Dec 23, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (26) Rahsia Hati Sofia

Judul : Rahsia Hati Sofia
Penulis : Nazurah Aishah
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 553 m/s
ISBN : 978-967-5118-17-3
Cetakan Kedua Mei 2009

Kulit belakang novel :

sekali air sungai melimpah… sekali pasirnya pun berubah…

Aku dan dia kenal begitu lama, saling menyimpan rasa dan berkongsi hati. Kenapa sukarnya untuk saling memahami? Padahal kita bagaikan bercerung jiwa!
Ini bukan cinta tiga segi! Dia dan dia bersahabat. Mereka berkongsi cerita. Namun rahsianya hanya aku seorang sahaja yang tahu!
Ajaibnya dalam derita masih ada lagi cahaya, jalurnya memandu arah.
Anehnya dalam pijar resah, angin masih bawa salam bahagia walau seketika.
Payahnya pabila cinta jadi benci.
Sukarnya nak pujuk hati biar benci bertukar rindu.
Pilunya hati tatkala kau paksa aku memilihmu, padahal kau sudah lama kupilih!
Jiwamu bagai ombak di tengah laut, pabila datang menderu kau usung segala beban ke gigi pantai. Singgahmu sekejap cuma, tika pergi kau titipkan semuanya di bahuku seorang.... Kenapa harus begitu, Mal?



Sinopsis :

Menyingkap kisah hati dari serelung jiwa Jihannur Sofia. Dia… wanita cantik seindah namanya. Dia… dicintai jejaka kacak si Ikhmal Hisyam. Tidak kurang juga yang menyimpan perasaan secara sembunyi. Namun, Sofia tetap Sofia. Dia punya cinta. Cinta itu tersisip kemas dalam jiwanya yang satu itu. Milik dia. Ya, milik Ikhmal Hisyam. Biarpun Ikhmal tidak pernah mengungkapkannya, apatah lagi berjanji apatah lagi bermadah untuk sehidup semati dengannya, namun nalurinya kuat mengatakan, kasih Ikhmal miliknya seorang. Hadirlah sejuta manusia yang mengkhabarkan padanya tentang ‘kecurangan’ Ikhmal, dia tetap disitu. Masih mampu tegak berdiri bersama cintanya yang dijulang tinggi. Hanya airmata menjadi peneman setianya kala kesedihan dengan sikap Ikhmal yang terkadang barannya tidak kena tempat, tiada khabar berita dari sang kekasih hati, tiada kata dan nota cinta buatnya.

Cinta itu bisa membahagiakan. Cinta juga yang memeritkan dan menderitakan jiwa. Pabila cinta yang disemai tidak dilandaskan pada Tuhan, bisa membuatkan manusia hilang pertimbangan. Pabila syaitan menguasai diri, iman berterbangan entah kemana, nafsu beraja. Kata Ikhmal, “Ah, dia perlu aku miliki kerana aku terlalu mencintainya.” Ikhmal kalah dengan hasutan nafsu. Dia membenarkan syaitan menang kali ini. Jihannur Sofia yang menjadi mangsa kerakusannya. Kejamnya dia. Katanya cinta, tapi mengapa tuba yang dihadiahkan. Dan bermulalah episod-episod duka penuh kebencian dalam hidup Sofia buat Ikhmal. Bergelar isteri dalam terpaksa. Dia terus menerus diuji ditambah pula dengan rasa penuh prasangkanya buat Ikhmal. Kesudahannya…? Ada dalam Rahsia Hati Sofia karya Nazurah Aishah.


Bicara Ummu Ammar :

Rahsia Hati Sofia, UA beli selepas UA menyelusuri kisah-kisah kehidupan penuh warna-warni yang dipersembahkan oleh Nazurah Aishah dalam Bening Merah Jingga dan Lili buat Najah. Namun, garapan kak Naz tetap sebegitu. Membawa UA berada dalam lautan airmata saat meletakkan diri UA sepenuhnya sebagai Jihannur Sofia.

Jalan cerita yang pada UA agak luar biasa dari awal hingga ke akhirnya. Kak Naz menggarap kisah hidup watak-watak dalam pentas kehidupan mereka dengan penuh rasa cinta yang membara dalam hati-hati mereka. Rasa hormat yang tinggi antara sahabat. Rasa rendah diri, rendah hati, ego bersatu menjadikan seorang Ikhmal itu sanggup berkorban untuk melihat isterinya bahagia. Kisah setianya cinta seorang Nizam yang akhirnya membawa bahagia.

Bacalah.. tidak rugi anda memiliki novel ini. Tahniah buat kak Naz..

---
Ummu Ammar

0 comments: