Dec 20, 2011

KK: cabaran 50 buku: (43) Dia Yang Kunikahi

Tajuk: Dia Yang Kunikahi
Penulis: Iqbal Syarie
Terbitan: Jemari Seni sdn bhd
ISBN: 978-967-0201-18-4
Harga- RM 19.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata kulit buku:

Mesti gadis itu hebat sampai berjaya menawan hati ayah ibu. Tapi... aku nak 'produk siap'. Jika diberi pilihan, Adam Johari mahu gadis yang sudah ditarbiahkan, sudah alim, dan sudah siap dibimbing. Logiknya, akan memudahkan dan pasti membantunya dalam mewujudkan keluarga dakwah dia impi-impi selama ini.

"Ana impikan produk siap, ustaz. Jika diizinkan untuk memberi contoh, ana maksudkan ustaz sendiri. Ana mahu isteri yang seperti Ustazah Asyiqin. Ustaz faham maksud ana?" Itulah yang dia katakan pada murabbinya.

"Ana faham maksud enta. Enta mahukan isteri yang sudah pun berdiri di medan juang, bukannya sedang baru mahu bersiap. Kan?"

Adam Johari mengangguk.

"Baiklah. Jika enta diberi pilihan untuk memiliki sebuah Ferrari mewah dengan sebuah van terpakai, yang mana enta pilih?" tanya Ustaz Mujib.

Johari terdiam sebentar. "Sudah tentulah Ferrari mewah!"

"Sebab?"

* * *

Keindahan bahasa bukan terletak pada mahalnya sijil, tapi terletak pada penghayatan dan pertuturan si tulang bangsa. Begitulah juga dengan keindahan garapan cerita. IQBAL SYARIE tidak pernah terlibat dalam mana-mana bidang penulisan. Jauh sekali dengan kursus atau mana-mana bengkel penulisan. Anak muda yang sedang mengikuti kursus penyelenggaraan kapal terbang dengan syarikat penerbangan Malaysian Airlines Systems (MAS) sedang merubah arus – menulis dengan satu misi: DaBOM- Dakwah Buat Orang Muda!

Kata KK:

Komen saya, pandangan pertama saya berbelah bahagi untuk mengambil buku untuk dijadikan sebahagian koleksi kerana saya ragu-ragu dengan kata kulit buku tetapi ketika terasa ‘kaya’ lalu saya jadikan ia sebagai sebahagian koleksi kami.

Jalan ceritanya pada awalnya menarik Cuma watak Johari dengan latarbelakang keluarganya yang sempurna dan mewah itu secara logiknya sukar untuk saya terima. ada, memang ada tetapi apa yang digambarkan terlalu indah dan sempurna sedangkan jalan dakwah itu bukan senang dan mudah.

Muncul watak Aishah memang menarik. Aishah, teman Johari dari kecil. Bagaimana dia terpengaruh dengan suasana yang dibesarkan mempengaruhi cara hidupnya. Setelah dia bertemu Johari dan pengalaman hidup, ia titik permulaan bagaimana dia berubah.

Nasuha, juga sebahagian dalam hidup Johari sebelum dia berubah. Perasaannya sukanya pada Nasuha juga tidak berubah masih sama.

Dua-dua jadi pilihan Johari. Namun siapa dia yang kunikahi? DYK ada jawapannya.

Ulasan saya, mungkin IS kata kerana saya perempuan, lalu saya emosional. Tapi penamatnya bagi bukanlah yang terbaik. Apa yang boleh saya katakan ia seperti dibayangi dengan Ayat-Ayat Cinta. Itu yang menerpa diminda setelah saya menutup kulit buku ini.

Mungkin kerana harapan saya terlalu tinggi dengan tajuk buku ini. apa yang saya harapkan buku ini dapat menghadam maksud dia yang kunikahi. Erti perkahwinan sendiri. Bukan poligami. Tujuan Johari mengahwini Aishah kerana dakwahnya. Tetapi apabila dia juga memilih Nasuha. Saya merasakan Johari memilih nasuha kerana nafsu. Nafsu kerana dia masih belum melepaskan cinta pada Nasuha.

Hasil cakap-cakap dengan orang yang membaca buku ini juga, sebab Johari untuk menerima Nasuha masih belum kukuh. Kalau dihuraikan dengan maksud menjaga itu subjektif. Bukan mengambil Nasuha sebagai pilihan isteri.

DYK terlalu perlahan dan meleret. Ada setengah bab tidak perlu untuk diceritakan. Terasa sedikit bosan dan penat menunggu siapa Dia Yang Kunikahi.

DYK terlalu indah dan sempurna untuk misi dakwah buat orang buat muda. Kerana perjalanan dakwah bukanlah senang dan mudah seperti kisah hidup Johari tetapi ia adalah perjalanan pahit dan manis menuju syurga. Mungkin perlu sedikit realit dalam DYK.

---
khaulah khalid

0 comments: