Tajuk Buku : Rayuan Cinta Buat Isteriku
Penulis : Ibn Abdul Azib
Terbitan : Telaga Biru Sdn. Bhd
Muka Surat : 80
Ulasan
Buku comel yang berwarna biru kehijauan ini memaparkan beberapa monolog rayuan yang menggunakan bahasa yang lembut dan disulami dengan nada mendidik dan penuh kasih sayang sesuai dengan jiwa seorang isteri yang sensitif dan perasa. Para suami boleh menggunakan ayat-ayat dalam buku ini untuk memujuk isteri yang sedang merajuk. Para isteri akan cair dengan ayat yang suami gunakan untuk memujuknya dan pasti rajuknya tidak berpanjangan.
Ayat-ayat cinta yang ada di dalam buku ini juga boleh digunakan oleh sang suami untuk diberikan kepada isterinya untuk menyemarakkan kasih sayang antara suami isteri. Para suami janganlah sombong atau ego untuk menggunakan ayat-ayat manis atau meniru ayat yang tersedia dalam buku kecil ini kerana sifat wanita memang sentiasa inginkan belaian kasih sayang dan ucapan cinta daripada suaminya. Dengan adanya buku ini, diharapkan impian para isteri mendengar ucapan manis daripada suami mereka tercapai.
Selain itu, suami yang ingin menegur isterinya haruslah menegur dengan menggunakan ayat didikan manja bukan dengan cara marah dan kasar kerana perasaan siteri akan terguris dan ini akan membuatkan isteri tidak dapat berubah dengan ikhlas dan mencetuskan pergaduhan. Teguran dan didikan dalam rumahtangga sangatlah dituntut lebih-lebih lagi teguran dan didikan suami kepada isterinya tetapi setiap teguran dan didikan itu haruslah dengan cara yang betul agar tidak berlaku yang sebaliknya. Contoh yang terbaik sebelum membuat teguran perlulah memujinya terlebih dahulu, kemudian selitkan teguran dan didikan. Saya yakin, suami isteri yang mengamalkan cara yang betul dalam komunikasi tegur menegur, pujuk memujuk tidak aka nada sifat terasa hati, dendam atau memberontak kerana sifat wanita itu sendiri sentiasa inginkan kasih sayang dan lembut. Apabila kena pada caranya, wanita akan sedia menerima malah berbahagia menerima teguran atau pujukan yang sebegitu.
Petikan Pilihan 1
Sayangku jauhar gemerlapanku…. Aku ingin sekali sekiranya iringiku ke pintu tatkala aku ingin keluar. Luangkan masamu sedikit daripada disibukkan dengan urusan rumah sehingga tidak sempat untuk mempedulikanku.
Hantarlah suamimu ini ke pintu rumah dengan wajah yang bertatarias dan berseri-seri serta dengan senyuman yang merekah.
Semoga itu membuatkan ingatanku tidak lekang daripada teringatkan dirimu di luar rumah dan semoga ia dapat memelihara mataku daripada memandang wanita ajnabi di luar sana.
Petikan Pilihan 2
Sayang yang kurindui…. Betapa sejuknya hatiku lagi apabila melihat urusan rumah yang telah kamu siapkan pada waktu pagi-pagi lagi. Tika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya kurasa apabila mendapat isteri sebijakmu.
Bijak kerana kamu boleh berpagi-pagi lagi untuk mencari keberkatan hari sementelah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Bersegeralah mencari rezeki di waktu pagi kerana keluar berpagi-pagi itu penuh berkat dan kejayaa.” (Riwayat al-Bazzar an al-Thabrani)
Akan terasa sekali hatiku yang hidup, jiwaku yang lapang dan naluriku yang segar serta harapan yang penuh berkat ini, optimis dan keberuntungan.
Lantas, bersama sinaran mentari yang terpancar pada hari yang berkat itu, akan kuisi dengan wajah yang selalu tersenyum, roh yang penuh bersemangat, kekuatan fizikal yang bertenaga dan pemikiran yang positif.
Semuanya kerana kamu yang bijak, sayangku.. ahlan..ahlan..ahlan.. hari yang berkat bersama wanita yang diberkati!
Kulit Belakang Buku
Isteri Soleheh – kemunculannya dalam hidup adalah satu keinginan dan memilikinya pula adalah satu hadiah paling mahal yang amat berharga dianugerahkan oleh Allah SWT buat para Mukmin yang soleh.
Nukilan berupa lembaran-lembaran warkah ini barangkali berbentuk monolog rayuan cinta dari lubuk sanubari lelaki yang bergelar suami kepada seorang isteri. Monolog rayuan yang terbit daripada suara hati yang paling rawan, terdalam dan terhalus tidak mampu diterbitkan melalui kata-kata lantaran sifat pendiam yang dominan dalam jiwa seorang lelaki. Lantas di lembarn-lembaran bisu inilah menjadi saksi terjemahannya.
---
Nur Amalina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment