Dec 28, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (38) : Membuka Pintu Rezeki


Tajuk Buku : Membuka Pintu Rezeki
Penulis : Drs. A.F. Jaelani
Terbitan : Gema Insani
Muka Surat : 159


Ulasan

Kebanyakan orang memahami bahawa rezeki itu ialah harta dan wang ringgit, tetapi hakikat rezeki yang sebenar adalah lebih mendalam dan lebih luas lagi kerana kebahagian, kesihatan, kesejahteraan juga termasuk dalam rezeki. Buku ini membantu kita yang masih mencari-cari rezeki dengan jalan yang betul dan baik serta diredhai Allah. Ramai yang bekerja keras untuk kesenangan hidup dengan kediaman yang besar, kereta yang mewah, makanan yang lazat dan seumpamanya tetapi tidak memiliki kebahagian jiwa. Ini bermakna rezeki yang sebenar tidak tercapai walaupun pada pandangannya dan pandangan orang lain dia merupakan orang yang kaya.

Jika mahu rezeki masuk, perlulah buka pintunya dahulu. Bagaimana ingin membuka pintu tersebut?jawapannya ada dalam buku ‘Membuka Pintu Rezeki’. Bukan ilmu membuka pintu rezeki sahaja yang dapat dari buku ini tetapi ia boleh dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan juga bagi mereka yang lalai dan leka dengan perintah Allah seperti bertakwa, menjaga solat, jauhi rasa iri hati, bersedekah, bersyukur, bersangka baik dan banyak lagi. Fahamilah bahawa dengan melakukan kebaikan-kebaikan kepada Allah dan makhluk dapat membuka pintu rezeki. Contohnya: orang selalu menyangka bahawa sedekah mengurangkan harta tetapi hakikat sebenar sedekah membuka pintu rezeki, dengan bersedekah rezeki lebih mudah masuk.


Petikan Pilihan 1

Selalu Berbuat Yang Terbaik

“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang dari kalian berbuat sesuatu maka ia lakukan dengan sebaik-baiknya” (HR Thabrani)

Selalu berusaha untuk dapat melakukan yang terbaik adalah kunci keberhasilan setiap usaha.

Petikan Pilihan 2

Berikan Sedekahmu

Allah berfirman:
“Berikan hartamu maka Aku akan memberi padamu”. (HR Bukhari dan Muslim)


Petikan Pilihan 3

Bersyukurlah Selalu

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) padamu”.
(Surah Ibrahim : 7)


Rasa syukur merupakan tanda dari rasa terima kasih kepada Allah.


Kulit Belakang Buku

Rezeki sebagai salah satu dari sekian hal yang Allah rahsiakan kepada makhluk-Nya, seakan berselimut kabut yang pekat. Walaupun demikian, sebagai makhluk, bukan bererti kita tidak boleh dan tidak mampu menyibar sedikit pun rahsia rezeki ini.

Buku ini menguraikan kewajiban kita dalam rangka berikhtiar memperoleh rezeki yang tersimpan dalam perbendaharaan Allah di muka bumi ini. Juga dipaparkan upaya-upaya dan metod-metod yang dapat kita gunakan sebagai kunci pembuka pintu-pintu rezeki, baik yang berasal dari dalam diri kita sendiri mahupun yang berasal dari luar diri kita.

Doa dan usaha adalah dua kunci utama yang tak dipisahkan.

---
Nur Amalina

0 comments: