah.
Biarlah orang kata buku ini buku untuk orang muda, tapi saya yang tak berapa muda inipun masih boleh baca. Adakalanya apa yang kita baca itu perkara kedua, tapi apa yang lebih penting adalah apa yang kita dapat daripada pembacaan kita!
Bacalah, moga ianya bermanfaat untuk anda juga.
0 comments:
Post a Comment