Jul 12, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (54) Bening Merah Jingga

Penulis: Nazurah Aishah
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN978-967-5118-63-0
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 513
Cetakan 1 – Julai 2011


Blurb:

Astaghfirullah, selama ini abang anggap budak itu anak luar nikah ke?” Hajah Maisarah berhenti mengetil pucuk kesum dan berpaling ke arah suaminya Haji Idris.
“Habis itu kalau bukan anak luar nikah, nak panggil anak apa? Anak haram?”

Benarkah Ellina dilahirkan tanpa ayah?
Gadis itu menghadapi pelbagai dugaan dalam hidupnya. Setiap detik nafas cintanya didatangi pelbagai cabaran hanya kerana status dirinya. Ehsanlah sentiasa menyokong dan membelanya tiap kali Elllina dihina dan dicerca.

Jadi dengan siapakah lagi Elly akan bahagia kalau bukan dengan Ehsan, mama?

Tetapi… bagaimana mereka dapat bersama jika ayah Ehsan bukan setakat menbencinya, malah memusuhinya terus-menerus. Apakah masih ada ruang dalam hatinya untuk lelaki lain? Wajarkah diberi sedikit hatinya yang sudah terluka itu pada Hannan Fakhri untuk dirawat sampai sembuh atau berikan sahaja pada Shahrul yang sudah berjanji mahu susah senang bersama?

Andai benar cinta
cintailah dia dengan hatimu yang tulus.
Jika tidak janganlah biarkan dia menantimu
dengan sia-sia!

Kak Chik menukil:

Ini kisah Ellina Azura Abdullah; anak gadis yang tidak pernah tahu sejarah kejadiannya sehingga dia sering terluka dengan pelbagai tohmahan dan kata keji. Tidak mengapa kalau orang luar yang berpandangan begitu tetapi kalau orang yang dianggap ayah sendiri tidak pernah berhenti memandang keji, kuatkah dia untuk terus bertahan?

Kisah cinta Ellina-Ehsan yang sedari awal ditentang hebat oleh Haji Idris kerana status Ellina walaupun Hajah Maisarah memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memberi keputusan. Hajah Maisarah tidak berdaya untuk membuat keputusan kalau suaminya telah menutup segala peluang untuk Ehsan-Ellina untuk bersatu walaupun Ehsan telah berusaha memujuk.

Lalu tindakan Ellina menjauhkan diri dari Ehsan sebagai jalan penyelesaian menyebabkan Ehsan jauh hati. Pencarian Ellina asal usul ayahnya juga menemui jalan buntu apabila lelaki yang disanjung masyarakat itu tidak pernah mahu mengakui bahawa Ellina itu zuriatnya.

Petunangan Ehsan dengan gadis yang lebih sopan meremukkan hati Ellina. Diakah yang curang atau Ehsan yang tidak setia? Kehadiran Shahrul juga menyebabkan Ehsan sakit hati?

Lalu manakah jalan yang akan dipilih Ellina, antara Ehsan, Shahrul atau Hannan Fakhri? Yang pasti jodoh pertemuan itu aturan Allah selepas kita berusaha yang terbaik.

Sudut pandang Kak Chik:

Karya yang sarat dengan air mata. Menyusuri perjalanan hidup Ellina Azura sungguh tidak termampu untuk memikul beban perasaan. Antara kasih kepada mama yang sedari kecil yang dianggap sebagai ibu, cinta kepada Ehsan yang menjadi pelindungnya sejak bertahun dulu dan rasa hormat kepada ayah yang telah memberi dia tempat teduhan dan makan minum, Ellina lebih sanggup kehilangan cinta Ehsan. Walaupun hatinya terhiris halus apabila melihat Ehsan berdamping dengan wanita lain yang pada hemah ayah lebih sopan dan tahu asal usul.

Keadaan Ellina yang kadangkala keliru antara cinta kepada Ehsan juga menjadi plot utama walaupun banyak lagi plot-plot yang yang memaku mata Kak Chik untuk membaca ke baris ayat yang terakhir.

Cara perkenalan Ellina dan Shahrul juga antara kriteria utama namun pada Kak Chik karektor Shahrul tidak terlalu kuat untuk menakluk hati Ellina. Apatah lagi dengan ‘penolakan’ ayah Shahrul pada kali pertama bertemu Ellina. Namun pada Kak Chik, Ellina tidak sepatutnya terlalu mempercayai Shahrul walaupun lelaki itu banyak membantu ketika dia mencari maklumat tentang ayahnya. Sikap Ellina yang terlalu pemurah dan senang tertipu dengan helah Shahrul sedikit mencalar hati Kak Chik kerana pada Kak Chik lelaki sebegitu memang bukan lelaki yang baik.

Antara yang menarik hati Kak Chik sayu ialah Puan Maisarah. Bagaimana dia tersepit antara kebahagian anak-anak dan kekerasan hati Haji Idris. Namun dia cuba untuk tidak menidakkan larangan suaminya kerana hormat walaupun hatinya turut tersiat luka. Kadangkala Kak Chik merasakan Hajah Maisarah meletak Ehsan ke tepi demi menjaga hati Ellina. Kesian pula pada Ehsan!

Kekerasan Haji Idris menolak sedari awal kehadiran Ellina dalam keluarganya juga agak keras sehingga dia tidak mengizinkan Hajah Maisarah untuk menyusu Ellina. Walaupun Haji Idris tinggi ilmunya tetapi status Ellina bagaikan barah yang mahu dihindar daripada mencemari waris zuriatnya.

Yang masih menjadi tanda tanya pada Kak Chik, kenapa Ehsan tega menerima Aqila menjadi tunangannya? Hal ini tidak digarap teliti oleh NA. Mungkin ia hanya kejadian sampingan dan hanya sedikit NA menggarap rasa itu dari hati Ehsan berbanding Ellina.

Karya kali ini juga menidakkan cinta pertama. Namun kadangkal pengorbanan itu perlu untuk sesuatu yang lebih baik untuk orang yang kita sayang kerana bahagia itu tidak semestinya bersatu!

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

2 comments:

Cik Sue said...

Assalam Kak Chik..
best yea novel NA nie..Saya dah pi carik cite nie x still x jumpa lagi kat kedai buku, x sabar nak baca uhuhuhu

aimie_afifah said...

Waalaikummussalam Cik Sue,
yeaaaaaaaaaa...memang best..x rugi beli..Kak Chik hari tu minta tolong kawan beli di pesta buku selangor..kalau nk tunggu kedai buku kat pulau ni memang lambat la gayanya...

psstttttt...sedang marathon novel NA..tinggal Melur Bunga Ivy aje yg blm khatam...