Dec 31, 2011
Aimie:Cabaran 50 Buku: (83) Dikau Tidak Pernah Jauh
Penulis: Nur Hatija
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-69-2
Harga: RM19.00 / RM22.00
M/S: 427
Cetakan 1 – September 2011
Blurb:
Letaklah Allah pada cinta yang paling utama. Cinta terhadap manusia tidak salah tetapi biarlah selari dengan kehendak agama…
Apakah erti cinta?
Cinta hanyalah omong kosong pada yang tidak sanggup berkorban demi cinta!
Kerana cinta, Fadhil meninggalkan kebahagiaan dunia dan belajar hidup zuhud.
Kerana cinta, Halina sanggup kehilangan kasih anak-anak.
Kerana cinta, Firdaus tenggelam dalam pelukan dunia;
dan kerana cinta akan Firdaus, Mardhiah sabar menunggu.
“Janji dengan saya, awak akan tunggu saya,” ucap Firdaus.
“Awak pun berjanji dengan saya. Jangan pernah melarikan diri daripada saya,”balas Mardhiah.
Tapi, kenapa kini Firdaus jadi lupa pada kata-kata yang pernah dia ucapkan? Mampukah mereka kenal erti cinta sebenar? Mampukah mereka berkorban demi mencari nikmat cinta itu?
*****
NUR HATIJA menulis tentang makna cinta. Dikau Tidak Pernah Jauh membawa anda menghayati kisah cinta yang penuh teladan untuk mencari keikhlasan cinta yang sebenar.
Kak Chik menukil:
Kehidupan mereka sekeluarga cukup bahagia walaupun mereka hidup dalam kemiskinan. Hati mereka sentiasa mewangi kerana mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi walaupun sering dihina dan dipandang keji. Walaupun buya tidak mampu memberi kemewahan dunia tetapi buya sentiasa melimpahkan mereka dengan kekayaan kasih sayang dan kata-kata nasihat yang mampu merungkai setiap persoalan mereka.
Fadhil meninggalkan semua kebahagian dunia dan berusaha untuk hidup zuhud demi buah cintanya. Dia mahu anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan ajaran Islam yang sebenar walaupun dia berkorban semua. Dia pernah hidup dengan serba kesenangan sehingga dia pernah terleka dan jauh dari-Nya. Bagi Fadhil sudah beribu kali bersyukur kerana dikurniakan zuriat yang begitu taat dan menyenangkan hati. Setiap dugaan dan ujian dari Allah diterima dengan lapang dada. Dia telah berusaha mendidik dan menerapkan nilai Islam dalam diri Firdaus dan Aishah sehabis daya yang termampu. Cuma dia masih merasa bimbang kerana dia dapat merasakan Firdaus belum cukup ampuh, namun dia yakin Allah sentiasa ada untuk menjaga zuriatnya itu.
Kehidupan yang serba kekurangan tidak pernah membataskan Firdaus untuk mencapai kejayaan. Dia sentiasa disenangi rakan-rakan di sekolah kerana sifat lemah lembut dan penyayang serta hormat kepada orang lain. Firdaus sentiasa berusahauntuk melakukan segala suruhan buya kerana dia tidak pernah mahu buya berkecil hati dan kecewa. Padanya, dunianya yang kecil hanyalah untuk buya dan adiknya, Aishah. Namun Firdaus selalu ada perasaan tidak puas hati tetapi tidak pernah diluahkan kepada buya kerana tidak mahu buya bersedih dan kecewa dengannya. Ujian yang datang bertimpa-timpa telah menjadikan Firdaus makin jauh dari Allah kerana dia bagaikan tidak dapat menerima kenyataan bahawa ujian itu adalah kerana kasih sayang Allah. Pertemuan kembali Firdaus dengan Halina telah merubah seluruh perjalanan hidupnya. Dia makin hanyut dan terus hanyut dengan nikmat dunia sehingga dia tidak lagi mampu untuk menjauhi segala larangan Allah apatah lagi dia juga menjauhkan diri dengan insan-insan yang selalu mengingatkan dia pada Allah. Kemewahan dunia telah meluruskan jalan gelap buatnya.
Secara peribadi, permulaan karya ini sedikit hambar dan mendatar tetapi selepas Firdaus menjejaki kaki ke alam universiti kita akan mendaki puncak jalan cerita kerana ketika itu pelbagai cabaran hidup yang dilalui Firdaus sehinggalah dia terjerumus dengan ‘hina’ kekayaan dunia. Firdaus juga terlalu yakin dengan diri untuk membantu ibu dan menarik ibunya ke jalan yang diredai Allah tetapi dia secara tidak sedar telah dijadi agenda ibunya sendiri demi keuntungan perniagaan. Permulaan Firdaus terjebak dengan ‘kejahatan’ dunia apabila dia sudah tidak menjaga solat lima waktunya dan juga kerana dia tidak pernah ikhlas melakukan ibadahnya kerana Allah.
Watak-watak yang dibangunkan mempunyai karektor yang tersendiri tetapi KakChik sedikit kecewa kerana watak-watak yang telah menjerumuskan Firdaus ke lembah kegelapan bagaikan terlalu senang ‘dimatikan’. Pembangunan watak Mardhiah juga pasti dia kuat jika dia diberikan ruang lingkup yang lebih besar. Apa pun pada KakChik karya ini mampu memberi sesuatu yang baru dan kesedaran tentang ikhlas ibadah kita kepada MAHA PENCIPTA dan reda kita terhadap setiap ujian yang diturunkan-Nya.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment