Dec 16, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku : (25) Sedekah Jaminan Keharmonian Umat Menurut Sunah

Tajuk Buku : Sedekah Jaminan Keharmonian Umat Menurut Sunah
Penulis : Ariffin Omar
Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Muka Surat : 244

Ulasan

Buku ini membuka mata saya mengenai kepentingan bersedekah. Pada awalnya, saya berpandangan bahawa sedekah merupakan sesuatu barang yang perlu diberikan kepada orang yang kurang mampu sahaja tetapi dengan ilmu yang dikongsi oleh penulis, kini saya memahami bahawa sedekah itu adalah suatu amalan yang luas. Bukan sahaja berlaku pada pemberian harta benda tetapi berlaku juga dalam bentuk perkhidmatan seperti menolong seseorang, membersihkan rumah, mengasihi binatang dan segala amal kebaikan dikira sedekah. Selain itu, penulis mengajak pembaca mengamalkan sedekah dengan cara yang termampu samaada melalui harta benda atau perkhidmatan.

Penulis juga menyelitkan kelebihan-kelebihan terhadap orang yang bersedekah. Jika pembaca memahami konsep ilmu sedekah ini, pembaca akan dapati bahawa sedekah bukan mengurangkan harta seseorang tetapi menambahkan harta seseorang. Disini haruslah difahami “semakin banyak kamu memberi, semakin banyaklah harta kamu”. Jika pembaca mahukan kekayaan, maka bersedekahlah tapi haruslah sedekah itu daripada sumber yang halal dan dengan niat yang ikhlas juga.

Kulit Belakang Buku

Buku ini mengupas salah tanggapan masyarakat terhadap pengertian sedekah dari persepektif Islam. Sedekah bukan sekadar mengeluarkan harta benda malahan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Antaranya dengan mengajar ilmu yang bermanfaat, memberi idea mengatasi kemusykilan satu-satu perkara, dan melaksanakan khidmat social. Bahkan memberi senyuman juga dianggap sedekah. Justeru, sedekah boleh dilaksanakan oleh mana-mana individu tanpa mengira status kehidupan. Sesungguhnya Allah Maha penyayang dan Maha Adil dengan memberi peluang kepada manusia sekaliannya untuk melaksanakan ibadah sedekah. Daripada Jabir, Rasulullah s.a.w bersabda yang mafhumnya:

“Tiada dalam kelangan muslim yang menanam tanaman melainkan apa yang dimakan menjadi sedekah untuknya, apa yang dicuri menjadi sedekah untuknya, apa yang dimakan oleh haiwan menjadi sedekah untuknya, dan tidak mengurangkan seseorang melainkan ia menjadi sedekah untuknya”. (Muslim Ibn Hajjaj)

Amalan sedekah dapat menyuburkan perasaan saling menghormati dan berkasih sayang dalam kerabat keluarga, jiran, dan masyarakat keseluruhannya. Situasi sedemikian dapat menjalin unsur keharmonian dan menguatkan perpaduan umat sejagat.

Buku ini sesuai dijadikan rujukan untuk menambah ilmu pengetahuan bagi semua lapisan masyarakat. Segala hujah yang dikemukan berteraskan dalil al-Quran, hadith dan ijmak ulama.

---
Nur Amalina

0 comments: