Dec 22, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku - (51) Bisik-Bisik Gelora

Bisik-bisik Gelora
Fauziah Ashari

ISBN: 9789670184487
Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama 2011
Halaman: 598
Harga: RM25.90

~ Rasaku… ~

Percaya. Tuhan selalu punya rahsia – Faisal Tehrani

Aku tak ingat dalam buku apa petikan di atas tetapi ini sudah cukup aku gambarkan keseluruhan kisah BBG. Ya, ada masanya kita kalah dengan rasa hati. Cuba menidakkan takdir yang membelenggu. Hati-hati. Mungkin apa yang kita mahukan itu bukanlah yang terbaik untuk kita. Percaya. Tuhan memang selalu punya rahsia.

Banin Arumi anak tunggal dalam keluarga Tuan Akalil. Mungkin kerana terlalu dimanjai oleh isterinya, Arumi membesar menjadi gadis yang nakal dan lincah. Gagal mengawal anak sendiri, Tuan Akalil menghantar Arumi ke kampung. Mengharapkan suasana baru dapat mengubah perilaku Arumi.

Namun lain pula yang jadi. Arumi ditangkap basah bersama Jad Izzudin. Arumi dikahwinkan tanpa kerelaannya. Lagipun tiada siapa yang peduli akan kebenaran kata Arumi yang mereka berdua sebenarnya diperangkap. Namun perkahwinan dengan Jad umpama mala petaka. Lelaki itu ditahan polis sebaik saja akad dilafazkan. Lebih malang apabila ibu bapa Arumi meninggal selepas menghadiri pernikahannya. Akhirnya Arumi tekad membawa diri jauh daripada Jad.

Selepas 7 tahun Arumi kembali semula ke Malaysia. Sehabis mungkin dia mengelak daripada bertemu Jad. Bagaikan sudah ditakdirkan, Jad langsung tidak memberi peluang untuk Arumi melarikan diri. Masing-masing ego, membuatkan hubungan suami isteri makin dingin. Apatah lagi pertemuan pertama Jad-Arumi berlaku ketika Fakhri cuba menodai Arumi. Itu membuatkan Jad berprasangka yang Arumi gadis yang suka berpeleseran. Masih bersuami tetapi tetap keluar dengan lelaki lain.

Arumi sendiri sukar memaafkan Jad dengan apa yang berlaku. Sementelah kata-kata nista yang sering keluar daripada mulut Jad. Malah kehadiran Akif Alaudin membuatkan Jad makin sakit hati. Dia tak mahu mengaku Akif itu anaknya walaupun Arumi bertegas yang itu anaknya bersama Jad.

Lalu di manakah penghujungnya rumahtangga mereka yang suram itu? Mungkinkah bertambah sukar dengan kehadiran Nada? Mampukah Akif mendapat kasih seorang ayah? Kenalah baca novel ini untuk tahu kesudahannya.

Sejujurnya aku tak begitu menggemari BBG. Plot cerita yang melompat tahun menyebabkan rasaku pun ‘terlompat-lompat’ juga. Nampak seperti penulis kekurangan idea dan mahu cepat menamatkan kisahnya. Padaku OR lebih menyerlah. Namun buat peminat setia FA, jangan lepaskan peluang mendapatkan buah tangan terbaru beliau.

Mengambil terlalu banyak masa untuk aku menamatkan pembacaan. 12 hari, lama kan? Tak tahu sama ada novel ini atau pun mood membaca aku yang jatuh merundum.

Happy reading (^-<)
---
Airina

0 comments: