Dec 31, 2011

KK: cabaran 50 buku : (48) Kasih Terpilih

Tajuk : Kasih Terpilih
Pengarang: Ummu Itqan
Terbitan: Galeri Ilmu
Halaman: 248 muka surat
ISBN: 978-983-097-263-3
Harga: RM17

Kata Kulit Buku:

Ketika Misali menyertai sebuah pasukan penyelidik untuk menyiapkan tesis sarjananya, dia tidak terfikir bahawa dia akan menghadapi konflik komunikasi dengan seorang rakan penyelidik yang ego.

Dia juga tidak terfikir bahawa misi penyelidikan madu di belantara Tasik Pedu akan menjadi titik penentu kepada perubahan status gadisnya. Malah dia tidak terfikir, misi penyelidikan itu akan bertukar menjadi misi penemuan jodoh buatnya.

Lebih Misali tidak terfikir, di satu tahap dia harus membawa watak kaum Ansar yang membela kaum Muhajirin.

Dia tidak terfikir ada ‘Muhajirin’ yang akan melintasi hidupnya dan mendamba kasih daripadanya ketika dia sudah di ambang jalinan ikatan suci dengan jejaka pilihan. Apakah Misali cukup kuat untuk menjadi ‘Ansar’? Apakah si dia juga bersedia untuk berkorban demi seorang ‘Muhajirin’?

Dua jejaka mengharap pada kasih yang satu. Dua ‘Ansar’ berdepan dengan seorang ‘Muhajirin’. Kasih siapakah yang ‘terpilih’?


Kata KK:

Saya mengenali penulis sewaktu dia belajar di USM dulu. Sudah lama tidak ketemu dia. Bilamana singgah di gerai galeri ilmu di pesta buku. Melihat tajuk buku dan nama penanya tidak saya kenali tetapi dikulit belakang ada wajah dia dan nama dia.

Waktu itu, hati berbelah bahagi mahu atau tidak. Ia buku tarbiah. Dakwah. Lalu, hati berkata apa salahnya sokong dia untuk terus berkarya selepas ini. lalu, inilah bukunya.

Cerita di kulit belakang mengisahkan semuanya. Senang dengan watak Misali. Juga dengan watak Aizam (saya lupa nama watak ini) dan Kenny.

Saat-saat Misali jejak tanah Kota Bharu mengimbau dimana tempat bas-bas akan tinggalkan penumpang tetapi sekarang sudah berbeza. Sekali lagi menggamit rindu saya pada Bandaraya Islam. Saya benar-benar menghayati tempat dalam novel ini. malah saya tahu dimana kereta sahabat Misali mati. Cuma rumah sewa Kenny saja kurang jelas. Walaupun berdekatan dengan USM mungkin boleh terangkan perumahan. Kawasan Kubang Kerian tidak sebesar Subang Jaya yang berlambak dengan nama SS atau PJS.

Malah, saya kagum dengan watak Aizam (betulkan saya kalau silap). Walaupun kacukan Melayu-New Zealand tetapi dia masih lagi dengan cara hidup Islam. Bukan Misali saja boleh suka, saya juga pasti suka. Jarang – jarang untuk jumpa watak lelaki yang benar- benar muslim apabila watak perempuannya Muslimah. Senyum.

Watak Kenny juga menarik. Diantara dua lelaki ini menjadi Ansar dan Muhajirin. Diantara dua lelaki ini juga menjadi pilihan Misali.

Cuma saya sedikit terkilan, ranjau dan cabaran yang dihadapi Kenny kurang nampak beratnya beban yang ditanggung. Mungkin perlu penambahan muka surat. Beginilah yang selalu dihadapi dengan Novel Tarbiah. Kekurang muka surat. Terasa sekejap sangat untuk hadam buku ini. belum lagi masuk dengan penjelasan dengan projek penyelidikan mereka bertiga. Terlalu ringkas untuk difahami. Saya mahu lebih!

Apapun tahniah buat penulis. Buku sama menarik dengan Mahar Cinta Cinderella. Malah saya lebih kagum watak Misali berbanding watak Johari dalam Dia Yang Kunikahi. [mungkin saya berlebih, tetapi DYK seharusnya lebih hebat dari KT.]

---
khaulah khalid

0 comments: